04 June 2005

Aku Menyesal..........!

Dua hari lepas aku duduk bersama dengan rakan karib aku, senior aku, rakan serumah aku dan juga merupakan mentor aku semasa di zaman UM dahulu. Dia ini antara pemimpin mahasiswa yang membawa aku ke alam perjuangan mahasiswa di kampus. Dahulu aku tidak kenal apa itu Majlis Perwakilan Pelajar, dia inilah yang membawa aku ke sana. Dahulu aku tidak tahu apa itu pilihanraya kampus, dia inilah yang memperlihatkan aku realiti itu. Kami bercerita sambil mengorek kembali memori silam zaman mahasiswa. "Fauzul! Kalau aku tahu bagaimana keadaannya perjuangan dalam kampus, aku takkan masuk PMI dulu!", tersentak aku. "Aku menyesal dengan kehidupan aku dalam kampus!" Itulah keluhan bekas pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UM yang melalui asam garam perjuangan sebagai pemimpin mahasiswa dahulu. Beliau merasakan apa yang dilakukan selama mana menjadi exco MPMUM dahulu sia-sia sahaja. Apabila pandangan agak berbeza dengan para pimpinan PMIUM dipandang pelik. Janji-janji semasa sebelum pilihanraya bagi membantu para pemimpin mahasiswa dalam urusan akademik seharian hanya tinggal janji. Letih, memang letih. Itulah keluhan seorang antara bekas exco tertinggi MPMUM 96/97. Aku melihat perkara ini dengan pemikiran dan persepsi yang terbuka. Ada beberapa faktor yang menyebabkan ia berlaku begini. Antara faktor yang aku lihat adalah :
  1. Kepercayaan dan pendekatan
  2. Sistem Sokongan
  3. Perjuangan abadi
Kepercayaan dan pendekatan Dalam urusan pentadbiran harian sebagai seorang pemimpin mahasiswa ataupun lebih spesifik exo MPMUM, kami berurusan dengan pelbagai lapisan mahasiswa yang berbeza latar belakang, fikrah, bangsa dan agama. Kedudukan ini menyebabkan kami perlu mengambil pendekatan yang berbeza berbanding dengan pemimpin PMIUM ataupun persatuan lain. Ini yang dilihat sebagai menyalahi kepercayaan sesetengah pemimpin yang lain. Pada pandangan mereka pendekatan hanya satu dan tidak boleh berbeza.Pada pandangan aku ia salah. Bukannya pendekatan satu tetapi prinsip satu iaitu Islam. Selagi mana ia atas tujuan dakwah Islamiyyah tidak wujud percanggahan, cuma dalam hal ini ia perlu kreatif ataupun lebih spesifik Bil Hikmah dan Hasanah. Jadi apa pendekatan yang diambil tiada masalah tetapi perlu mengikut prinsip yang sama. Namun begitu ini kadangkala tidak dapat diterima oleh sesetengah pimpinan. Ini yang aku katakan bahawa dalam silibus usrah perlu dimasukkan satu pengisian utama iaitu metod dakwah kepada berbeza latar belakang. Rasulullah menggunakan pelbagai pendekatan mengikut siapakah mad'unya. Lain orang lain caranya. Apabila kita memahami metod ini barulah kita tidak mempunyai prejudis kepada pendekatan berbeza ini. Dan para pimpinan perlu memahami apa yang dikatakan sebagai 'Fiqh Keutamaan'. Sistem Sokongan Pihak PMIUM perlu memikirkan bagaimana untuk mengubah sistem sokongan kepada pimpinan. Aku tidak menyalahkan mereka ini, aku sendiri berada dalam kampus menjadi pemimpin mahasiswa, berjuang bermatian-matian menegakkan apa yang aku percaya. Aku melihat senario bagaimana ramai pejuang satu masa dahulu, syahid dalam perjuangan selepas keluar dari kampus. Keluar tanpa api membara sehangat dahulu. Aku melihat bagaimana rakan-rakanku yang dulunya bermati-matian mempertahankan kepercayaan perjuangan mereka, apabila berlaku musibah kepada mereka, kena tendang keluar U, tak lulus kertas peperiksaan penting, tiada yang datang membantu. Aku sendiri tergolong dalam golongan itu. Satu masa dahulu bakal-bakal pemimpin diberikan janji akan dibantu waktu susah, diberikan sokongan waktu jatuh, dijinjing bersama waktu berat. Akhirnya apapun tak ada. Aku juga mendapat segala janji itu, apabila aku jatuh siapa yang datang ke samping? Bertanya khabar? Memancing cerita? Menghulur bantu? TIADA! Kata-kata ukhuwwah usrah berjanji sepakat, kata-kata baiah mengharap wala', kata-kata azimat memberi harapan hanya tinggal kata-kata. Aku tidak mengeluh apa terjadi kepadaku, aku mengeluh kerana inilah hasilnya perjuangan yang dikatakan sebagai perjuangan Islam dalam kampus. Kalau ia berlaku kepada aku seorang aku tak kisah, aku berjaya bangkit menongkah arus melawan takdir mengubah hidup hingga aku adalah aku sekarang. Masih kekal berjuang sepertimana dahulu. Para pimpinan perlukan sokongan yang dapat memastikan perjuangan dalam kampus itu dapat diteruskan tanpa menafikan kepentingan akademik. Sistem sokongan ini seharusnya dirancang dari awal di mana setiap pemimpin perlu ada pembantu yang dapat menjadi penolong dalam urusan lainnya. Tidak kiralah urusan akademik ataupun urusan kerja seharian. Kemudian kebajikan setiap seorang ahli perlu dilihat bagi memastikan mereka ini sentiasa cemerlang dalam kedua-dua aspek, perjuangan dan akademik mereka. Aku sedih apabila melihat sahabat-sahabatku yang lain. Mereka tidak seperti aku, gagal segagalnya. Hilang percaya, hilang sehilangnya. Prejudis, makin hari makin prejudis. Semangat satu ketika dahulu hebat, sekarang beku tanpa roh tinggal jasad. Memang ada kata-kata "Jangan tanya apa yang jemaah berikan kepada kita, tanya apa yang kita berikan kepada jemaah" Tunggu dahulu! Mahasiswa dalam kampus memperjudikan segalanya bagi mendapat segulung ijazah yang bakal dijaja meraih kerja. Segala harta di kampung hampir digadai, mak ayah berhutang sana berhutang sini. Ayat itu tidak dinafikan benar, namun begitu lihat situasinya. Kita dalam kampus dan kita di luar berbeza. Perjuangan Abadi Aku teringat kembali kepada kata-kata Dato' Annuar Musa, Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia kepadaku satu masa dahulu. "Fauzul! Dalam kampus kita sebagai mahasiswa memang mempunyai idealis kita tersendiri. Memperjuangkan yang kita rasa hak dan menafikan yang salah. Nasihat saya, semasa dalam universiti buatlah kajian dan jangan lagi memilih jalan mana yang hendak dipergi. Selepas keluar barulah pilih. Saya dahulu pun macam kamu semua juga, berdemonstrasi sana sini. Apabila keluar saya sudah memilih jalan saya iaitu masuk ke kerajaan. Saya tak kisah awak nak pilih kerajaan ataupun pembangkang tapi buat kajian dahulu" Ada benar ada salahnya. Bagi aku boleh memilih dalam kampus, cuma jangan sampai kita tidak mengkaji dan menilai apa yang diperjuangkan. Jangan hanya mengikut membabi buta sebab kita manusia biasa bukannya maksum. Ini yang aku sedih. Apakah sebenarnya menyebabkan perkara ini berlaku? Adakah perjuangan yang dilaungkan dahulu salah? Tentu para mahasiswa yang membaca artikel ini merasa resah dan takut untuk berjuang dalam kampus. Tunggu dahulu, jangan buat keputusan dahulu. Aku memandang perkara ini dengan terbuka. Dalam kampus, kita ini panas dan mempunyai idealis kita tersendiri. Masing-masing mengatakan kita yang betul dan orang lain salah. Apa sahaja yang diberikan semuanya nak dibangkang tanpa melihat dahulu apa yang baik apa yang buruk. Apabila kita sudah mengkaji dan membuka minda kita barulah kita tersedar daripada lamunan. Baru nampak apa kaca, apa permata. Pada pandanganku yang paling penting dalam menentukan perjuangan kita adalah niat kita. Apakah sebenarnya niat perjuangan kita. Adakah niat itu singkat ataupun abadi. Aku melihat perjuangan dalam kampus mempunyai dua ekstrim berbeza. Ada yang ekstrim pejuang kerajaan dalam kata lain menjurus ke arah parti pemerintah. Ada yang ekstrim kepada pembangkang iaitu ke arah yang lain. Bagi aku kedua-duanya tidak mempunyai perjuangan yang abadi. Masing-masing melihat agenda diri masing-masing tanpa melihat agenda sebenar kita sebagai makhluk Allah. Iaitu Islam. Dalam Islam tiada yang membezakan antara kedua-dua ekstrim kecuali takwa kita kepada Allah. Nilaian ini yang menentukan kita ke neraka abadi ataupun sementara ataupun syurga abadi selamanya. Aku pernah bertanya kepada sekumpulan mahasiswa dalam satu tamrin anjuran satu persatuan Islam dalam kampus "Awak ni berjuang kerana persatuan ataupun Islam" Terpinga-pinga mereka melihat kepadaku. Ada yang mengatakan persatuan sebab dengan persatuan dapat Islam, ada kata Islam tapi ragu-ragu dalam menjawab dan ada yang tak tahu langsung. Aku yakin kalau bertanya kepada yang pro kerajaan masing-masing mengatakan perjuangan mereka adalah Melayu. Tunggu dahulu adakah Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Mungkin benar Melayu itu Islam sebab syarat Melayu perlu bercakap bahasa Melayu dan berbudaya dengan cara Islam tapi ada Melayu yang tak jadi Melayu sebab tak ikut Islam. Begitu juga belum tentu Islam itu kesemuanya Melayu. Islam adalah perjuangan yang abadi, Islam menekankan persaudaraan, ukhuwwah dan persefahaman. Apabila kita mengikut Islam kita adalah satu dan tidak akan wujud pertelagahan antara satu sama lain. "Kasihilah saudaramu sepertimana mengasihi diri sendiri" Itu hadis nabi. Aku melihat dalam perjuangan kampus, kebanyakannya memperjuangkan perkara yang tidak abadi dan bersifat sementara. Sebab itulah masing-masing mengatakan bahawa merekalah pejuang sebenar dan orang lain bukan pejuang. Aku lebih Islam dan orang lain kurang Islamnya. Kamilah pejuang daulah Islamiyyah jadi perlu ikut kami, orang lain jangan ikut sebab mereka tak sama dengan kami. Bukalah minda dan lihat kembali apa yang dikatakan sebagai perjuangan Islam. Bagi aku, setiap satu entiti dalam perjuangan di dalam ataupun luar kampus mempunyai kelebihan masing-masing. Kesemuanya mempunyai kebolehan dan kepakaran masing-masing. Kesemuanya perlu digarap bersama dan bersatu sebagai perjuangan ummah. Barulah perjuangan kita abadi. Jangan memandang orang lain salah sebab tak ikut cara kita dan jangan pandang kita betul sebab tak mengikut cara orang. Salah dan betul itu ukuran siapa? Ukuran manusia. Jadi tiada salah dan tiada betul, selagi itu perjuangannya ISlam dan mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak itu BETUL. Barulah tak wujud pemimpin dalam kampus yang apabila keluar tersedar daripada lamunan baru sedar apa yang berlaku. Jadi bagi aku, adik-adik dalam kampus teruskan perjuangan tidak kiralah dalam PMIUM, PMIUTM, PMIUSM, PMIUPM, ISI UKM, HIZBUL ISLAMI, KARISMA, PKPIM, BMB, KELAB UMNO, HIZBI, PMRAM, Kelab ISLAM HADHARI, GAMIS dan sebagainya. Teruskan perjuangan. Cuma nasihatku sebagai seorang abang bukalah minda jalinkan persaudaraan. Perjuangan kita adalah satu iaitu ISlam. Apabila begitu kita bersatu, apabila bersatu tidak akan ada orang yang akan mengganggu gugat kedaulatan Islam. Kembalilah kepada Islam! Bagi yang ingin menjadi pimpinan, kuatkan tekad, tingkatkan azam, betulkan niat. Perjuangan ini penuh ranjau dan duri, mehnah dan tribulasi. Kita hanya ada kita dan Islam. Tiada yang akan membantu walaupun ribuan taburan janji diberi, semuanya hanya desiran angin. Umpama kentut, busuk sekejap kemudian hilang. Apabila kita tekad, usaha diletak, tawakal di hati, InsyaAllah ada jalan kita dalam perjuangan ini.

3 comments:

Anonymous said...

Sdr & rakan Sdr,

"Aku juga mendapat segala janji itu, apabila aku jatuh siapa yang datang ke samping? Bertanya khabar? Memancing cerita? Menghulur bantu? TIADA!"

Ini pengalaman yang lumrah Sdr (blogger & temannya itu). Dalam jema'ah2 Islam ini, kata2, harapan & retorik boleh dibeli di kaki2 lima (macam 'pasar karat' juga hehehe), penghayatannya seperti membeli cincin emas untuk isteri.

Ribuan, mungkin puluhan ribu, manusia mengalami kepedihan & khayalan idealisme ini ...

Sudahlah, janganlah berpanjang-panjang kecewa dengan gerakan2 Islam ini.

Majukan diri, tolong bangsa & masyarakat, sumbangkan idea & tenaga. Itu sahaja yang mampu membawa kita bersama ke arah masa depan yang lebih baik.

Oh ya, jangan lupa, baca buku! :)

faomar@yahoo.com Fathi Aris Omar
http://nokgidok.blogspot.com/

NOTA: Tapi saya suka @ tidak kisah Sdr mencatat begini, kurang2 bermanfaat kepada mereka yang sedang berkhayal :)

abuiqbalnuaim said...

Wah! Terkejut saya melihat nama Fathi Aris Omar di dalam blog saya. Terima kasih kepada saudara Fathi Aris Omar di atas kesudian melawat blog saya yang tak seberapa ini.

Benar kata saudara, kita perlu terus memberi sumbangan tenaga dan idea kepada masyarakat agar membina masa depan yang lebih baik.

Saya menulis sebegini bukan kerana nama ataupun populariti cuma menampar minda pembaca agar berfikir. Minda yang tertampar akan sedar daripada lamunan dan kembali kepada realiti dunia. Harapan kita semua berjuang kerana Islam dan janji Tuhan hanya orang yang asing (ghurabak) berada di saf yang betul. Terima kasih di atas sokongan yang diberikan.

Anonymous said...

Where did you find it? Interesting read »