09 May 2005
Miniatur Kiamat Sudah Sampai.....Kiamat Sebenar Bila?
Dua hari lepas saya mendapat tetamu daripada Acheh. Ustaz Muhammad Khair Al-Husni ataupun nama selepas tsunami Khairul Ghazali. Nama selepas pembaharuan passport katanya. Kesemua dokumen dirinya hilang semasa tsunami tempoh hari. Ustaz Khair datang ke Pejabat PTS bertujuan bagi menandatangani perjanjian penerbitan kesemua karya yang sudah diserahkan kepada PTS. Sebelum ini beliau menyerahkan sembilan manuskrip buku agama yang mana pihak PTS sudah bersetuju menerbitkan enam daripadanya.
Dalam perbincangan dan diskusi kami, beliau menceritakan pengalamannya ketika tsunami. Pada hari 26 hb Disember 2004, beliau tidak berada di kampung. Beliau ke Medan untuk menyambaikan syarahannya di sana. Beliau ada pensyarah sementara di beberapa universiti sekitar Indonesia. Beliau mempunyai lapan orang anak dan dua orang isteri. Isteri pertamanya sudah berusia 40 an dan keduanya 20 an. Kesemua isteri dan anaknya berada di kampung ketika tsunami datang. Kesemuanya merasai kehebatan peristiwa tsunami itu.
Apabila mendengar berita kehadiran tsunami di Acheh, beliau bercerita. Perasaan hatinya mengalami keadaan yang tidak pernah digambarkan. Rasa takut sudah menyelubungi hatinya. Yang hanya difikirkan keselamatan dirinya sahaja. Isteri, anak-anak, keluarga dan para sahabat di kampungnya sudah tidak diingat.
Apabila ditanyakan kepada isteri-isterinya keadaan sewaktu tsunami. Perkara yang sama diceritakan. Yang ibu dah tak ingat kepada anak, anak-anak ditinggalkan menangis. Abang dah tak ingat kepada adik, ayah tak ingat kepada anak, anak dah tak ingat kepada ibu bapa dan sebagainya. Ia memang seperti digambarkan oleh para ulama dan hadis-hadis nabi. Itulah yang dikatakan gambaran kiamat kecil. Hebatnya tsunami itu. Itu yang dikatakannya seperti miniatur kiamat.
Sesiapa yang melihat kejadian tsunami sehingga ke hari ini masih takutkan laut. Mendengar bunyi air hujan di atas atap pun sudah menggetarkan hari. Anak-anak menjerit memeluk ibu ataupun sesiapa terdekat apabila mendengar guruh di langit. Hebatnya kesan trauma tsunami.
Kita baru diuji begitu sudah ketakutan, tak tahulah bagaimana sebenarnya dikatakan sebagai hari Kiamat. Gempa bumi dan kejadian alam yang diberitahu kepada kita sebagai tanda-tanda kecil kiamat. Manusia pada masa ini masih lagi mengejar kekayaan di dunia dan meminggirkan pelaburan akhirat. Yang kaya ingin bertambah kaya, ahli politiknya ingin menambah kuasanya, yang berkuasa ingin menambahkan simpanan wang ringgitnya dan pelbagai lagi. Hukum Tuhan dipinggirkan, amar makruf diketawakan, hak-hak Allah kepada manusia diperlekehkan. Yang nampak hanyalah dunia, dunia Oh dunia.
Marilah kita muhasabah diri, kalau esok kiamat bersediakah aku? Kalau esok mati bersediakan aku? Bolehkah kuasa politik menjadikan aku selamat di akhirat, bolehkah kekayaan dunia membeli para malaikat pencabut nyawa, bolehkah? bolehkah? bolehkah? Fikir-fikirkanlah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment