13 June 2005
Pendakwah Tidak Boleh Prejudis Kepada Orang Lain
Prejudis ataupun prasangka tidak boleh wujud dalam diri seorang pendakwah. Semasa aku di universiti sering diapi-apikan perasaan prejudis kepada kumpulan yang lain dan yang dianggap tak sama perjuangannya dengan golongan kami. Pandangan kami pada masa itu mereka lain salah hanya kami yang betul. Mengapakah boleh jadi begitu? Pada pandanganku , perasaan prasangka ini wujud apabila kita tak cuba mengenali siapakah sebenarnya orang yang kita prejudis itu. Seperti kata orang 'Tak kenal maka tak cinta' . Tidak mengkaji kebaikannya, tidak menerima kelemahannya, tidak melihat kesilapan kita. Apabila begitu semua orang dilihat sebagai salah, hanya kita sahaja yang betul.
Dahulu aku cukup prejudis kepada sesiapa sahaja bergelar selebriti. Tidak kiralah dia itu penyanyi, pelakon, pelawak hatta penyampai televisyen sekalipun. Pada pandangan aku, semuanya berada dalam dunia hiburan/massa adalah kotor. Keadaan ini berterusan hinggalah aku bertemu seorang insan yang mengubah persepsi aku mengenai hal ini. Siapa dia? Dia itulah Nizal Mohamad, selebriti TV3 yang sering kita lihat dalam Malaysia Hari Ini (MHI). Pertama kali aku bertemu dengannya, tahun lepas bagi tujuan diskusi dua hala PTS dan TV3. Ketika itulah baru aku tahu bahawa Nizal adalah seorang pejuang Islam dalam dunianya. Dia adalah seorang aktivis ABIM sebelum memasuki TV3 dan masih lagi seorang pejuang. Beliau membawa angin baru dunia pernyiaran TV terutamanya di TV3. Mungkin ramai sedar beberapa personaliti TV3 terutamanya penyampai MHI yang berubah daripada tidak memakai tudung kepada memakai tudung. Kesedaran-kesedaran ini antara pemangkinnya adalah abang Nizal. Sekarang dia menjalankan kerja dakwah kepada remaja bermasalah melalui Yayasan Ilham Budi yang diasaskannya dengan beberapa orang rakan lain, di antaranya Ogy Ahmad Daud
"Abang Nizal! Saya nak buat satu pengakuan dengan Abang Nizal" kata aku padanya. Ketika itu yang hadir bersamaku Arief, GM PTS dan Faris Hasbullah, editor pemerolehan PTS (pegawai promosi PTS sekarang). "Apa dia?" tanya dia. "Sebelum bertemu dengan abang Nizal malam ni, saya cukup benci dengan abang Nizal". Terkejut abang Nizal mendengar pengakuanku. "E eh, awak benci dengan saya? " Seloroh dia. "Ya! Abang Nizal, saya anggap semua orang macam abang Nizal ni kotor. Abang Nizal sudah membuka minda saya mengenai dunia abang Nizal" Nizal Mohamad tersenyum.
Lihat, bagaimana persepsi tanpa penyelidikan menghasilkan tanggapan yang salah. Ia takkan berubah selagi mana orang tidak mahu mengkaji. Aku bersyukur menjadi seorang penerbit dan berkawan dengan semua jenis cerdik pandai. Daripada cerdik pandai agama, perubatan hinggalah kepada pakar motivasi Malaysia. Minda aku menjadi lebih terbuka dan memandang dunia dengan lebih luas. Bukannya sesempit aku di UM dahulu. Dahulu aku melihat perjuangan aku sahaja yang betul, rupa-rupanya ada lagi mereka yang lebih betul daripada aku. Mengapa aku kata begitu? Aku betul dalam kampus berdasarkan ilmu aku yang sempit. Betul aku di luar kampus dengan pengetahuan yang lebih luas. Itu bezanya. Kedua-duanya betul tetapi mengikut had kotak yang disediakan. Kalau kotak itu kecil, kecillah betulnya. Apabila ia besar, besarlah betulnya. Tentu ada yang pening. Biarlah mereka pening. Ini yang dikatakan 'Think Out Of The Box'
Dalam kata lain, kita perlu berpandangan luas dan membuka minda. Setiap apa yang berlaku, apa yang ingin dibuat perlu dikaji terlebih dahulu tanpa membuat sebarang tanggapan. Apabila kita membuat tanggapan tanpa kajian, kita mungkin membawa dan mendapat persepsi yang salah. Aku menerima satu email daripada dalam kampus yang menyebabkan aku mengeluhsendiri. Kisah lama, pemikiran lama, cara lama masih tetap berlaku sehingga sekarang. Antara organisasi intrakampus dan interkampus masih ada prejudis antara satu sama lain. Satu organisasi mengatakan bahawa ada organisasi lain mencuri ahlinya. Curi? Aku rasa perkataan curi itu tidak boleh diguna. Mahasiswa dalam kampus bukannya bodoh dan sangap. Semuanya boleh menilai baik dan buruk. Apabila ada orang yang memasuki organisasi satu lagi, tentu ada kelebihan berbanding organisasi kita. Jadi betulkan organisasi kita, jangan kata orang lain salah bagi menunjukkan kita betul.
Yang lagi aku sedih, kedua-dua organisasi ini adalah pejuang Islam. Mengapa kedua-duanya tidak dapat menerima antara satu sama lain? Tak perlu aku menyebut organisasi mana. Boleh selidiki sendiri organisasi dan pendirian masing-masing. Macamlah satu pihak tu membawa ajaran sesat dan yang satu lagi tak sesat. Ish! Sedih, memang sedih. Perangai lama pejuang Islam masih ada sampai sekarang. Pada pandangan aku, masing-masing ada kelebihannya. Sepatutnya masing-masing saling memperkuatkan, bukannya saling meroboh. Apabila kelebihan dan kelemahan itu digabung, barulah kita lengkap melengkapi.
Aku teringat kata-kata naqib usrah aku yang banyak memberikan panduan dan inspirasi kepada aku, Ustaz Anwar Ridzwan Zakaria " Dalam berbincang ataupun mesyuarat, apabila cadangan dan pandangan kita diterima. Beristighfarlah kerana ia akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Bagi pandangan yang ditolak, bersyukurlah kerana kita tidak akan dibebani pertanggungjawaban pertanyaan Allah." Sepatutnya kita sebagai pejuang Islam harus menghayati kata-kata ini. Dalam membawa perjuangan Islam, selagimana ia dalam had Islam. Semuanya benar dan tiada salah. Ia bergantung kepada kreativiti masing-masing membawa perjuangannya. Seharusnya mana-mana yang mempunyai kekuatan dalam sesuatu hal membantu yang lemah, begitu juga sebaliknya.
Prasangka atau prejudis tak harus wujud dalam erti perjuangan Islam. Prejudis jugalah yang menyebabkan kita memandang orang agama lain sebagai musuh. Mereka itup bukannya musuh, tetapi mad'u yang memerlukan dakwah kita. Apabila kita ada prejudis, maka keluarlah cerita-cerita pelik hal holy water, lidah hitam dan sebagainya. Ini yang memarakkan api permusuhan antara agama. Masing-masing menuduh agama orang lain cuba merosakkan agama kita. Islam memang betul, dan akan tetap betul hingga hari akhirat. Cuma, bagaimana kita hendak tonjolkan kebenaran dan kecantikan Islam dengan api kemarahan? Tentu mesej dakwah itu tak sampai. Kita akan mendakwa bukannya berdakwah. Sepatutnya api kemarahan itu ditukar dengan kesejukan kasih sayang. Berikan cinta kepada mereka yang bukan Islam, maka mereka mudah tertarik dan hidayah akan mudah turun kepada mereka. Jangan prejudis dan wujudkan prejudis. Mari kembali kepada konsep hikmah dan hasanah. Bersatulah wahai pejuang Islam, kukuhkanlah saf. InsyaAllah Islam akan kembali hebat dan terus hebat. Allahu Akbar!Allahu Akbar!Allahu Akbar! Walillahilhamd!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Wahh...antara artikel keinsafan yang mengkagumkan saya. Emm...alhamdullilah mujur saya tidak mengikut langkah abg Fauzul di UM dulu...hehehe(bkn nak riak tau). Tang abg Nizal tu mmg dia ni mantap sehh...boleh bagi motivasi tu. Kalau tak silap saya, dia ni bermadah puisi pun ada kelas. Emm...Think out of the box . Tak salah saya ini ajaran Edward de Bono. Edward de Bono pun Edward de Bono lah..yang penting kita kena berfikiran luas dan flexible. Betuilaah manusia sekarang ni selalu berfikiran sempit...apatah lagi masyarakat di Malaysia laa ni. Pasal dakwah tu mantap juga...yelah skang kan kita kena berusaha utk menegakkan kembali era ketamadunan Islam..Ayuh jihad bihujah fisabilllah.
Post a Comment