10 May 2005
Buat Kerja Baik Tuhan Tolong
Apabila ditanya soalan kepada aku bagaimana PTS boleh jadi sampai sebesar ini (walaupun sebenarnya belum besar lagi)? Susah sebenarnya untuk menjawab persoalan sebegini. Namun begitu yang aku boleh jawab. "Meyakini buat kerja baik, berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakal. InsyaAllah Tuhan tolong".
Jawapan itu mungkin sesetengah pandangan mengatakan bahawa aku memberikan jawapan melarikan diri tapi itu realitinya. Aku masuk ke dalam PTS pada Mac 2001 semasa di tahun akhir pengajian Kejuruteraan Letrik Universiti Malaya. Ia berlaku selepas peristiwa aku diberikan kad nama oleh Arief tanpa meminta persetujuan telebih dahulu. Peristiwa itu mengubah kehidupan aku sekarang.
Aku melangkah masuk ke dalam dunia penerbitan tanpa apa-apa pengalaman dalaman dunia itu kecuali pengalaman sebagai pengarang Majalah Varsiti (dah takdak dah), Ketua Pengarang Majalah MEMOIR PANTAI PURI (Tak tahu statusnya, kolej Pantai Puri pun dah takdak sekarang) dan menulis beberapa artikel biasa buat simpanan diri. Itu sahaja! Apa yang aku tahu, aku perlu membina kekuatan PTS bersama-sama dengan Arief.
PTS ketika itu mempunyai 11 orang staff dan berpusat di Pusat Bandar Melawati. Aku hanya berstatus freelance di dalam syarikat dan mendapat elaun bulanan. Aku berkenalan dengan Izwan (Graphic Artist PTS hingga sekarang), Fiza (pembantu kredit , awek Qalif sekarang), Hisham (Graphic Director sekarang) dan Ustaz (menjadi pendakwah bebas). GM PTS pada waktu itu, En. Zulkifli Daud. (Ajaib tak ajaibnya, aku tidak pernah bertemu dengan En. Zul sepanjang aku menjadi staff PTS. Aku kenalinya selepas PTS sudah 2 tahun bertapak di Malaysia dan kali pertama bertemu di dalam satu bengkel penerangan Buku Teks KPM. Ketika itu aku sudah menjadi Pengurus Penerbitan, mengendalikan tugas-tugasnya yang tak dijalankan dengan baik olehnya. ) Aku diarahkan bagi mendapatkan sebanyak mungkin manuskrip. PTS mempunyai situasi kekurangan manuskrip. Jadi aku mulakan kerja dengan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat diri para penulis dan pensyarah seluruh IPT di Malaysia.
Kemudian PTS menghadapi krisis pentadbiran, Arief yang mengendalikan jualan mengambil alih pengurusan PTS. GM asal PTS senyap sunyi tanpa berita. Dia tak pernah ambil tahu mengenai perkembangan PTS selepas itu sehingga sekarang baru nak kata PTS syarikat dia. Aku diminta mencari lebih banyak manuskrip dan membantu penerbitan. Staff ramai yang keluar kerana hilang kepercayaan kepada kemampuan PTS. Keupayaan Arief masa itu diuji, skill bisnesnya digunakan. Aku masuk tetap sebagai eksekutif penerbitan merangkap eksekutif jualan merangkap pengangkut barang merangkap, merangkap..... . Aku membantu daripada sudut membuat pemerolehan manuskrip dan jualan di kedai-kedai sebelah utara Semenanjung Malaysia. Staff yang masih setia cuma tiga orang, Hisham, Izwan dan En. Zul Mat. Yang lain semua menarik diri. Ada yang dipecat oleh Arief disebabkan masalah akhlak dan amanah.
Memang tertekan masa tu. Aku pula mendapat berita bahawa aku 'flop poppy' disebabkan oleh kertas elektronik 2 yang aku dah ambil kali keempat GAGAL! Mak aku menangis kat rumah, ayah aku terdiam terkilan. Anak yang menjadi harapan tersungkur di pintu menara gading. aku pun stress kerja dan selepas mendengar keputusan itu lagi stress. Tiada kawan yang datang membantu hanya aku bersendirian menghadapinya. Kesemua yang mengatakan akan membantu ketika kesusahan, usrah bertaaruf, bertafahhum, bertakaful entah ke mana. Tiada siapa yang datang menghulurkan telinga serta menyulam kata semangat menenangkan aku. Kesemua membuat hal sendiri.
Alhamdulillah aku mendapat semangat daripada tunanganku (sekarang sudah isteri) dan keluargaku. Tunanganku masih menerima aku walaupun pada dasarnya aku hanya ada sijil SPM. Aku menceritakan perihal kegagalan akademikku, dan dia menerima dengan tenang serta memberikan kata perangsang. Terima kasih sayang! Ibu dan ayahku sudah menerima realiti anaknya tidak dapat meneruskan perjuangan akademik. Mereka juga menyuntik kembali api semangatku. Teruskanlah hidup anakku. Rezeki ada di mana-mana.
Aku teruskan perjuangan, mendapatkan lebih banyak manuskrip. Pengalaman di maki pensyarah, diherdik penulis, ditendang keluar pintu bilik semuanya aku hadapi. Berjalan daripada utara ke selatan bagi membina keyakinan orang kepada penerbitan PTS. Alhamdulillah dari hari ke hari aku berjaya mendapatkan kepercayaan mereka. Masalah utamanya memastikan kepercayaan itu dibayar. Arief berusaha mendapatkan bantuan kewangan pengarah syarikat yang terdiri daripada adik beradik Puan Ainon. Editor kami pada masa itu hanya Puan Ainon seorang.
Kesemuanya ini kami buat tanpa apa-apa tunjuk ajar daripada sesiapa. Aku dinaikkan menjadi pengurus penerbitan dan menguruskan penerbitan PTS. Pada masa itu aku mensistemkan semula penerbitan PTS menggunakan acuan aku sendiri. Membuat sistem penilaian dan pengurusan kualiti. Semuanya tanpa aku melihat kepada sistem sedia ada. Tak pernah aku berjumpa dengan penerbit-penerbit lain.
Selepas itu aku membawa masuk tunanganku ke dalam syarikat. (Sori bukan membawa masuk, dia ditawar masuk seminggu selepas ditemuduga oleh Puan Ainon. Seminggu lepas tu kami akad nikah. Menjaga batasan syarak) Dengan keputusan drastik kami membuat keputusan untuk bernikah lebih awal. Dalam masa seminggu sahaja kami terus bernikah. Sepatutnya kami bernikah 25 Mei 2002 tetapi membuat keputusan nikah 12 April 2002. Ini yang aku katakan sebagai keputusan bisnes. Dialah editor pertama yang dilatih oleh Puan Ainon.
Kemudian Alhamdulillah aku mendapat beberapa projek besar universiti menerbitkan buku teks pelajar tahun 1 UUM. Masa itulah PTS mula mendapat perhatian di UUM. Setiap bulan ada sahaja manuskrip masuk dari sana. PTS mula berkembang dan terus berkembang. Daripada jualan tahunan hanyalah RM 58 K meningkat seratus peratus hinggalah ke tahun lepas pada 31 Disember 2004 mencecah RM 3.3 juta. Keyakinan kepada perjuangan memandaikan bangsa sendiri dengan bahasa sendiri dan menambahkan bahan-bahan ilmu berunsurkan Islam bagi tujuan dakwah membakar semangat semua. Alhamdulillah sudah terbukti sekarang perjuangan itu mendapat pulangannya. Kebijaksanaan GM PTS Arief dalam mencatur strategi bisnes dan juga kerjasama semua staff. PTS sudah berada di tahap ini sekarang.
Siapa yang memandang sekarang hanya tahu kejayaannya tetapi tidak tahu kesusahannya. Rakan-rakan, saudara mara, sepupu sepapat hanya melihat hasilnya tanpa mencongak keperitannya. Yang ada hanya kata-kata tahniah!. Terima kasih!
Berkat penulis, berkat staff, berkat doa keluarga, berkat doa rakan-rakan menyebabkan PTS adalah PTS sekarang. Daripada tidak dikenali di kalangan peminat buku sekarang sudah disebut-sebut di merata kedai buku besar Malaysia. Daripada ditendang keluar daripada pintu bilik pensyarah, dijemput-jemput sekarang ini. Daripada staff hanya 6 orang sekarang 28 orang. Daripada hanya satu syarikat sekarang sudah ada 4 anak syarikat. Daripada penulis tiada nama hinggalah yang ada nama sudah menerbit denganPTS. Alhamdulillah! BUAT KERJA BAIK TUHAN TOLONG.
Perjuangan murni menaikkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, membumikan ilmu daripada langit Tuhan tetapi di dalam hati semua staff PTS. Semoga ramai yang mendapat hidayah melalui buku-buku PTS ini. Amin!
Aku bergambar dengan para penulis syarikatku PTS Millennia Sdn Bhd yang prolifik. Daripada kiri Ahmad Naim Jaafar, Dato' Dr. Fadzillah Kamsah, Aku kat belakang, Ahmad Fadzli Yusof dan Ahmad Yadi Said. Ini gambar selepas sesi bersama Dato' Dr. Mohd Fadzillah Kamsah di booth Kumpulan PTS pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 tempoh hari.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment