05 September 2005

Lama Tidak Menjengah

Lama betul aku tak menjengah blog aku ni. Pasti kenalan yang melawat ke sini tertanya-tanya ke mana perginya diriku ini? Masih hidup ke? Dah mati ke? Sihat ke? Sakit ke? Alhamdulillah Tuhan masih memberikan kekuatan kepada diri ini dan dipanjangkan umur hingga hari ini. Aku bukannya tidak teringat kepada laman ini, cuma kesibukan semenjak dua menjak ini membekukan langkah tangan ini untuk memetik ke sini. Namun begitu Alhamdulillah hari ini berjaya juga sampai ke sini. Sebenarnya aku sekarang ini amat sibuk membina beberapa laman baru. Laman yang sudah berjalan lancar aku tinggalkan kejap seperti Dr. Cinta dan Formula Cemerlang. Sekarang ini aku membina dua lagi laman baru iaitu Laman Interaktif PTS Millennia Sdn Bhd : laman interaksi dua hala syarikatku dengan semua masyarakat dan juga satu lagi REAKTIF.Com : Xpressi Minda Remaja. Kedua-dua laman ini berjaya juga dinaikkan, cuma tengah nak perelokkan lagi persembahan dan pengisiannya. Sebenarnya hobi membuat laman ini baru sahaja terdetik dalam beberapa tahun ini. Sebelum ini aku banyak memerhatikan sahaja sahabat baik aku Arief Hakim membuat laman-laman web ini. Ada juga terlintas mahu belajar, cuma kesibukan lain pada masa itu mengekang keinginanku. Alhamdulillah selepas mengambil alih jawatan sebagai pengurus di PTS, keinginan itu diterjemahkan dengan membuat beberapa komuniti bagi tujuan menyebar ilmu. Yang mula-mula sekali adalah kerjasama di antara aku dengan Dr. Danial Zainal Abidin membangunkan laman Formula Cemerlang September 2004. Alhamdulillah hingga hari ini sudah setahun laman itu hidup. Sambutannya amat menggalakkan. Kemudian diteruskan dengan Dr. Cinta.Com, seterusnya PTSMillennia.Com dan yang terbaru ReAktif.Com. Ini yang aku kata kalau nak tunggu ada pengalaman baru nak buat, sampai bila pun tak buat. Aku ni banyak cuba dan musnah. Laman Formula Cemerlang tu dah beberapa kali rosak dek tangan ini. Hinggalah jadi elok seperti sekarang ini. Kena cuba try test baru tahu camner nak buat. Kalau sekadar berteori tak payahlah. Alhamdulillah pula sekarang aku dibantu oleh seorang bekas mahasiswa Mesir yang kreatif dan berkredibiliti dalam bidang grafik juga sudah menjadi eksekutif penerbitan di syarikat aku. InsyaAllah akan terus mewujudkan lebih banyak portal untuk menyebarkan sebanyak mungkin ilmu dan dakwah kepada masyarakat. Aku berdoa agar terus diberikan kekuatan dan rezeki bagi meneruskan jihad siber ini. Amiiin! Aku juga perlu berterima kasih kepada keluarga tersayang terutamanya isteri yang memahami dan memberikan sokongan sentiasa. Aku ni balik je ke rumah, selepas selesai segala tanggungjawab lain seperti makan dan solat terus naik ke pejabat mini aku ni bagi membuat kerja. Kalaulah tak mempunyai isteri yang memahami tentu susah aku. Terima kasih sayangku, engkaulah sumber inspirasiku. Semoga rumahtangga dan keluarga di bawah sinar Mawaddah Wa Rahmah Yang Maha Kuasa. Amiin!

22 August 2005

Alhamdulillah Aku Berjaya Adakan Kuliah Kali Pertama

Lama betul aku tak berposting di sini. Aku amat bersyukur bila hari Sabtu yang lalu buat kalu pertama aku berjaya mengadakan Kuliah Ilmu kali pertama di rumahku. Alhamdulillah ramai juga yang hadir, daripada kalangan keluargaku, staff-staffku dan jiran terdekat. Penceramahnya Ustaz Anwar Ridzwan Zakaria. Di sini aku kongsikan kertas kerja dia malam tu. Memang power!

ASAS INDIVIDU MUSLIM : PERBINCANGAN ANTARA IMAN DAN AQAL1

Oleh

Anwar Ridwan Zakaria

Akademi Pengajian Islam, UM

Pendahuluan

Mutakhir ini kita dapati persoalan aqal (rasional) dilihat mendominasi iman didalam memahami ajaran Islam. Kertas ringkas ini bertujuan memberikan pengenalan awal tentang asas pemikiran seorang individu muslim. Ia sangat memberi kesan di dalam kehidupan harian seorang individu muslim. Asas ini jugalah yang melahirkan pandangan yang berbeza di antara individu muslim dengan non-muslim. Ini dapat dilihat terutamanya apabila membabitkan soal-soal yang secara mata kasarnya sukar untuk difahami.

Iman Asas Utama Individu Muslim

Perkataan iman secara ringkas membawa maksud percaya dan yakin. Terdapat beberapa istilah lain yang digunakan oleh orang melayu untuk memberi maksud yang sama iaitu aqidah dan tauhid. Secara umumnya iman memberi erti keyakinan yang penuh terhadap apa yang datang daripada Allah melalui RasulNya atau dalam erti kata lain apa-apa yang datang dari al-Quran dan hadith yang sahih.

Iman juga bermaksud menerima secara bulat-bulat apa yang disampaikan. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat diperingkat awal. Abu Bakar umpanya digelarkan sebagai Al-Siqqiq hasil dari iman yang secara total terhadap isra’(perjalanan dari Baitillah ke Bait al-Muqaddas) dan mikraj (perjalan ke langit) Rasulullah.

Ini berbeza dengan amalan manusia biasa terutamanya non-muslim yang melihat aspek aqal sebagai asas utama di dalam menerima sesuatu termasuklah ajaran Allah swt. Atas asas ini lah kita lihat berlaku kritikan-kritikan yang banyak terhadap ajaran Islam hasil daripada asas aqal dijadikan piawaian utama. Aspek wanita umpamanya menjadi asas kritikan terhadap Islam apabila dilihat berlaku diskriminasi.

Bagi individu muslim, sepatutnya apa yang disampaikan patut diterima dengan penuh keyakinan (iman). Keyakinan ini sebenarnya jika dikaji tidaklah bercanggah dengan aqal manusia. Bahkan ia merupakan fitrah setiap manusia yang diciptakan. Asas kepada keyakinan ini boleh dilihat melalui beberapa analogi :

  1. Allah sebagai pencipta

Fitrah manusia menunjukkan bahawa alam ini mempunyai pencipta. Boleh dikatakan keseluruhan manusia meyakini bahawa alam ini diciptakan oleh Allah (God). Aqal yang sihat akan menyakini segala apa yang disampaikan oleh tuan pencipta tentang apa yang diciptakan.

  1. Rasul sebagai utusan

Keyakinan kepada para rasul memang menjadi aspek sering dipertikaikan yang akhirnya menolak keseluruhan ajaran itu sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa apa yang disampaikan oleh para rasul itu benar. Kebenaran telah dibuktikan dengan ujian yang telah berjaya membuktikan kebenaran para rasul sebagai utusan Allah. Aqal yang sihat akan menyakini sesuatu yang telah dibuktikan secara berulang kali.

Analogi di atas menunjukkan bahawa asas utama kepada individu muslim adalah menyakini setiap apa yang datang daripada Allah dan RasulNya.

Iman dan Aqal

Persoalan yang sering menjadi topik hangat akhir zaman adalah persoalan rasional (aqal). Timbul persoalan, adakah Islam itu agama yang tidak rasional atau agama yang tidak boleh menggunakan aqal?. Persoalan ini sangat penting untuk dijawab supaya umat Islam menimbang soal iman dan aqal dengan baik.

Islam seperti yang diketahui umum sangat menitikberatkan soal berfikir dan rasional. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui Al-Quran dan hadith Rasulullah. Ini juga dapat dilihat ketika para ulamak Islam mengupas isu-isu fiqh melalui perbincangan hikmah dan illah. Kesemuanya ini menggambarkan Islam sangat mementingkan soal rasional dan aqal.

Islam melihat aqal mestilah berpandukan kepada iman. Aqal tidak boleh berdiri sendiri tanpa disandarkan dengan iman. Jika dilihat dari aspek etimologi (pembinaan kata), aqal bermakna sesuatu yang diikat. Seseorang yang berakal adalah orang yang mampu mengikat aqalnya untuk membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. Atas dasar ini, Islam melihat sesuatu yang buruk dan baik itu perlu diikat berasaskan wahyu (Al-Quran dan Al-Hadith).

Secara realitinya, aqal manusia memang terhad. Manusia tidak mengetahui sesuatu yang diluar kemampuan dan kebiasaannya melainkan dengan berita yang disampaikan kepadanya. Dalam erti kata lain, aqal manusia adalah terhad kemampuannya berfikir. Seseorang yang hanya mengikat sesuatu dengan aqalnya sahaja akan terjerumus ke dalam kemusnahan.

Sebagai contoh, seorang yang tidak pernah terdedah dengan soal teknologi akan berfikir bahawa lebih baik menggunakan air daripada petrol untuk menggerakkan engine. Ini kerana air lebih murah daripada petrol. Bagi orang yang ada sedikit pengetahuan akan berfikir bahawa diesel lebih baik digunakan kerana harganya juga bahan api dan lebih murah. Tetapi jika manusia menggunakan aqal melalui penjelasan pencipta engine baru manusia akan terselamat dari kemusnahan.

Kesemua alasan diatas menunjukkan bahawa aqal sangat perlu di dalam Islam tetapi ianya mestilah berasaskan keimanan. Kajian dan rasional yang dicari mestilah berasaskan kepada aqidah. Inilah yang akan menyelamatkan manusia daripada kemusnahan hasil daripada pemikiran manusia yang sempit dan terhad.

Iman dan Kebenaran

Satu lagi asas yang penting adalah iman kepada ajaran Islam adalah sesuatu yang benar. Konsep kebenaran ini agak sedikit berbeza. Manusia yang tidak beriman akan menilai sesuatu kebenaran itu berasaskan pemikiran mereka. Jika ianya dirasakan tidak benar berasaskan aqal mereka, perkara tersebut akan ditinggalkan. Islam melihat kebenaran itu mesti melalui iman. Ini kerana kebenaran akan terhasil apabila ianya dilaksanakan. Maka untuk merealisasikan sesuatu perkara yang secara aqal tidak dapat melihatkan kebenaran maka perlunya iman untuk memastikan kebenaran itu dapat dilihat melalui perlaksanaannya.

Jika dilihat secara rambang, banyak ajaran-ajaran Islam yang dirasakan tidak sesuai dan tidak ada kebenaran padanya. Hasilnya kita lihat umat Islam sendiri tidak menghayati ajaran tersebut. Inilah sebenarnya punca Islam itu tidak dapat dirasai kemanisan dan kehebatannya. Islam memang agama yang cemerlang tetapi dengan hanya ungkapan dan pemikiran Islam tidak akan cemerlang.

Sebagai contoh, seorang pesakit yang pening kepala datang berjumpa doktor. Doktor memberikan ubat dengan aturannya untuk dimakan. Untuk menghilangkan pening kepala, pesakit tidak boleh menilai kebaikan ubat tersebut dengan hanya melihat secara fizikal dan mengulang-ulangkan sebutan aturannya sahaja. Pesakit tidak mampu berfikir tentang bagaimana ubat tersebut menghilangkan pening. Pesakit hanya akan mendapati kebenaran tersebut melalui pengambilannya secara berterusan. Atas dasar itulah, ajaran Islam perlu dilaksanakan untuk mendapatkan kebenarannya dan bukan melalui pemikiran dan perbincangan sahaja.

Kesimpulan

  1. Umat Islam mesti meletakkan keimanan sebagai asas kehidupan.

  2. Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan metodologi barat didalam menilai Islam dengan meletakkan aqal sebagai piawaian di dalam menjustifikasi ajaran Islam.

  3. Rasional dan kebenaran ajaran Islam tidak semua dapat dibuktikan dengan aqal kerana aqal manusia sangat terhad.

  4. Rasional dan kebenaran ajaran Islam kadang-kadang dapat dibuktikan dengan iman dan praktik.

1 Kertas ini adalah ringkasan untuk perbincangan sahaja. Analogi yang dibawa hanya untuk memberikan kefahaman asas. Segala nas-nas dan isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan di dalam perbincangan.

05 August 2005

Melawat Tokoh Penulisan Yang Prolifik dan Klasik

Hari Selasa 3 hb. yang lalu, rombongan Kumpulan PTS selepas ke pelancaran buku di PSPN Selangor terus ke rumah tokoh penulisan yang cukup prolifik iaitu Ustaz Ann Wan Seng. Orang yang mengikuti penulisannya sejak dulu lagi tentu bersetuju kalau aku katakan bahawa dia ini antara tokoh penulisan prolifik di Malaysia. Dahulu orang amat mengenalinya melalui tulisan-tulisannya di Harakah, kemudian dia beralih kepada beberapa makalah lain seperti Eksklusif (Dah tutup, bekas akhbar Karangkraf), Majalah I dan banyak lagi. Hasil tulisannya memang banyak sebanyak buku-buku yang berada di rak buku rumahnya. Apabila kami masuk ke dalam bilik studi dan kerjanya, wah memang kagum dengan betapa banyaknya bahan bacaannya. Memang patutlah dia ini kuat menulis dan banyak menulis dalam pelbagai bidang. Sebut aja bidang apa, anak-anak, politik, remaja, ekonomi, isu semasa. Semua ada. Itulah hebatnya Ann Wan Seng ini. Memang suatu tokoh penulisan yang perlu dikagumi dan menjadi idola penulis-penulis lain. Satu lagi jangan tak tahu, hobinya mengumpul barang-barang antik. Memang sesiapa yang ke rumahnya pasti kagum. Antara yang dikumpulkan adalah kamera, buku-buku lama, lampu, kipas, papan tanda dan banyak lagi. Aku anggarkan berjuta ringgitlah harganya. Memang best dan hebat. Mari kita hayati gambar-gambar yang diambil di rumah Ustaz Ann Wan Seng ini.

04 August 2005

Tahniah PTS Pro! Pelancaran Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah

Alhamdulillah! Semalam 3 hb. Ogos 2005 bertempat di Pusat Sumber Pelajaran Negeri Selangor diadakan pelancaran buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd. (PTS Pro) salah sebuah anak syarikat Kumpulan PTS. Ia disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dato Hj. Yusoff Haron. Majlis ini diadakan bersempena dengan pelancaran sistem ILMU (Integrated Library Management Utilities) yang dibangunkan oleh PSPN dengan kerjasama daripada UiTM dan sebuah syarikat swasta. Sistem ini adalah suatu sistem yang memudahkan pengintegrasian maklumat di antara satu PSPN dengan PSPN yang lain. Ia juga memudahkan pelanggan ataupun pengguna mendapatkan maklumat mengenai buku-buku yang berada di setiap PSPN. Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah adalah tulisan para kakitangan PSPN Selangor yang diketuai oleh editornya En. Azman Larut. Tahniah kepada PTS Pro, teruskan usaha dan kecemerlangan ini.

01 August 2005

Selamat Hari Lahir Sayangku! Nurulhilyati Abdul Halim

Alhamdulillah hari ini bertambahlah lagi setahun umurmu sayangku. Ku doakan moga pertambahan umur ini meningkatkan kematangan kita bersama. Sudah 26 tahun umur isteriku. Terus terang ku katakan bahawa dikaulah anugerah terbaik yang Tuhan berikan kepadaku. Tidak pernah ku terima anugerah sebaikmu. Kehadiranmu memberikan kekuatan kepada diriku. Waktu susah engkaulah semangatku, waktu senang engkaulah komediku. Dikaulah juga yang memberikan satu lagi anugerah terbaik iaitu anak kita Muhammad Iqbal Nu'aim. Ku doakan Tuhan memberikan keredhaan dan rahmat kepadamu sentiasa.
Selamat Hari Lahir Isteriku Yang ke 26. Moga Allah menambahkan rezeki dan keharmonian rumah tangga kita berdua, Amiin!!!

29 July 2005

Perang Kampus Sudah Bermula!

Apabila aku melayari beberapa laman kemahasiswaan, sudah ditiup semboyan peperangan dalam kampus. Masing-masing sudah mula menyerang menggunakan tentera sibernya. Dahulu pada zamanku sebagai mahasiswa perang siber ini bukanlah mainan utama dalam politik kampus. Ia tidak dimanafaatkan kerana jumlah pelawatnya tidak sehebat sekarang. Sekarang ini di mana-mana sahaja mahasiswa menggunakan internet sebagai koran rujukan utama penyelidikan mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa perang politik kampus secara siber semakin panas daripada hari ke hari. Aku tidak mahu mengulas banyak mengenai peperangan siber, cuma aku ingin melihat apa tujuan sebenar kita berperang dalam politik kampus. Selama aku menjadi mahasiswa dan memegang jawatan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, aku melihat calon-calon yang berperang dalam pilihanraya kampus berdegar-degar menyatakan hasrat untuk menjadi pemimpin mahasiswa yang akan membela kebajikan pelajar IPT. Pelbagai janji dan komitmen ditabur hinggakan ramai terpesona dengan kata-kata itu. Merata tempat dilawati, setiap fakulti dijengah, semua asrama diziarah. Setiap tempat ini kata-kata yang sama diulang. Masa rapat umum hebat berperang, satu pihak menembak yang satu lagi. Kiranya siapa yang mempunyai lidah paling tajam dan persuasif itulah pemenangnya. Ia persis politik kebangsaan 5 tahun sekali. Namun begitu, apabila menang yang menang jadi arang yang kalah jadi abu. Letih berperang, keluarkan duit buat poster sana-poster sini. Air liur dijual bergelen-gelen. Itulah pilihanraya kampus. Apa yang aku sedih adalah pemimpin-pemimpin yang menang ini akhirnya hanya tinggal janji. Dahulunya mengatakan ingin menjadi hero mahasiswa, mempertahankan kebajikan mahasiswa. Akhirnya kata-kata hanya tinggal kata-kata. Sekretariat MPMUM hanya jadi lawatan segelintir pemimpin sahaja. Yang lain kesemuanya sibuk dengan urusan lain, nak studylah, sibuklah, tesislah. Ke mana perginya janji-janji yang ditaburi. Ini berlaku bukan sahaja di kalangan yang berpengajian sains seperti kejuruteraan, perubatan malahan daripada pengajian Islam dan sastera. Kesemuanya pada masa itu mula mementingkan diri. Baru mula merasakan rugi menjadi pemimpin dan meminggirka diri. Ini semua pada pandangan ku pemimpin mahasiswa yang HAMPEH! Kalau begitu jadinya baik jangan jadi pemimpin mahasiswa dan jangan bertanding langsung. Walaupun ada mengatakan pemimpin zaman mahasiswa ini apa sangat tetapi ia adalah gambaran sebenar kepimpinan kita. Dan ia membawa kepada kepimpinan semasa keluar daripada kampus. Apabila dalam kampus pun HAMPEH kat luar masa jadi pemimpin organisasi pun tentunya HAMPEH juga. Mana-mana yang mat study ataupun yang hanya nak main-main untuk bertanding dalam pilihanraya kampus tu, aku nasihatkan lupakanlah. Berilah kepada orang yang benar-benar nak menjadi pemimpin sebenar. Ingatlah dalam Surah AsSaf yang mengatakan besarlah kemurkaan Allah kepada orang yang tidak melakukan apa yang dia kata. Jadi fikirlah dahulu sebelum menandatangani borang untuk bertanding nanti. Aku bercakap daripada pengalaman bertahun-tahun berada dalam alam kepimpinan mahasiswa. Jadi fikir-fikirlah.

27 July 2005

Kenapa Kita Membenci?

Lama betul rasanya aku tidak menjengah bagi melontar tinta ke laman ini. Alhamdulillah hari ini ada sedikit ruangan di petang hari buatku berkongsi pandang dengan para pelayar web. Aku ingin membawa bersama-sama kita semua kepada satu persoalan 'benci'. Sebenarnya mengapa kita membenci? Kalau dua orang yang bercinta berpisah, yang satu membenci yang satu lagi. Mengapa mereka membenci? Kerana kecewa? Mengapa perlu kecewa? Kerana tak dapat apa yang dihajati? Apa yang dihajati? Bahagia? Gembira? Adakah kalau kita tak berpasangan dengan si dia kita tak gembira? Bagi dua kumpulan yang bertentang ideologi politik. Mengapa mereka membenci? Kerana pandangan berbeza? Mengapa berbeza? Kerana satu pihak mahukan wang dan satu lagi mahukan Islam? Mengapa perlu wang dan Islam? Kerana mahukan bahagia? Habistu bahagia ke kalau kita berperang antara satu sama lain? Jadi apabila kita membuka buku nota dan menyenaraikan kembali mengapa kita membenci. Sebenarnya kita membenci disebabka perkara yang sememangnya tak berasas. Membenci kerana cinta, mengapa perlu bercinta jika kita membenci. Membenci kerana politik, politik tidak boleh dibina dengan benci. Membenci kerana Islam, Islam bukan agama kebencian. Jadi bila dicongak sebenarnya kita tak patut membenci. Kita hanya perlu menyayangi. Apabila tiada benci, InsyaAllah ada titik pertemuan di antara dua pihak yang bertelagah. Dan benci takkan wujud dengan sayang. Jadi buangkanlah benci, bawakan bunga kasih dan sayang. Dan bawakanlah kewangian syiar Islam dalam kehidupan. Maka amanlah dunia ini.

21 July 2005

Terkenang Masa Dulu

Semalam, Alhamdulillah aku dapat bertemu kembali dengan bekas naqib usrah aku suatu ketika dahulu Abang Anwar Ridzwan Zakaria. Dalam dunia kemahasiswaan dahulu aku pernah mengatakan kepada rakan-rakanku dalam kampus bahawa dalam UM aku hanya akan mendengar fatwa daripada dua orang sahaja. Pertamanya, Zainol Azizi Mat Zain abang angkatku dan kedua Anwar Ridzwan Zakaria naqib usrahku. Abang Anwar masih seperti dahulu seorang yang tenang dan mesra. Kata-katanya penuh hikmat dan aku bersyukur kerana kembali bertemu dengannya yang ku anggap sebagai mentorku. Zaman abang Anwar sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMIUM) adalah zaman yang ku lihat banyak perubahan dilakukan. Perubahan daripada sistem tarbiyyah, sistem pentadbiran dan sebagainya. Pada zamannya jugalah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya kembali ke tangan golongan pro Islam. Memang karismatik dia ini walaupun tubuhnya kecil tetapi kecil-kecil cili padi. Zaman itu sebut sahaja Ustaz Anwar Ridzwan berceramah ataupun berkuliah, pasti ramai yang akan hadir. Lebih kurang seperti MAWI AF3 versi PMIUM lah. Jangan marah ye abang Anwar! Banyak cerita dan perkara yang dibincangkan, pandangan, perspektif semasanya tetap seperti dahulu. Seorang reformis dalam stailnya tersendiri. Aku rasa bangga menjadi anak usrahnya dan menteenya. Diharapkan Tuhan memberikan rahmat dan redhanya kepada abang Anwar. Semoga perjuangan semakin marak, azam semarak agama, bangsa dan negara. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd!

18 July 2005

Kesan Bahasa Melayu Di Dalam Sistem Perundangan

Ramai yang melihat isu bahasa ini sebagai isu pendidikan sahaja. Namun begitu sebenarnya ia lebih daripada itu. Ia melibatkan politik, ekonomi, budaya, perundangan dan banyak lagi. Betul ke? Mesti orang bertanya begitu. Baiklah, aku akan mula membuka lembaran demi lembaran dalam blog ini bagi menyingkap satu persatu kesan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita. Walau apapun aku tidak menafikan keperluan penggunaannya sebagai alat penting dalam bidang-bidang tertentu seperti bisnes, pendidikan dan sebagainya. Cuma kita ingin menjadi agak kritis kepada isu penukaran bahasa dalam sistem pendidikan keseluruhan yang orang pandang ia tidak akan menjejaskan jati diri Melayu. Dalam satu seminar anjuran sebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Prof. Dr. Syeikh Nor Alam Dekan Fakulti Linguistik dan Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia (UPM) menerangkan kesan penggunaan bahasa Inggeris di dalam mahkamah berbanding bahasa Melayu. Prof. Syeikh Nor Alam adalah juga seorang peguam (by training). Dalam satu kes mengenai tuntutan seorang anak perempuan bagi menyaman seorang ayah kerana si ayah tidak membenarkannya berkahwin dengan lelaki pilihan. Kes ini dibicarakan dalam mahkamah yang menggunakan bahasa Inggeris. Keputusan mahkamah tersebut membenarkan si anak menyaman anak dan dalam kata lain si anak menang. Kemudian kes tersebut dirayu oleh si ayah dan dibawa pula ke mahkamah yang menggunakan bahasa Melayu. Di mahkamah tersebut si ayah menang kes dan saman si anak ditolak. Mengapa boleh jadi begini? Dalam bahasa Inggeris tidak ada perkataan patuh kepada ayah. ISh! Betul ke? Mesti orang berkata begitu, habis tu perkataan 'obey' bukan bermaksud patuh ke? Tunggu dulu, 'obey' bermaksud perlu mengikut perintah. Namun begitu dalam kes ayah dan anak bukan bermaksud mengikut perintah tetapi patuh kepada kehendak permintaan ayah. Si ayah adalah wali kepada anak tersebut, jadi mengikut Islam perkataan patuh adalah ketetapan agama. Jadi apa yang boleh kita gambarkan bahawa, bahasa Melayu ini bukannya hanya bahasa tetapi sebenarnya menunjukkan agama Islam itu sendiri. Namun begitu apabila kita menggunakan bahasa lain yang tidak ada unsur dan nilai Islam. Maka urusan kita seharian hanya sekadar urusan biasa. Sudah hilang nilai dan moral yang diajarkan oleh Islam. Ini baru satu faktor. Nanti kita bincangkan faktor yang lain pula.

12 July 2005

Ke Mana Arah Masa Depan Bahasa Melayu?

Ahad 10 Julai 2005 aku menghadiri Kongres Menyelamat & Mandaulatkan Semula Bahasa & Pendidikan Melayu anjuran Kumpulan PRIHATIN. Kongres ini diadakan bagi menyatakan pandangan dan pendapat mengenai masa depan Melayu dan Bahasa Melayu. Kumpulan PRIHATIN yang dipengerusikan oleh Tokoh Ilmuwan Melayu Dato' Zainal Abidin Wahid dianggotai oleh sejumlah besar ilmuwan Melayu antaranya Prof. Shahrin Abdul Majid, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Awang Sariyan, Dato' Seri Harussani, Puan Ainon Mohd. Tan Sri Ainuddin dan ramai lagi. Maksudnya haritu aku dikelilingi oleh tokoh-tokoh besar Melayu. Terasa kerdil betul pada masa tu (walaupun badan besar). Dan yang lebih menarik ia turut dihadiri oleh tokoh korporat Malaysia Tan Sri Khalid Ibrahim. Menarik memang menarik. Sesi separuh hari ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama ulasan kertas-kertas kerja tokoh ilmuwan bahasa oleh Prof. Dr. Abdullah Hassan dan sesi perbincangan gerak kerja bertindak. Sesi pertama membuka minda aku betapa pentingnya penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan kita sebagai masyarakat Melayu. Kepentingan daripada semua segi ekonomi, pemikiran, budaya dan sebagainya. Ramai yang mengatakan bahawa kita perlu menyokong dasar yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir itu bagi membolehkan kita global. Apakah ertinya global di situ? Mahu bersaing di antarabangsa? ataupun mahu menjadi player dunia dalam semua bidang? Kemudian ada pula yang mengatakan bahawa tujuan utama memperkenalkan dasar tersebut adalah bagi memudahkan kita bercakap dalam bahasa Inggeris. Itu yang Prof. Shahrin kata sebagai sewel tu. Kalau betullah alasan tersebut, maksudnya kalau nak belajar bahasa Tamil dan bahasa Mandarin perlu ajar anak-anak kita sains dan matematik dalam bahasa tersebutlah. Cuba kita lihat negara-negara maju dunia, apakah bahasa yang digunakan oleh mereka? Adakah mereka menggunakan bahasa lain ataupun bahasa ibunda mereka? Tentu orang akan tersentak, ya mereka menggunakan bahasa ibunda mereka mereka. Bahasa ibunda itu memainkan peranan penting kepada kemajuan dan pembangunan negara mereka. Mereka tidak berbangga-bangga dengan bahasa orang lain. Jepun, Korea, Jerman, Russia dan sebagainya. OOOh! Diorang ni negara besar, bolehlah! Tunggu dulu. Ada negara yang lebih kecil sepuluh kali ganda daripada kita dengan rakyat hanya 2 juta boleh maju dengan bahasa ibunda mereka. Negara mana? Negara inilah yang memperkenalkan kepada kita telefon-telefon bimbit canggih NOKIA. Negara tersebut adalah negara Finland. Mereka menggunakan bahasa Fin. Negara-negara seperti India, Afrika Selatan dan Hawaii yang sekian lama menggunakan bahasa Inggeris sejak beratus tahun tak maju-maju juga. Itu yang saya setuju dengan pandangan Prof. Shahrin tu, tindakan yang sewel. Kalau bukti depan mata yang tidak boleh disangkal lagi tapi kita tetap pertahankan ego kita mahu menjaga politik masing-masing hinggakan anak bangsa sendiri punah, baik jangan jadi pemimpinlah. Pemimpin yang tidak boleh berfikir dengan bukti logik ini adalah pemimpin yang tak layak jadi pemimpin. Dah berapa ramai pelajar-pelajar kita yang satu masa dahulu cemerlang dalam mata pelajaran sains dan matematik apabila menggunakan bahasa Melayu dan menjadi lingkup disebabkan oleh dasar yang karut ini. Itu tak termasuk para pelajar yang rasa putus asa sebab mereka tak boleh belajar dengan baik dalam bahasa Inggeris ini. Hingga laporan yang PTS dapat daripada kedai, buku-buku rujukan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tak laku. Berlonggok-longgok di kedai tak habis sedangkan kalau dahulu musim pembelian buku rujukan pekedailah orang yang paling gembira. Semuanya laris bak goreng pisang. Ha! Siapa yang bersalah sekarang? Adakah budak-budak ini yang bersalah ataupun dasar itu yang bersalah? Cuba kita fikirkan, berapa ramaikah ibu bapa dalam Malaysia ini tinggal di bandar-bandar dan boleh berbahasa Inggeris? Mengikut statistik hanya 14 % sahaja yang tinggal di bandar selebihnya tinggal di luar bandar. Penduduk-penduduk di luar bandar ini kebanyakannya bekerja menoreh getah, ladang kelapa sawit dan paling-paling tinggi bekerja kerajaan ataupun guru. Jadi adakah kita nak harapkan anak-anak yang mak ayah mereka tak pandai berbahasa Inggeris ini nak cemerlang dalam sains dan matematik. Dahlah kat rumah mak ayah bercakap banjar, jawa, kelantan, terengganu, sleng Bota Kiri dan sebagainya. Bagaimana nak faham bahasa Inggeris. Ish! Pelik memang pelik. Nak kata pemimpin-pemimpin kita ni jahil, kebanyakannya belajar tinggi hingga ke luar negeri. Bukti depan matapun tak dapat dilihat. Di Singapura, kebanyakan pelajarnya yang diajar bahasa Inggeris daripada kecil kemudian belajar ke luar negeri, sudah tak mahu pulang ke Singapura. Mereka ingin menetap di luar negara. Sebahagian besar daripada mereka mengatakan menyesal dilahirkan sebagai Cina dan rakyat Singapura. Ini diberitahu sendiri oleh bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong. Ini antara kesannya apabila mengatakan mengenai impak penggunaan bahasa. Sebenarnya banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa tak perlu menukar bahasa dalam pengajaran sains dan matematik. Cuma terserahlah kepada para pemimpin yang diundi oleh majoriti rakyat Malaysia membuat keputusan. Dan satu ingatan, undi-undi inilah yang menyebabkan mereka ini berkuasa dan secara automatiknya membahayakan anak bangsa kita. Fikir-fikirlah, kita hanya mampu menyatakan apa dalam fikiran namun begitu keputusannya berbalik kepada pemimpin ini. Semoga perjuangan tokoh-tokoh bangsa ini berterusan dan mencapai kejayaan. Komitmen aku jelas, aku akan terus bersama memperjuangkan bahasa Melayu sebagai ilmu untuk kecemerlangan bangsa, agama dan negara.

10 July 2005

Kampung Buku Tinggal Kenangan

Alhamdulillah! Aku dapat ke Langkawi daripada 29 Jun 2005 hingga 2 Julai 2005. Antara tempat pertama yang ingin aku kunjungi adalah Kampung Buku di sana. Kampung Buku sudah lama aku dengari daripada rakan taulan, akhbar dan pelbagai sumber lain. Sebagai seorang penerbit buku sudah tentu ia melambai hati bagi mengetahui lanjut bagaimanakah sebenarnya konsep Kampung Buku ini. Alangkah baiknya jika ia dapat dibuat di Kuala Lumpur, di mana aku dapat menelaah lembaran demi lembaran buku-buku kegemaranku. Jalan ke Kampung Buku ku harapkan lancar selancar aku mencari Berjaya Langkawi Resort tempat penginapan kami sekeluarga di sana. Namun aku melihat tiada tanda-tanda ataupun papan tanda jalan menunjukkan jalan ke sana. Terdetik di hatiku mengapa tempat ilmu yang sebegini baik kurangnya promosi di Langkawi. Sedangkan Galeria Perdana daripada Kuah sudah dapat menghidu bau jalannya. Kami sekeluarga gagahkan juga pencarian bagi memastikan hajat sekian lama tercapai. Bertanya kepada orang sebelah menyebelah jalan, banyak fatwa diberikan tetapi tak kesampaian juga. Akhirnya kami sampai juga ke Pintu Gerbang Kampung Buku. Kawasan ini sunyi sesunyinya. Tanpa kelibat pelawat yang ku harapkan. Suasana rimba mempersona sahaja melambai pesonaku untuk meneruskan perjalananku. Di tempat parkir aku tersentak apabila melihat suasana sekeliling Kampung Buku ini. TIADA PENJAGAAN? Daripada gambar-gambar yang ku titipi di sini, hayatilah tempat ilmu yang sepatutnya diimarahkan hanya tinggal rumah-rumah kosong ditemani alam. Pakejnya sudah menarik tetapi pelaksanaannya tah ke mana. Suasana alam rimba memang idola pembaca buku, cuma aku pelik mengapakah ia tidak dijaga dengan baik? Ke manakah perginya para cerdik pandai buku, ke mana perginya intelek Melayu, ke mana perginya tukang-tukang debat media sehinggakan tempat sebegini tidak diambil hirau semua. Sedih memang sedih. Marilah kita hayati gambar-gambar yang ku ambil buat tontonan semua. Ku harapkan ada pihak-pihak berkuasa tempat mengembalikan kegemilangan Kampung buku ini. Janganlah dibiarkan tempat lawatan menarik ini hanya menjadi Gajah Putih. Ramai yang mengatakan tempatnya tidak sesuai. Sesuaikah faktornya ditinggalkan? Aku rasa tidak. Sesuai ataupun tidak itu isunya lain. Galeria Perdana tempat khazanah Tun Dr. Mahathir pun ada di sini. Bukan kira tidak sesuai, mahu ataupun tidak. Geleria Perdana terjaga kawasannya, hebat hiasannya, teliti perancangannya. Mengapa tempat ilmu sebegini dibiarkan. Nanti aku kongsikan suasana Galeria Perdana pula. Tungguuuuuu.

09 July 2005

Alhamdulillah! Aku Berjaya Untuk Bercuti Dengan Keluarga

Alhamdulillah! Sesudah sekian lama merancang, ditunda, ditangguh. Akhirnya kami sekeluarga berjaya juga pergi bercuti ke Langkawi minggu lepas. Percutian bagi aku antara yang paling menyeronokkan. Kami ke sana daripada 29 hb. Jun hinggalah ke 2 Julai 2005. Nantilah aku masukkan gambar-gambar menarik kami sepanjang percutian kami di sana. InsyaAllah. Di sebelah ni adalah gambar aku, anakku dan isteri ketika berada di atas feri dalam perjalanan balik daripada Langkawi ke Kuala Perlis.

08 July 2005

Mantapkan Pengetahuan Teruskan Perjuangan!

Bagi yang mahu berjuang, langkahlah tapak demi tapak. Jangan terus berlari seribu batu. Apabila kita mulakan dengan belajar, berguru, mengkaji gerakan Islam, barulah kita tahu apakah sebenarnya niat dan tujuan kita. Barulah kita menghargai perjuangan kita dan perjuangan orang-orang lain seumpama kita. Barulah tiada perasaan prejudis antara satu sama lain. Tiadalah istilah syak wasangka dan mencuri ahli antara organisasi. Tiadalah mendabik dada akulah yang benar. Matlamat kita satu ISLAM

Jangan Bodoh Sombong Dalam Perjuangan!

Sedih aku apabila wujudnya para pejuang Islam yang ingin membawa panji-panji perjuangan tetapi sebenarnya mereka jahil mengenai apa sebenarnya hala tuju mereka. Adakah itu hanya semangat ataupun memang kemurnian hati. Aku bukannya menghalang tetapi aku takut mereka kecewa apabila sesuatu mehnah dan tribulasi mencabar mereka. Masa inilah masing-masing rasa menyesal kepada perkara yang tak sepatutnya disesalkan. Fikir-fikirkanlah.

Tuntutlah Ilmu Sambil Berjuang!

Hidup tanpa buku umpama jalan tanpa lampu, berjuang tanpa ilmu, umpama orang buta tanpa tongkat. Ramai yang kata dirinya seorang pejuang, namun begitu tidak mahu menambah ilmu. Apabila diminta datang majlis ilmu pelbagai alasan diberikan, majlis lengang. Namun begitu apabila ada ceramah politik, kahadiran bagai nak rak. Kereta melimpah ruah hingga terpaksa parkir di hadapan pagart orang. Itulah realiti pejuang-pejuang yang menamakan dirinya 'mujaddid Islam'.

05 July 2005

Berdakwah dan Berorganisasi, Jangan Berkonfrontasi

Ini aku petik daripada laman web kendalianku Formula Cemerlang.Com. Ada persoalan mengenai memilih organisasi ataupun pertubuhan. Perlu dihayati oleh semua orang yang mengatakan ingin berjuang untuk Islam. Ramai pejuang Islam mendabik dada bahawa merekalah pejuang Islam sejati dan pertubuhan merekalah yang harus diikuti. Ikutilah jawapan Dr. Danial Zainal Abidin kepada persoalan yang diutarakan ini. Soalan yang diutarakan : Assalamualaika Dr. Danial, Sy ni tertanya-tanyalaah, mana satu kumpulan yang membawa ke arah kebenaran yakni Islam yang perlu saya sertai. Yelah kalau tgkkan ada usrah, Tabligh dan sebagainya. Macam saya semua org ajak saya pergi aje tapi saya musykil, adakah saya perlu tetap pada satu perkumpulan atau bagaimana? Soalan kedua, ada kemantapa sesuatu perkumpulan itu menjadi kayu ukur? Emm..kalau ada soalan nanti saya postkan. Wassalam Jawapan Dr. Danial Zainal Abidin Assalamualaikum, Perkara yang paling asas yang wajib dilakukan ialah berdakwah kepada diri sendiri dengan melaksanakan perintah Allah serta menjauhi perkara yang dilarangnya. Pada masa yang sama pertingkatkan potensi dan kekuatan diri. Antara kekuatan yang diperlukan ialah seperti yang disebutkan oleh Imam Abul Laith As-Samarqandi dalam kitab Tanbihul Ghafilin, iaitu: “1- Ilmu. 2- Keikhlasan. 3- Kasih sayang dan kelembutan. 4- Kesabaran. 5- Mengamalkan apa yang disampaikan.” JIka kita sudah berkeluarga, jangan lupa untuk membimbing keluarga sendiri kepada kebaikan. Kekuatan-kekuatan ini akan membantu kita ketika berdakwah kpd umum. Serentak dengan usaha untuk membetulkan diri sendiri & keluarga, kita hendaklah berperanan dalam masyarakat dengan mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmizi, Nabi bersabda, “Demi Allah hendaklah kamu mengajak kepada makruf dan hendaklah kamu mencegah kemungkaran dan jika ini tidak dilakukan akan datanglah kepadamu balasan berbentuk seksaan daripada Allah dalam masa yang terdekat dan ketika itu kamu semua akan berdoa sedangkan Allah tidak akan mengabulkan doa-doa kamu.” Imam Tirmizi berkata, hadis ini bertaraf hasan. Sebaik-baiknya aktiviti dakwah hendaklah dilaksanakan dalam bentuk berorganisasi agar ia lebih tersusun dan berkesan. Dalam surah Al-Maidah ayat 2 Allah berfirman yang bermaksud, “Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara birr (kebaikan) dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.” Iktibar yang paling penting dari ayat ini ialah kesemua aktiviti “birr dan takwa” hendaklah dilakukan secara tolong-menolong. Tolong-menolong biasanya melibatkan ramai orang dan aktiviti yang melibatkan ramai orang memerlukan sistem yang mantap dan sistem yang mantap hanya dapat wujudkan melalui organisasi yang bersistem. Anda boleh menganggotai mana-mana organisasi yang menjadikan al-Quran dan as-Sunah sebagai landasannya. Setiap organisasi mempunyai fokusnya serta kekuatan dan kelemahannya. Aspek yang penting yang perlu anda ingat ialah, ORGANISASI HANYALAH ALAT DAN BUKANNYA MATLAMAT. Matlamat yang sebenarnya ialah Allah dan Islam. Anggotailah mana-mana organisasi ini dengan ilmu dan kefahaman di samping akhlak dan persaudaraan. Dengan itu anda akan menghormati orang / organisasi lain dan tidak bongkak dengan mengatakan bahawa organisasi anda saja yang hebat. Jika itu berlaku cepat-cepatlah beristighfar kerana ketika itu anda sudah terbabas. Semoga dipelihara Allah.
Dr. Danial Zainal Abidin (M.B.Ch.B; Universiti Alexandria) Pengamal Perubatan 20 Tahun, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy, Motivator Radio Mutiara FM Pulau Pinang, Penulis 10 buah buku, Kolumnis Majalah i, Pemudah Cara Pelbagai Korporat

03 July 2005

Ini kawasan setinggan. Tengoklah! Mereka ni lagi teruk daripada setinggan Malaysia. Dalam perjalanan ke Mangga Dua untuk membeli belah Posted by Picasa
3 orang kuat Mizan. Dari kiri : Bakar AlFagih, Manager Mizan International, Ilham Eksekutif Promotion dan Pak Novell Direktor Kewangan Mizan Holdings Posted by Picasa
Ini di dalam ruangan perbincangan Mizan Holdings. Minum pagi Posted by Picasa
Kak Nor posing memegang buku, aku menyelit kat belakang Posted by Picasa
Ruangan dalam pameran buku Mizan di Pejabar Mizan Posted by Picasa
Display buku di bahagian hadapan pejabat Mizan Holdings Posted by Picasa
Pintu Masuk Bangunan Mizan Holdings Posted by Picasa
Bangunan Mizan Holdings Jakarta Posted by Picasa
Banyak sungguh buku yang menarik kat Mizan ni. Tunggu kehadiran buku-buku Mizan versi PTS Millennia. Tunggu..... Posted by Picasa
Pak Novell Direktor Kewangan Mizan Holdings berbincang dengan Arief GM Kumpulan PTS Posted by Picasa
Melihat layout dalam buku-buku baru Mizan Posted by Picasa
Sedang memilih buku-buku yang ingin dilesenkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd. Rancangannya nak membawa sebanyak mungkin judul untuk di Melayukan Posted by Picasa