17 May 2005
Islam Memang Saintifik! Pendakwah Perlu Perkasakan Diri.
Aku selalunya sudah berada di pejabat miniku di rumah seawal 5 pagi setiap hari, cuma hari ini aku agak terlewat. Jam 5 pagi adalah masa terbaik mencari ilham menuai budi mengukir kata meluncurkan tinta. Aku teringat kepada ceramah Dr. Muhammad Jantan dua hari lepas ketika aku bersama keluargaku membuka pameran buku di CIAST, Shah Alam. Ia bersempena program 'Memahami Remaja' anjuran JIM Kelang.
Dr. Muhammad memberitahu Islam ini memang saintifik, mengikut kajiannya solat adalah the best method untuk menenangkan jiwa. Mengikut kajian sains yang sudah lama disebut dalam al-Quran. Otak kita ini ada satu ruangan berbentuk L di mana di situ adalah ruangan oksigen mengalir ke otak. Ruangan ini bersambung di tengah melalui dua ruangan, satu ruangan di atas otak dan satu di depan otak. Di depan otak itu adalah dahi dan atas otak itu ubun-ubun. Jadi ruangan ini berbentuk L. Islam menyuruh kita bersolat adalah untuk memastikan otak kita sentiasa mendapat oksigen ketika sujud. Dan masanya pun dah ditetapkan mengikut edaran badan. Kita bersolat 5 hari sehari semalam itu adalah cukup saintifik. Dalam masa 5 kali itu selang masanya cukup baik, Subuh sekali dapat oksigen, Zohor sekali, Asar sekali, Maghrib sekali dan Isyak sekali. Cuma malam kita tidur.
Namun begitu Rasulullah lagi saintifik, malam-malam baginda melakukan qiamullail dan ibadah di sepertiga malam. Ini lagi menghebatkan potensi dirinya sebab dia sentiasa memastikan oksigen berjalan ke otak setiap malam. Penemuan saintifik begini membuatkan kita terpanggil dan tertampar minda. Ia menyedarkan kita bahawa hebatnya Islam dan saintifiknya Islam. Selama ini para ustaz tak dapat menerangkan apakah signifikannya solat dengan kehidupan harian. Nah! Ini salah satu bahan bukti bahawa Islam ini memang unggul. Jangan berhujah cara lama, kita perlu berhujah cara baru. Islam itu dahulunya asing (ghuraba'), dan akan kembali asing. Hanya yang asing sahaja mendapat tempat di sisi Allah.
Sebagai seorang pendakwah, kita perlu mengambil input-input seumpama ini bagi dijadikan bahan dakwah kita. Kita perlu membina 'Keperkasaan Pendakwah' dalam menyampaikan dakwah. Istilah ini aku wujudkan sebagai satu panduan kepada sesiapa yang menjadi pendakwah. Apa yang dimaksudkan sebagai keperkasaan? Keperkasaan ini adalah kekuatan minda, ilmu, penampilan, karisma dan sebagainya. Pendakwah perlu ada keperkasaan minda, keperkasaan ilmu, keperkasaan karisma dan banyak lagi bagi membolehkan kita menjadi medium perantaraan antara Islam dan masyarakat.
Ada pula yang bertanya? Kalau begitu susahlah sebab kami tak cukup ilmu mengenai Islam, bagaimana nak berdakwah? Jadi kami kena cukupkan ilmu dahulu. Ini pandangan yang serong dan tak tepat. Tak perlu cukup ilmu baru nak berdakwah. Kita boleh berdakwah mengikut apa yang ada pada kita. Kalau kita jurutera, dakwah cara jurutera. Kalau doktor ikut cara doktor. Kalau buruh ikut cara buruh. Semua ruangan ada bagi kita menjadi pendakwah yang baik. Bukan hanya ahli agama sahaja boleh berdakwah. Cuma kita perlu tahu had kita, apa yang kita tak tahu kita perlu rujuk kepada yang lebih tahu. Jangan jadi penfatwa pula. Ini memesongkan akidah yang mendengar.
Aku terpanggil dengan salah satu mesej yang aku dapat daripada seorang individu yang hanya menamakannya sebagai 'hamba Allah'. Dia melontarkan mesej melalui shout box blog ini. Dia mengatakan kita perlu menegakkan daulah Islamiyyah dan membuat amar makruf nahi mungkar. Jadi dia berpandangan JIM tidak melakukan perkara yang disebut di atas. Ini satu lagi pandangan yang serong. Apabila ada ahli dalam pejuang Islam cetek ilmunya mengenai perjuangan jemaah lain. Tambah pula tu memandang perjuangannya yang paling hebat dan betul. Ini yang aku selalu istilahkan sebagai 'bodoh sombong'. Dahlah tak tahu, tunjuk hebat pula tu.
Kita sebagai pejuang-pejuang Islam perlu kembali kepada ajaran Islam iaitu kita tidak boleh ada syak wasangka kepada orang lain. Dalam kata lain kita perlu ada 'positive thinking' atau berfikir positif. Apabila kita tidak mengkaji dan berfikiran positif, kita akan prejudis kepada banyak perkara. Dakwah salah satu perkara yang dibuat adalah amar makruf nahi mungkar. Jadi tidak ada soal tidak berbuat begitu.
Pada pandanganku semua jemaah mempunyai peranannya, yang ada kekuatan politik perlu terus dalam perkasa politik. Yang mempunyai keperkasaan interpersonal dengan bukan Islam, membuat peranannnya. Yang ada kekuatan nasional, perlu guna keperkasaannya itu. Titik tolaknya adalah Islam. Jadi tidak ada soal satu jemaah sahaja membuat kerja dan jemaah lain tidak. Pada pandanganku perkara ini berlaku disebabkan sistem tarbiyah yang tak mantap. Semuanya memandang bahawa sistemnya yang terbaik. Seharusnya semua jemaah perlu bersatu dan memandang kelebihan kekurangan masing-masing.
Aku melihat senario dalam kampus universiti, semua jemaah membuat halnya sendiri. Kemudian tiada yang ingin berdiskusi mengenai kebersamaan. Kesemuanya akan bersama hanya untuk 'tahaluf siasi' semasa pilihanraya kampus sahaja. Dalam hal lain semua nafsi-nafsi (sendiri-sendiri). Situasi ini membuatkan kita tidak mencari persamaan dan mewujudkan percanggahan. Seharusnya perlu diwujudkan satu badan yang menjadi perantara antara jemaah. Setiap satu ada kekuatannya sendiri, dan terjemahkan kekuatan itu sebagai kesepaduan jemaah. Bagi yang ada kekuatan politik kampus buat kerjanya, kekuatan dakwah non muslim buat kerjanya, kekuatan isu nasional buat kerjanya. Jadi ahli jemaah masing-masing boleh menumpang kekuatan itu bagi mengembangkan syiar Islam. Jangan mengasingkan satu sama lain.
Titik pertemuan antara jemaah iaitu Islam adalah penentu perpaduan. Gunakanlahnya bagi memastikan Islam kembali hebat. Marilah kita bersatu, apabila bersatu daulah Islamiyyah boleh dibentuk dengan lebih mudah. Segala gejala sosial boleh dibendung, segala kekurangan sudah ditampal oleh yang kuat. Bersatulah! Semoga Islam menjadi panduan hidup semua masyarakat di Malaysia khususnya dan dunia amnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Where did you find it? Interesting read » » »
Post a Comment