Mungkin sesiapa yang memasuki blog ini pelik mengapa aku nak tulis mengenai Rejab FI. Aku adalah generasi anak-anak yang lahir pada zaman penceritaan hikayat-hikayat dan cerita-cerita rakyat. Ketika aku berada di sekolah rendah, aku seringkali ke kedai-kedai buku, dan buku yang aku paling suka adalah cerita-cerita dongeng hikayat lama selain daripada kisah-kisah nabi dan rasul. Hikayat-hikayat lama ini menguji imaginasi aku, berfikir di luar kebiasaan. Segala perkara yang diterangkan di dalamnya menyebabkan sinaps berjalan dengan laju, neuron berputar pantas. Kesemuanya memberikan impak segar kepada anak-anak melihat sesuatu yang agak luar biasa.
Mengapa luar biasa? Ya lah! Kisah-kisah yang diceritakan adalah perkara-perkara tidak tergambar oleh otak. Sang Kelembai penyumpah batu, Naga Tasik Cini lagenda berzaman, Batu Bertangkup Penyebab Piatu, kesemuanya menampar logik minda kita. Kesemuanya ini menjadikan aku seorang yang melangkaui imaginasi biasa. Tak tahulah, mungkin ramai yang tak seperti aku. Namun begitu bagi aku, aku amat berterima kasih kepada para penulisnya yang membahagiakan jiwa kebudakan aku pada masa itu.
Kemudian apabila aku menjadi Pengurus Penerbitan, aku mendapat peluang bertemu dengan salah seorang yang menulis cerita-cerita ini. Wah! Betapa seronoknya aku! Aku dapat bertemu dengan idola masa kecilku yang aku sendiri tak kenal pada masa itu. Sekarang aku dapat bertemu dengannya, bukan sahaja di pejabat tetapi di dalam rumahnya sendiri. Ini pengalaman yang mengharukan. Pak Rejab FI, seorang sasterawan rakyat yang menghasilkan lebih daripada 200 buah buku dan kebanyakannya cerita rakyat. Dia lah yang menghasilkan buku-buku bacaan anak-anak yang aku baca dahulu
Seperti yang aku sangkakan, aku mudah mesra dengannya walaupun perbezaan umur kami menjangkaui 40 tahun. Disebabkan nilai harmoni dan kenangan lama menjadikan dua generasi ini mesra seumpama kawan. Kami bercerita panjang pelbagai perkara, di samping itu berbincang mengenai buku-buku yang bakal dia terbitkan dengan Kumpulan PTS.
Rumah Pak Rejab FI adalah rumah yang harus dilawati oleh semua. Lamannya direka sedemikian rupa pengolah hati, penenang jiwa, penyegar minda sesiapa yang melihat. Memang sesuai untuk berkarya. Taman herbanya cantik diatur dengan segala tanaman yang aku tak pernah lihat sebelum ini. Memang jiwa sasterawan.
Pak Rejab, terima kasih kerana menjadi pengisi hidup zaman kanak-kanak ku. Semoga engkau dirahmati Allah selalu.
Pak Rejab FI Sasterawan Sepanjang Zaman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment