06 May 2005

DAKWAH! OH DAKWAH!

Apabila bercerita mengenai berdakwah, ramai yang melihat skop dakwah ini dengan skop yang amat kecil dan sempit. Mereka melihat bahawa berdakwah perlu ada ilmu agama yang tinggi baru boleh berdakwah. Jadi ramai yang tidak menjalankan tugasnya sebagai pendakwah. Masing-masing merasakan mereka masih tidak cukup ilmu. Betulkah hanya mereka yang mempunyai ilmu agama sahaja yang boleh berdakwah? Betulkah apabila sudah cukup baru boleh berdakwah? OK! Mari kita lihat definisi dakwah. Dakwah daripada sudut bahasanya, suatu kegiatan yang menyeru dan membimbing serta meyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari dan mengamalkan ajaran agama yang sebenar iaitu Islam. Panjangnya definisi Kamus Dewan ni. Kalau kat PTS, gunakan Kamus Dewan ni kami tak pandanglah. Bagilah definisi sendiri. OK! Definisi yang mudah difahami, apa sahaja kegiatan yang menunjukkan Islam itu cantik, indah dan unggul itu yang dikatakan sebagai dakwah. Definisi bagi kedua-duanyanya tidak jauh beza. Dalam memahami pengertian itu, dakwah adalah amat luas dan perlu dilihat dengan hati serta minda terbuka. Dalam kegiatan seharian pekerjaan, perbuatan, perlakuan, pertuturan, tulisan dan sebagainya adalah ruang terbaik sebagai pendakwah. Namun begitu, kita seharusnya berniat bahawa apa sahaja yang aku lakukan adalah kerana Islam dan ingin menunjukkan bahawa Islam Is The Way Of Life. Dalam hal ini tidak perlu kita berceramah ataupun berusrah sahaja sebagai jalan dakwah. Lebih daripada itu caranya. Rasulullah adalah role model yang terbaik pendakwah. Beliau bertutur, bermuamalah, berperang, berdiplomasi dan sebagainya secara berdakwah. Apabila orang bertemu dengannya terus tertarik dengan Islam. Itu yang kita perlu lakukan. Teringat satu peristiwa semasa di Kolej Kediaman Kelima, Universiti Malaya. Ketika itu aku masih di Asasi Sains lagi. Aku bersama rakan-rakanku ke dewan makan kolej. Selepas mengambil makanan aku duduk satu meja dengan seorang abang senior yang kami panggil Pak Man. Aku memang selalu meletakkan mind set bahawa dalam setiap masa, jangan berada dalam kelompok sendiri. Perlu berada dalam kelompok lain. Maksud kelompok adalah rakan yang sebaya dan daripada pengajian yang sama. Ini nasihat daripada seorang abang yang aku hormati. Mengapa begitu? Apabila kita berada dalam kelompok kita, kita tidak berkembang pemikiran, cara melihat dunia, isu dan kawan. Jadi apabila berada dalam kelompok lain, kita boleh belajar banyak daripada mereka. Berbalik kepada meja kami tadi, sedang kami bersarapan dan bersembang sekejap. Ada seorang mahasiswa berbangsa Cina yang juga kenalan Pak Man duduk di meja yang sama bersebelah dengan aku. Dalam keadaan makan itu, tiba-tiba Pak Man bertanya kepada rakannya itu " Chi! Apa itu Iman?" Aku terkejut! Bagaimana seorang yang beragama Islam boleh bertanya kepada agama lain mengenai Iman. Chi tersenyum sahaja. Beliau berkata "Awak lebih tahu mengenai iman daripada saya. Cubalah terang" katanya dalam dialek Melayu bercampur Cina. Pak Man terus menerangkan mengenai iman dengan panjang lebar dan kami semua mendengarnya dengan penuh minat. Fuhh! Pada fikiran aku, aku sendiri tak berani bertanya begitu. Dalam hal dakwah ini, kita perlu berikan dakwah kepada bukan Islam walaupun satu ayat. Tidak kiralah dalam bentuk penulisan, percakapan ataupun apa cara sekalipun. Asalkan kita berikan. Mana tahu dengan satu ayat yang diberikan itu boleh mengubah diri orang tersebut bagi mendapat hidayah Allah. Saya teringat kata-kata Dato' Dr. Mohd Fadzillah Kamsah dalam pertemuan kami tempoh hari. "Air pada 99.9999 darjah celcius masih berada di dalam keadaan air. Jadi 0.0001 darjah celcius yang perlu diberikan bagi menukarkan air itu menjadi wap. Jadi kita perlu berikan 0.o001 darjah celcius tersebut" Dalam keadaan tertentu, hidayah sudah hampir sampai kepada seseorang itu. Namun begitu tanpa penggalak yang betul hidayah tak sampai. Jadi kita perlu berikan penggalak itu kepada ummah. Agar kita menjadi egen penggalak yang menyebabkan hidayah itu sampai. Jadilah orang yang asing (ghuraba') kerana yang asing itulah THE CHOSEN ONE!