07 May 2005
DAKWA ATAUPUN DAKWAH?
Aku teringat semasa pertemuan aku dengan Ustaz Haji Ahmad di Johor Bahru ketika berada di sana atas jemputan memberikan ceramah penulisan untuk JIM Johor Bahru dan Pensyarah Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Batu Pahat (KUiTTHO). Ustaz Haji Ahmad adalah Naib Kadi Daerah Kulai dan juga ayah kepada kakak angkat aku Norhadayah. Pertemuan ini sekitar Julai 2004.
Dia berkata,"Fauzul! Daripada tarikh 1 Januari 2004 hinggalah sekarang (Masa aku berjumpa dengannya). Saya sudah menikahkan 200 pasangan yang mana pada masa dinikahkan mereka sudah mengandung lebih daripada empat bulan. Dan daripada 1 Januari 2005 hingga sekarang, saya sudah menikahkan lebih daripada 200 pasangan yang mana pada masa dia dinikahkan itu ada walinya tetapi perlu berwali hakim"
Tersentak aku mendengar pernyataannya itu. Johor merupakan negeri yang mana jumlah penduduk Melayunya antara yang terbesar di Malaysia. Kes-kes mengandung luar nikah. "Tahun lepas (2003), Jika dikumpulkan keseluruhan Johor Bahru berlaku 200 ke 300 kes yang sama."
Inilah realitinya, bahawa masyarakat kita sudah lama rosak. Berdasarkan maklumat yang diberikan di atas, ia menunjukkan gejala zina ini sudah berlaku lama dahulu. Sebelum dunia IT dan siber lagi. Mengapa aku berkata begitu? Cuba lihat statistik kedua yang mengatakan bahawa lebih daripada 200 pasangan yang pada masa dinikahkan ada wali tetapi berwali hakim. Ia menunjukkan bahawa ayah dan ibunya dahulu sudah melakukan zina dan dia adalah anak luar nikah.
Satu lagi pengalaman yang aku hadapi pada ketika isteriku melahirkan anakku di Hospital Manjung, Sitiawan, Perak. Pada waktu itu dalam wad yang sama, terdapat seorang budak yang pada pengamatan aku masih muda berada di wad bersalin di katil berhadapan dengan katil isteriku. Mengapa aku kata begitu?Aku lihat budak perempuan ini tersenyum seperti budak-budak yang memang tidak matang wakaupun tubuhnya besar.
Suatu pagi semasa aku sampai ke hospital selepas bertahan menahan isteriku ketika beliau bersalin malam sebelum itu. Letihnya masih terasa, kepada para suami sepatutnya masuk ke dalam bilik bersalin bersama isteri kita mereka hendak bersalin. Pengalaman itu amat berguna untuk semua. Barulah kita menghargai isteri kita, mereka menghadapi saat-saat yang amat getir ketika itu. Dengan kesakitannya yang tidak dapat digambarkan oleh kita lelaki. Aku berada di dalam bilik bersalin dan berhadapan dengan keadaan air ketuban yang pecah serta darah yang keluar. Memang agak menjijikkan tetapi dah tak terfikir dengan kejijikan pada masa itu. Memang pengalaman yang membuka minda. Cukup dulu.
Ketika sampai di hospital dan berjalan ke arah wad bersalin. Ada seorang makcik berlari-lari ke arahku dengan memegang bayi, beliau memanggil aku. "Dik! Dik! Tolong makcik!" katanya. "Adik boleh tolong azankan cucu makcik tak? Ayahnya entah ke mana" dia mengeluarkan permintaan dengan air mata di mata. Aku sebak seketika, "Ya! Makcik, berilah kepada saya" Aku pun azankan bayi lelaki itu. Keadaan itu membuatkan ku tertanya-tanya apa yang berlaku. Kemudian aku serahkan kembali kepada makcik itu. Terus ke wad bersalin dan menemui isteri serta anakku yang masih belum bernama ketika itu.
Barulah aku sedar bahawa anak yang diazankan tadi adalah anak kepada budak perempuan mentah yang aku ceritakan tadi. Kelihatan makcik tadi meletakkan anak tersebut di sebelahnya. Budak itu memegang anak itu seperti memegang Teddy Bear. Aku membuat sedikit risikan dan baru aku tahu bahawa budak perempuan tersebut baru berusia 13 tahun. Dia sudah 3 kali keguguran anak, dan ini anak yang keempat. 3 kali keguguran itu disebabkan rahimnya masih belum bersedia untuk mengandungkan anak. Ayahnya entah ke mana dan siapa. Astaghfirullahalazim!
Dalam satu pertemuan lain dengan Fellow Kanan IKIM, En. Azarudin di IKIM. Beliau ini ingin membincangkan buku yang ingin diterbitkan dengan PTS. Dalam perbincangan itu beliau memberitahu aku bahawa beliau sedang mengendalikan 11 kes pelajar IPTA yang sedang mengandung anak di luar nikah. Ada daripada UM, UIAM, UKM dan UPM. Dan beliau juga memberitahu berkenaan satu kes pelajar yang murtad di KL. Dia sedang berusaha membawa budak itu kembali kepada Islam. Maklumat yang saya terima juga dia mengatakan di Jalan Duta ada satu asrama menempatkan pelajar Melayu yang murtad di bawah pembiayaan Kristian. Segalanya diberikan. Makan, minum, tempat tinggal,pendidikan dan sebagainya didana oleh gereja.
Kesemua statistik ini amat menggerunkan. Bagaimana semua ini berlaku? Salah siapakah kesemua ini berlaku? Adakah kita ingin membiarkan ia berlaku dari hari ke hari. Kebarangkalian anak-anak kita, adik beradik kita adalah sebahagian daripada statistik itu. Adakah kita perlu mendakwa ataupun berdakwah kepada masyarakat?
Dakwa hanya dilakukan selepas kes itu berlaku. Tetapi kerja dakwah perlu dilakukan sebelum sesuatu kes berlaku. Kita harus jadi pendakwah untuk memastikan tiada lagi gejala sosial sebegini berlaku. Adakah kita suka generasi akan datang rosak di atas kesalahan kita tidak melakukan dakwah kepada mereka?
Dalam hal yang sebegini, pendekatan dakwah perlu lebih kreatif dan luar biasa. Golongan mad'u kita sudah canggih dan luar biasa. Jadi tidak boleh berdakwah cara biasa. Bagaimana? Nanti kita bincangkan dalam artikel lain.
Gambar di bawah dicuri ambil ketika aku, isteri dan keluarga maksu aku makan tengah hari di Pizza Hut di The MALL. Ketika ini Pesta BukuAntarabangsa Kuala Lumpur 2005 berada pada hari akhir. Dua pasangan remaja belasan tahun Melayu keluar berdating di The Mall. Remaja perempuan dalam pakaian yang amat tidak menyenangkan mata dan lelaki yang merenyeh kepadanya. Anak siapakah ini? Adik siapakah ini? Adakah mereka sebahagian daripada statistik di atas? Fikir-fikirkanlah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment