
14 May 2005
Kami & Orang Yang Terima Tauliah
Gambarku, Nuaim yang terlena keletihan, Dihah dan isteriku. Gelap betul adik iparku, hilang keputihannya. Kena guna clorox ni.

Seorang Terima Tauliah, Sekampung Mai ke UiTM Shah Alam
Sehari Di UiTM Shah Alam: BARIS SEDIA!
Siapa Yang Tauliah? Inilah Orangnya
13 May 2005
Cahaya Mata! Khabar Sedih Untuk Orang Bujang
Semasa aku bujang tidak tergambar apakah perasaan apabila menjadi seorang bapa. Apa yang aku tahu aku memberikan satu kekuatan kepada mama dan ayahku. Segala yang ku pinta, tak pernah dilambatkan. Segala yang ku kata, tak pernah tak di kota. Apakah kekuatan yang ada kepada seorang anak?
Apa yang ku tahu ada mesej Tuhan kepada manusia. Apabila meninggalnya anak Adam, ada 3 perkara yang mengiringinya masuk ke dalam kubur. Amal kebajikan, doa anak yang soleh dan ilmu yang bermanafaat. Wah! Hebat peranan seorang anak kepada ibu bapanya. Adakah orang yang berkahwin sahaja mendapat kelebihan itu? Sudah tentu! Anak di sini maksudnya anak manusia bukan anak kucing, anak arkus dan sebagainya. Jadi memang bertuah bagi yang berkahwin, khabar sedih untuk orang bujang.
Ketika saat pertama memegang bayi yang baru lahir pada tanggal 16 Februari 2003, jam 11.00 malam. Baru aku rasa nikmat menjadi seorang ayah. Kelembutan wajahnya mengusik kalbu, kilauan matanya menenang jiwa, suara tangisnya merangsang kekuatan. Hebat! Memang hebat! Ketika ku balik keletihan, dialah penjana tenaga. Ketika ku kerunsingan, dialah transformer ceria. Ketika aku stress, dia agen gembira. Hebat! Memang Hebat! Berita gembira untuk orang yang sudah berkahwin, khabar sedih untuk orang bujang.
Cahaya Mata! Berita Gembira Untuk Pasangan Berkahwin!
Nuaim menjeling manja, goresan di dahi menunjukkan kelelakiannya.
12 May 2005
Pantai Timur dan Pantai Barat Bersatu di Kuala Selangor
Akhirnya Abang Lan Bertemu Jodoh!
Ubah Skrip Hidup Untuk Berjaya
Apabila mengatakan mengenai skrip hidup, ramai yang tertanya betulkah kita ini mempunyai skrip hidup. Ya! Memang kita mempunyai skrip hidup. Mengapa saya kata begitu. Dalam surah Al-R'ad, ada menyebut Tuhan tidak akan mengubah sikap, keadaan ataupun keadaan sesuatu kaum selagi mereka tidak mengubah nasib mereka sendiri. Jadi daripada mana wujudnya skrip hidup ini.
Skrip hidup wujud daripada pengalaman hidup kita sejak kecil Cara kita dibesarkan menerapkan nilai, kepercayaan dan pegangan kepada hidup kita. Kadangkala kepercayaan ataupun nilai itu tidak sesuai dengan zaman, namun begitu disebabkan kita dilatih dengan nilai tersebut kita percaya ia sesuai.
Ini yang berlaku kepada masyarakat Melayu kita sekarang di mana kita sudah dilatih dengan cara berfikir dahulu sejak zaman berzaman. Mentaliti dan pegangan kita sejak dahulu menyebabkan kita susah mahu berubah dengan perkembangan zaman. Pegangan-pegangan dahulu yang tidak kontemporari pun masih diamalkan hingga sekarang. Ia sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan kita sekarang.
"Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhan Mu!" Tidak menjadi pegangan hidup kita disebabkan segalanya dikaburi dengan adat dan cara berfikir lama. Itulah yang kita melihat ramai masyarakat kita takut untuk berubah. Mereka takut apabila mereka berubah, kita akan kembali susah. "Jangan diubah kerajaan sekarang, nanti susah hidup kita", "Jangan membangkang, nanti bagaimana anak-anak kita nak bekerja". Inilah mentaliti yang wujud daripada skrip hidup yang tidak diubah.
Itulah Rasulullah meminta kita berhijrah. Bukan sekadar hijrah fizikal tetapi juga hijrah minda. Kesemua ini disuruh agar kita dapat mengubah skrip hidup kita menjadi lebih baik. Bukan sekadar bergantung kepada sentimental value dahulu. Jadikanlah hari ini lebih baik daripada hari semalam, jadikanlah hari esok lebih baik daripada hari ini. Itu yang sepatutnya kita buat.
Dalam berdakwah pun kita harus mengubah skrip hidup kita. Jangan masih menggunakan cara lama untuk berdakwah. Selagi kita masih menggunakan cara dakwah dulu, susah masyarakat sekarang untuk menerimanya. Mereka sudah mengubah skrip hidup mereka, tetapi kita masi lagi menggunakan skrip hidup dahulu.
Dalam berpersatuan kita harus berubah. Berubah mengikut perjalanan masa. Dahulu dengan cara dahulu sekarang dengan cara sekarang. Ramai yang mengatakan jika kita berubah sekarang kita tidak thiqah. Thiqah perlu dilihat dengan cara lebih luas. Sebab itulah kita disuruh berjuang dengan menggunakan konsep hazar. Hazar dalam hal ini adalah berstategi, bukannya bersembunyi atau menyembunyi. Itu yang perlu dilihat dan didefinisikan semula. Tidak semestinya kita berubah kita tidak thiqah.
Dalam kehidupan pun kita perlu mengubah skrip hidup daripada skrip gagal kepada skrip jaya. Kita harus berfikiran positif dan positif untuk berjaya. Bukannya sentiasa merasakan diri ini tidak mampu dan ayat-ayat yang tidak bertanggungjawab yang lain. Kita harus bertanggungjawab dengan skrip hidup kita.
bersambung.....
10 May 2005
Buat Kerja Baik Tuhan Tolong
Apabila ditanya soalan kepada aku bagaimana PTS boleh jadi sampai sebesar ini (walaupun sebenarnya belum besar lagi)? Susah sebenarnya untuk menjawab persoalan sebegini. Namun begitu yang aku boleh jawab. "Meyakini buat kerja baik, berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakal. InsyaAllah Tuhan tolong".
Jawapan itu mungkin sesetengah pandangan mengatakan bahawa aku memberikan jawapan melarikan diri tapi itu realitinya. Aku masuk ke dalam PTS pada Mac 2001 semasa di tahun akhir pengajian Kejuruteraan Letrik Universiti Malaya. Ia berlaku selepas peristiwa aku diberikan kad nama oleh Arief tanpa meminta persetujuan telebih dahulu. Peristiwa itu mengubah kehidupan aku sekarang.
Aku melangkah masuk ke dalam dunia penerbitan tanpa apa-apa pengalaman dalaman dunia itu kecuali pengalaman sebagai pengarang Majalah Varsiti (dah takdak dah), Ketua Pengarang Majalah MEMOIR PANTAI PURI (Tak tahu statusnya, kolej Pantai Puri pun dah takdak sekarang) dan menulis beberapa artikel biasa buat simpanan diri. Itu sahaja! Apa yang aku tahu, aku perlu membina kekuatan PTS bersama-sama dengan Arief.
PTS ketika itu mempunyai 11 orang staff dan berpusat di Pusat Bandar Melawati. Aku hanya berstatus freelance di dalam syarikat dan mendapat elaun bulanan. Aku berkenalan dengan Izwan (Graphic Artist PTS hingga sekarang), Fiza (pembantu kredit , awek Qalif sekarang), Hisham (Graphic Director sekarang) dan Ustaz (menjadi pendakwah bebas). GM PTS pada waktu itu, En. Zulkifli Daud. (Ajaib tak ajaibnya, aku tidak pernah bertemu dengan En. Zul sepanjang aku menjadi staff PTS. Aku kenalinya selepas PTS sudah 2 tahun bertapak di Malaysia dan kali pertama bertemu di dalam satu bengkel penerangan Buku Teks KPM. Ketika itu aku sudah menjadi Pengurus Penerbitan, mengendalikan tugas-tugasnya yang tak dijalankan dengan baik olehnya. ) Aku diarahkan bagi mendapatkan sebanyak mungkin manuskrip. PTS mempunyai situasi kekurangan manuskrip. Jadi aku mulakan kerja dengan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat diri para penulis dan pensyarah seluruh IPT di Malaysia.
Kemudian PTS menghadapi krisis pentadbiran, Arief yang mengendalikan jualan mengambil alih pengurusan PTS. GM asal PTS senyap sunyi tanpa berita. Dia tak pernah ambil tahu mengenai perkembangan PTS selepas itu sehingga sekarang baru nak kata PTS syarikat dia. Aku diminta mencari lebih banyak manuskrip dan membantu penerbitan. Staff ramai yang keluar kerana hilang kepercayaan kepada kemampuan PTS. Keupayaan Arief masa itu diuji, skill bisnesnya digunakan. Aku masuk tetap sebagai eksekutif penerbitan merangkap eksekutif jualan merangkap pengangkut barang merangkap, merangkap..... . Aku membantu daripada sudut membuat pemerolehan manuskrip dan jualan di kedai-kedai sebelah utara Semenanjung Malaysia. Staff yang masih setia cuma tiga orang, Hisham, Izwan dan En. Zul Mat. Yang lain semua menarik diri. Ada yang dipecat oleh Arief disebabkan masalah akhlak dan amanah.
Memang tertekan masa tu. Aku pula mendapat berita bahawa aku 'flop poppy' disebabkan oleh kertas elektronik 2 yang aku dah ambil kali keempat GAGAL! Mak aku menangis kat rumah, ayah aku terdiam terkilan. Anak yang menjadi harapan tersungkur di pintu menara gading. aku pun stress kerja dan selepas mendengar keputusan itu lagi stress. Tiada kawan yang datang membantu hanya aku bersendirian menghadapinya. Kesemua yang mengatakan akan membantu ketika kesusahan, usrah bertaaruf, bertafahhum, bertakaful entah ke mana. Tiada siapa yang datang menghulurkan telinga serta menyulam kata semangat menenangkan aku. Kesemua membuat hal sendiri.
Alhamdulillah aku mendapat semangat daripada tunanganku (sekarang sudah isteri) dan keluargaku. Tunanganku masih menerima aku walaupun pada dasarnya aku hanya ada sijil SPM. Aku menceritakan perihal kegagalan akademikku, dan dia menerima dengan tenang serta memberikan kata perangsang. Terima kasih sayang! Ibu dan ayahku sudah menerima realiti anaknya tidak dapat meneruskan perjuangan akademik. Mereka juga menyuntik kembali api semangatku. Teruskanlah hidup anakku. Rezeki ada di mana-mana.
Aku teruskan perjuangan, mendapatkan lebih banyak manuskrip. Pengalaman di maki pensyarah, diherdik penulis, ditendang keluar pintu bilik semuanya aku hadapi. Berjalan daripada utara ke selatan bagi membina keyakinan orang kepada penerbitan PTS. Alhamdulillah dari hari ke hari aku berjaya mendapatkan kepercayaan mereka. Masalah utamanya memastikan kepercayaan itu dibayar. Arief berusaha mendapatkan bantuan kewangan pengarah syarikat yang terdiri daripada adik beradik Puan Ainon. Editor kami pada masa itu hanya Puan Ainon seorang.
Kesemuanya ini kami buat tanpa apa-apa tunjuk ajar daripada sesiapa. Aku dinaikkan menjadi pengurus penerbitan dan menguruskan penerbitan PTS. Pada masa itu aku mensistemkan semula penerbitan PTS menggunakan acuan aku sendiri. Membuat sistem penilaian dan pengurusan kualiti. Semuanya tanpa aku melihat kepada sistem sedia ada. Tak pernah aku berjumpa dengan penerbit-penerbit lain.
Selepas itu aku membawa masuk tunanganku ke dalam syarikat. (Sori bukan membawa masuk, dia ditawar masuk seminggu selepas ditemuduga oleh Puan Ainon. Seminggu lepas tu kami akad nikah. Menjaga batasan syarak) Dengan keputusan drastik kami membuat keputusan untuk bernikah lebih awal. Dalam masa seminggu sahaja kami terus bernikah. Sepatutnya kami bernikah 25 Mei 2002 tetapi membuat keputusan nikah 12 April 2002. Ini yang aku katakan sebagai keputusan bisnes. Dialah editor pertama yang dilatih oleh Puan Ainon.
Kemudian Alhamdulillah aku mendapat beberapa projek besar universiti menerbitkan buku teks pelajar tahun 1 UUM. Masa itulah PTS mula mendapat perhatian di UUM. Setiap bulan ada sahaja manuskrip masuk dari sana. PTS mula berkembang dan terus berkembang. Daripada jualan tahunan hanyalah RM 58 K meningkat seratus peratus hinggalah ke tahun lepas pada 31 Disember 2004 mencecah RM 3.3 juta. Keyakinan kepada perjuangan memandaikan bangsa sendiri dengan bahasa sendiri dan menambahkan bahan-bahan ilmu berunsurkan Islam bagi tujuan dakwah membakar semangat semua. Alhamdulillah sudah terbukti sekarang perjuangan itu mendapat pulangannya. Kebijaksanaan GM PTS Arief dalam mencatur strategi bisnes dan juga kerjasama semua staff. PTS sudah berada di tahap ini sekarang.
Siapa yang memandang sekarang hanya tahu kejayaannya tetapi tidak tahu kesusahannya. Rakan-rakan, saudara mara, sepupu sepapat hanya melihat hasilnya tanpa mencongak keperitannya. Yang ada hanya kata-kata tahniah!. Terima kasih!
Berkat penulis, berkat staff, berkat doa keluarga, berkat doa rakan-rakan menyebabkan PTS adalah PTS sekarang. Daripada tidak dikenali di kalangan peminat buku sekarang sudah disebut-sebut di merata kedai buku besar Malaysia. Daripada ditendang keluar daripada pintu bilik pensyarah, dijemput-jemput sekarang ini. Daripada staff hanya 6 orang sekarang 28 orang. Daripada hanya satu syarikat sekarang sudah ada 4 anak syarikat. Daripada penulis tiada nama hinggalah yang ada nama sudah menerbit denganPTS. Alhamdulillah! BUAT KERJA BAIK TUHAN TOLONG.
Perjuangan murni menaikkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, membumikan ilmu daripada langit Tuhan tetapi di dalam hati semua staff PTS. Semoga ramai yang mendapat hidayah melalui buku-buku PTS ini. Amin!
Aku bergambar dengan para penulis syarikatku PTS Millennia Sdn Bhd yang prolifik. Daripada kiri Ahmad Naim Jaafar, Dato' Dr. Fadzillah Kamsah, Aku kat belakang, Ahmad Fadzli Yusof dan Ahmad Yadi Said. Ini gambar selepas sesi bersama Dato' Dr. Mohd Fadzillah Kamsah di booth Kumpulan PTS pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 tempoh hari.

09 May 2005
Miniatur Kiamat Sudah Sampai.....Kiamat Sebenar Bila?
Dua hari lepas saya mendapat tetamu daripada Acheh. Ustaz Muhammad Khair Al-Husni ataupun nama selepas tsunami Khairul Ghazali. Nama selepas pembaharuan passport katanya. Kesemua dokumen dirinya hilang semasa tsunami tempoh hari. Ustaz Khair datang ke Pejabat PTS bertujuan bagi menandatangani perjanjian penerbitan kesemua karya yang sudah diserahkan kepada PTS. Sebelum ini beliau menyerahkan sembilan manuskrip buku agama yang mana pihak PTS sudah bersetuju menerbitkan enam daripadanya.
Dalam perbincangan dan diskusi kami, beliau menceritakan pengalamannya ketika tsunami. Pada hari 26 hb Disember 2004, beliau tidak berada di kampung. Beliau ke Medan untuk menyambaikan syarahannya di sana. Beliau ada pensyarah sementara di beberapa universiti sekitar Indonesia. Beliau mempunyai lapan orang anak dan dua orang isteri. Isteri pertamanya sudah berusia 40 an dan keduanya 20 an. Kesemua isteri dan anaknya berada di kampung ketika tsunami datang. Kesemuanya merasai kehebatan peristiwa tsunami itu.
Apabila mendengar berita kehadiran tsunami di Acheh, beliau bercerita. Perasaan hatinya mengalami keadaan yang tidak pernah digambarkan. Rasa takut sudah menyelubungi hatinya. Yang hanya difikirkan keselamatan dirinya sahaja. Isteri, anak-anak, keluarga dan para sahabat di kampungnya sudah tidak diingat.
Apabila ditanyakan kepada isteri-isterinya keadaan sewaktu tsunami. Perkara yang sama diceritakan. Yang ibu dah tak ingat kepada anak, anak-anak ditinggalkan menangis. Abang dah tak ingat kepada adik, ayah tak ingat kepada anak, anak dah tak ingat kepada ibu bapa dan sebagainya. Ia memang seperti digambarkan oleh para ulama dan hadis-hadis nabi. Itulah yang dikatakan gambaran kiamat kecil. Hebatnya tsunami itu. Itu yang dikatakannya seperti miniatur kiamat.
Sesiapa yang melihat kejadian tsunami sehingga ke hari ini masih takutkan laut. Mendengar bunyi air hujan di atas atap pun sudah menggetarkan hari. Anak-anak menjerit memeluk ibu ataupun sesiapa terdekat apabila mendengar guruh di langit. Hebatnya kesan trauma tsunami.
Kita baru diuji begitu sudah ketakutan, tak tahulah bagaimana sebenarnya dikatakan sebagai hari Kiamat. Gempa bumi dan kejadian alam yang diberitahu kepada kita sebagai tanda-tanda kecil kiamat. Manusia pada masa ini masih lagi mengejar kekayaan di dunia dan meminggirkan pelaburan akhirat. Yang kaya ingin bertambah kaya, ahli politiknya ingin menambah kuasanya, yang berkuasa ingin menambahkan simpanan wang ringgitnya dan pelbagai lagi. Hukum Tuhan dipinggirkan, amar makruf diketawakan, hak-hak Allah kepada manusia diperlekehkan. Yang nampak hanyalah dunia, dunia Oh dunia.
Marilah kita muhasabah diri, kalau esok kiamat bersediakah aku? Kalau esok mati bersediakan aku? Bolehkah kuasa politik menjadikan aku selamat di akhirat, bolehkah kekayaan dunia membeli para malaikat pencabut nyawa, bolehkah? bolehkah? bolehkah? Fikir-fikirkanlah.
07 May 2005
DAKWA ATAUPUN DAKWAH?
Aku teringat semasa pertemuan aku dengan Ustaz Haji Ahmad di Johor Bahru ketika berada di sana atas jemputan memberikan ceramah penulisan untuk JIM Johor Bahru dan Pensyarah Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Batu Pahat (KUiTTHO). Ustaz Haji Ahmad adalah Naib Kadi Daerah Kulai dan juga ayah kepada kakak angkat aku Norhadayah. Pertemuan ini sekitar Julai 2004.
Dia berkata,"Fauzul! Daripada tarikh 1 Januari 2004 hinggalah sekarang (Masa aku berjumpa dengannya). Saya sudah menikahkan 200 pasangan yang mana pada masa dinikahkan mereka sudah mengandung lebih daripada empat bulan. Dan daripada 1 Januari 2005 hingga sekarang, saya sudah menikahkan lebih daripada 200 pasangan yang mana pada masa dia dinikahkan itu ada walinya tetapi perlu berwali hakim"
Tersentak aku mendengar pernyataannya itu. Johor merupakan negeri yang mana jumlah penduduk Melayunya antara yang terbesar di Malaysia. Kes-kes mengandung luar nikah. "Tahun lepas (2003), Jika dikumpulkan keseluruhan Johor Bahru berlaku 200 ke 300 kes yang sama."
Inilah realitinya, bahawa masyarakat kita sudah lama rosak. Berdasarkan maklumat yang diberikan di atas, ia menunjukkan gejala zina ini sudah berlaku lama dahulu. Sebelum dunia IT dan siber lagi. Mengapa aku berkata begitu? Cuba lihat statistik kedua yang mengatakan bahawa lebih daripada 200 pasangan yang pada masa dinikahkan ada wali tetapi berwali hakim. Ia menunjukkan bahawa ayah dan ibunya dahulu sudah melakukan zina dan dia adalah anak luar nikah.
Satu lagi pengalaman yang aku hadapi pada ketika isteriku melahirkan anakku di Hospital Manjung, Sitiawan, Perak. Pada waktu itu dalam wad yang sama, terdapat seorang budak yang pada pengamatan aku masih muda berada di wad bersalin di katil berhadapan dengan katil isteriku. Mengapa aku kata begitu?Aku lihat budak perempuan ini tersenyum seperti budak-budak yang memang tidak matang wakaupun tubuhnya besar.
Suatu pagi semasa aku sampai ke hospital selepas bertahan menahan isteriku ketika beliau bersalin malam sebelum itu. Letihnya masih terasa, kepada para suami sepatutnya masuk ke dalam bilik bersalin bersama isteri kita mereka hendak bersalin. Pengalaman itu amat berguna untuk semua. Barulah kita menghargai isteri kita, mereka menghadapi saat-saat yang amat getir ketika itu. Dengan kesakitannya yang tidak dapat digambarkan oleh kita lelaki. Aku berada di dalam bilik bersalin dan berhadapan dengan keadaan air ketuban yang pecah serta darah yang keluar. Memang agak menjijikkan tetapi dah tak terfikir dengan kejijikan pada masa itu. Memang pengalaman yang membuka minda. Cukup dulu.
Ketika sampai di hospital dan berjalan ke arah wad bersalin. Ada seorang makcik berlari-lari ke arahku dengan memegang bayi, beliau memanggil aku. "Dik! Dik! Tolong makcik!" katanya. "Adik boleh tolong azankan cucu makcik tak? Ayahnya entah ke mana" dia mengeluarkan permintaan dengan air mata di mata. Aku sebak seketika, "Ya! Makcik, berilah kepada saya" Aku pun azankan bayi lelaki itu. Keadaan itu membuatkan ku tertanya-tanya apa yang berlaku. Kemudian aku serahkan kembali kepada makcik itu. Terus ke wad bersalin dan menemui isteri serta anakku yang masih belum bernama ketika itu.
Barulah aku sedar bahawa anak yang diazankan tadi adalah anak kepada budak perempuan mentah yang aku ceritakan tadi. Kelihatan makcik tadi meletakkan anak tersebut di sebelahnya. Budak itu memegang anak itu seperti memegang Teddy Bear. Aku membuat sedikit risikan dan baru aku tahu bahawa budak perempuan tersebut baru berusia 13 tahun. Dia sudah 3 kali keguguran anak, dan ini anak yang keempat. 3 kali keguguran itu disebabkan rahimnya masih belum bersedia untuk mengandungkan anak. Ayahnya entah ke mana dan siapa. Astaghfirullahalazim!
Dalam satu pertemuan lain dengan Fellow Kanan IKIM, En. Azarudin di IKIM. Beliau ini ingin membincangkan buku yang ingin diterbitkan dengan PTS. Dalam perbincangan itu beliau memberitahu aku bahawa beliau sedang mengendalikan 11 kes pelajar IPTA yang sedang mengandung anak di luar nikah. Ada daripada UM, UIAM, UKM dan UPM. Dan beliau juga memberitahu berkenaan satu kes pelajar yang murtad di KL. Dia sedang berusaha membawa budak itu kembali kepada Islam. Maklumat yang saya terima juga dia mengatakan di Jalan Duta ada satu asrama menempatkan pelajar Melayu yang murtad di bawah pembiayaan Kristian. Segalanya diberikan. Makan, minum, tempat tinggal,pendidikan dan sebagainya didana oleh gereja.
Kesemua statistik ini amat menggerunkan. Bagaimana semua ini berlaku? Salah siapakah kesemua ini berlaku? Adakah kita ingin membiarkan ia berlaku dari hari ke hari. Kebarangkalian anak-anak kita, adik beradik kita adalah sebahagian daripada statistik itu. Adakah kita perlu mendakwa ataupun berdakwah kepada masyarakat?
Dakwa hanya dilakukan selepas kes itu berlaku. Tetapi kerja dakwah perlu dilakukan sebelum sesuatu kes berlaku. Kita harus jadi pendakwah untuk memastikan tiada lagi gejala sosial sebegini berlaku. Adakah kita suka generasi akan datang rosak di atas kesalahan kita tidak melakukan dakwah kepada mereka?
Dalam hal yang sebegini, pendekatan dakwah perlu lebih kreatif dan luar biasa. Golongan mad'u kita sudah canggih dan luar biasa. Jadi tidak boleh berdakwah cara biasa. Bagaimana? Nanti kita bincangkan dalam artikel lain.
Gambar di bawah dicuri ambil ketika aku, isteri dan keluarga maksu aku makan tengah hari di Pizza Hut di The MALL. Ketika ini Pesta BukuAntarabangsa Kuala Lumpur 2005 berada pada hari akhir. Dua pasangan remaja belasan tahun Melayu keluar berdating di The Mall. Remaja perempuan dalam pakaian yang amat tidak menyenangkan mata dan lelaki yang merenyeh kepadanya. Anak siapakah ini? Adik siapakah ini? Adakah mereka sebahagian daripada statistik di atas? Fikir-fikirkanlah!

06 May 2005
DAKWAH! OH DAKWAH!
Apabila bercerita mengenai berdakwah, ramai yang melihat skop dakwah ini dengan skop yang amat kecil dan sempit. Mereka melihat bahawa berdakwah perlu ada ilmu agama yang tinggi baru boleh berdakwah. Jadi ramai yang tidak menjalankan tugasnya sebagai pendakwah. Masing-masing merasakan mereka masih tidak cukup ilmu. Betulkah hanya mereka yang mempunyai ilmu agama sahaja yang boleh berdakwah? Betulkah apabila sudah cukup baru boleh berdakwah?
OK! Mari kita lihat definisi dakwah. Dakwah daripada sudut bahasanya, suatu kegiatan yang menyeru dan membimbing serta meyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari dan mengamalkan ajaran agama yang sebenar iaitu Islam. Panjangnya definisi Kamus Dewan ni. Kalau kat PTS, gunakan Kamus Dewan ni kami tak pandanglah. Bagilah definisi sendiri. OK! Definisi yang mudah difahami, apa sahaja kegiatan yang menunjukkan Islam itu cantik, indah dan unggul itu yang dikatakan sebagai dakwah.
Definisi bagi kedua-duanyanya tidak jauh beza. Dalam memahami pengertian itu, dakwah adalah amat luas dan perlu dilihat dengan hati serta minda terbuka. Dalam kegiatan seharian pekerjaan, perbuatan, perlakuan, pertuturan, tulisan dan sebagainya adalah ruang terbaik sebagai pendakwah. Namun begitu, kita seharusnya berniat bahawa apa sahaja yang aku lakukan adalah kerana Islam dan ingin menunjukkan bahawa Islam Is The Way Of Life. Dalam hal ini tidak perlu kita berceramah ataupun berusrah sahaja sebagai jalan dakwah. Lebih daripada itu caranya.
Rasulullah adalah role model yang terbaik pendakwah. Beliau bertutur, bermuamalah, berperang, berdiplomasi dan sebagainya secara berdakwah. Apabila orang bertemu dengannya terus tertarik dengan Islam. Itu yang kita perlu lakukan.
Teringat satu peristiwa semasa di Kolej Kediaman Kelima, Universiti Malaya. Ketika itu aku masih di Asasi Sains lagi. Aku bersama rakan-rakanku ke dewan makan kolej. Selepas mengambil makanan aku duduk satu meja dengan seorang abang senior yang kami panggil Pak Man. Aku memang selalu meletakkan mind set bahawa dalam setiap masa, jangan berada dalam kelompok sendiri. Perlu berada dalam kelompok lain. Maksud kelompok adalah rakan yang sebaya dan daripada pengajian yang sama. Ini nasihat daripada seorang abang yang aku hormati. Mengapa begitu? Apabila kita berada dalam kelompok kita, kita tidak berkembang pemikiran, cara melihat dunia, isu dan kawan. Jadi apabila berada dalam kelompok lain, kita boleh belajar banyak daripada mereka.
Berbalik kepada meja kami tadi, sedang kami bersarapan dan bersembang sekejap. Ada seorang mahasiswa berbangsa Cina yang juga kenalan Pak Man duduk di meja yang sama bersebelah dengan aku. Dalam keadaan makan itu, tiba-tiba Pak Man bertanya kepada rakannya itu " Chi! Apa itu Iman?" Aku terkejut! Bagaimana seorang yang beragama Islam boleh bertanya kepada agama lain mengenai Iman. Chi tersenyum sahaja. Beliau berkata "Awak lebih tahu mengenai iman daripada saya. Cubalah terang" katanya dalam dialek Melayu bercampur Cina. Pak Man terus menerangkan mengenai iman dengan panjang lebar dan kami semua mendengarnya dengan penuh minat. Fuhh! Pada fikiran aku, aku sendiri tak berani bertanya begitu.
Dalam hal dakwah ini, kita perlu berikan dakwah kepada bukan Islam walaupun satu ayat. Tidak kiralah dalam bentuk penulisan, percakapan ataupun apa cara sekalipun. Asalkan kita berikan. Mana tahu dengan satu ayat yang diberikan itu boleh mengubah diri orang tersebut bagi mendapat hidayah Allah. Saya teringat kata-kata Dato' Dr. Mohd Fadzillah Kamsah dalam pertemuan kami tempoh hari.
"Air pada 99.9999 darjah celcius masih berada di dalam keadaan air. Jadi 0.0001 darjah celcius yang perlu diberikan bagi menukarkan air itu menjadi wap. Jadi kita perlu berikan 0.o001 darjah celcius tersebut"
Dalam keadaan tertentu, hidayah sudah hampir sampai kepada seseorang itu. Namun begitu tanpa penggalak yang betul hidayah tak sampai. Jadi kita perlu berikan penggalak itu kepada ummah. Agar kita menjadi egen penggalak yang menyebabkan hidayah itu sampai. Jadilah orang yang asing (ghuraba') kerana yang asing itulah THE CHOSEN ONE!
Nu'aim Yang Ceria Kembali
04 May 2005
Nama Fauzul Na'im Dah Glamor di Idealis Mahasiswa
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera!
Aku baru je dapat berita daripada salah seorang adik-adik mentee aku yang nama aku dah jadi glamor di laman Idealis Mahasiswa. Sesiapa nak tengok boleh guna URL ni http://www.idealis-mahasiswa.net/editor/suratpelayar601.html.
Hebat sungguh diorang ni. Dapat je hidu mana-mana skop menarik yang nak dibuat. Jawatan aku pun salah diletakkannya. Nampak sangat ingin mencari kesalahan dan peluang. Bagi aku ia tidak menjadi satu masalah besar. Ia adalah adat resam perjuangan. Ada aje yang nak melaga-lagakan pejuang Islam.
Dalam hal ini, aku nak betulkan beberapa persepsi yang timbul selepas membaca laman idealis mahasiswa itu. Ada yang mengatakan Fauzul mesti dah lari daripada perjuangan, Fauzul dah tak wala' kepada pimpinan dan sebagainya. Fauzul dahulu dan Fauzul sekarang masih belum berubah. Masih meneruskan perjuangan Islam dan dakwah Islam.
Konflik yang berlaku antara aku dan PMI bukanlah konflik perjuangan, ia hanyalah persoalan dakwah. Aku yakin dengan perjuangan murni PMI, namun begitu yang aku tak setujunya kurangnya usaha dakwah mendekatkan diri golongan Non Muslim dan yang dikatakan tidak 'Islami' kepada PMI. Dalam silibus usrah pun tiada segmen berkenaan perkara itu. Kita seharusnya mendekatkan diri kepada masyarakat bagi memperkenalkan Islam. Sepertimana yang dibuat oleh Rasulullah dahulu.
Zaman dahulu mana ada perbezaan kelas. Yang Islam dididik cara Islam, yang bukan Islam diajak dekat dengan Islam. Itu sebenarnya aku nak perjuangkan. Jadi perjuangan tetap diteruskan. So aku sedikit sebanyak menjawab persoalan sebenar pertikaian itu. Pendekatan dakwah perlu lebih terbuka dalam hal ini. Kita tidak boleh hanya mementingkan "Kita, kita aje". Semua orang hendak tahu berkenaan ISlam. Jadi apabila pejuang Islam tidak melakukannya di mana lagi letak muka kita sebagai pejuang Islam.
Apabila pejuang Islam tidak menjadi pendakwah, maka bagaimana Islam nak berkembang. Itu yang harus difikirkan. Dalam dakwah pun ada dua prinsip penting iaitu 'hikmah' dan 'hasanah'. Jadi apa-apa pendekatan selagi berada dalam pipeline yang ditetapkan oleh Islam dibenarkan. Nabi Muhammad itu sendiri mempunyai kelebihan itu, hinggakan dengan melihat perwatakan nabi pun orang dah boleh masuk Islam. Sebab apa jadi camtu, kerana Nabi ini social friendly. Jadi sebagai pendakwah kita perlu ikut cara Rasulullah. Jangan kita nak ego bahawa kita ni pejuang Islam selagi tak menjadi pendakwah yang baik.
Dalam satu seminar anjuran JIM Ampang, Seminar Dakwah dalam Masyarakat Majmuk, Brother Shah Kirit ada menyampaikan mesej yang penting kepada semua pendakwah dan pejuang Islam. Begini bunyinya :
"Ibarat orang Islam dan orang bukan Islam adalah seperti ibu bapa dan anak yang tersayang. Cuba bayangkan kita ini seorang ibu ataupun bapa yang ingin membawa anak tunggal kesayangan kita ke satu kawasan pergunungan yang indah. Apabila sampai, kita biarkan anak kita itu berlari-lari di atas kemuncak gunung tersebut. Manakala kita pergi berjalan bersama isteri ke hujung tebing kemuncak tersebut bagi menikmati pemandangan indah itu. Hujung kemuncak itu tidak mempunyai pagar. Kemudian anak kita tadi berlari-lari hingga ke samping kita, tiba-tiba semasa menghampiri tebing dia tergelincir jatuh. Kita pula yang berada di tepi anak itu boleh menyelamatkannya dengan hanya menghulurkan tangan. Jika kita hulur tangan sedikit sahaja anak itu terselamat, namun begitu kita tidak hulurkan tangan. Anak itu terjatuh ke dalam gaung dengan hanya kita melihat sahaja. Ibu bapa itulah kita orang Islam, dan anak itulah golongan bukan Islam ataupun golongan Islam yang tidak dekat dengan Islam"
Marilah kita fikirkan bersama wahai sahabat-sahabatku. Betapa ramai orang di luar sana yang mahukan input Islam yang kita ada, namun begitu kita ini tidak berusaha untuk menyampaikannya. Tidak kiralah biah kita bagaimanapun kita perlu keluar kepada biah perjuangan sebenar iaitu dakwah Islamiyyah. Masyarakat kita sudah banyak yang keliru dengan isu-isu pelbagai yang bernanah dalam jiwa sanubari masyarakat kita. Isu tidak boleh nahi mungkar hanya amar makruf (kes Jeslina Hashim), Imam Wanita (Amina Wadud), azab kubur (Astora Jabat) dan sebagainya.
Jika dakwah tidak sampai kepada mereka ini, bagaimana mereka hendak mendapat input sebenar. Wahai pejuang Islam marilah kita betulkan iktikad dan niat. Kita berjuang bukanlah kerana nama ataupun politik sahaja. Tetapi kerana Islam. Jika semua orang dalam Malaysia ini faham kepada Islam, tidak perlu ada PAS, UMNO, KEADILAN, JIM, ABIM dan sebagainya. Kita bersatu di bawah satu bendera dan perjuangan iaitu Islam. Namun begitu apabila niat itu tidak dibetulkan, maka masyarakat akan lebih keliru dan makin keliru apabila melihat sesama Islam kita tidak bersatu. Marilah kita membawa bendera dan syiar Islam ke seluruh nusantara melalui segala alat yang ada. Pertubuhan NGO, politik, perniagaan dan sebagainya. Niatnya hanya satu kembali kepada Islam, memperhambakan diri kepada Allah.
Walaupun apa berlaku kepada diriku, selagi NADI berdenyut, selagi itu akan ku teruskan perjuangan ini hingga ke hembusan nyawa yang terakhir. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd!
03 May 2005
Insurans Sosial (Social Insurance) Penting dalam Kehidupan
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Apabila aku membaca input Mira dalam blognya dan pernyataan dalam blog ini. Aku lihat dunia dulu dan sekarang masih tak berubah. Masih wujud pandangan pesimis daripada orang yang mengatakan mereka pejuang Islam kepada orang yang agak berbeza dengan mereka. Ini yang menjadikan aku ini aku. Inilah juga yang mewujudkan kerenggangan hubunganku dengan PMIUM semasa aku menjadi Exco MPMUM dulu. Gap yang dihasilkan ini menyebabkan dakwah daripada golongan pejuang Islam ini dengan mad'u mereka. Apabila da'ie mula bercakap itu salah ini salah dan membeza-bezakan antara engkau dan aku, ramai yang takut mendekati orang agama.
Ketika aku masih lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Biro MPMUM, pelbagai program aku anjurkan bagi mengurangkan gap ini. Alhamdulillah ramai yang mula mendekatkan diri. Namun begitu menimbulkan prejudis kepada golongan yang so call 'Pejuang Islam' ini. Dakwah tidak memilih siapa, semua mahukan Islam. Namun begitu cara dan kaedah berbeza-beza. Cukup dulu! Isu utama adalah Insurans Sosial kat sini.
Aku teringat salah satu kata-kata yang diucapkan oleh Makcik Ainon ibu kepada sahabat aku Arief (Ainon itu adalah Puan Ainon Mohd. Chairman PTS sekarang, Arief GM PTS) ketika kami masih berada di UM. Masa itu aku masih di tahun pertama Kejuruteraan Letrik dan memegang jawatan Exco MPMUM. Beliau berkata begini begini
"Saudara! Saudara adalah seorang pemimpin pelajar dan bakal menjadi pemimpin rakyat satu masa nanti. Satu pesanan saya, banyakkan Social Insurance (Insurans Sosial). Apakah Social Insurance? Ia adalah banyakkan kawan. Kita tidak tahu apa yang akan jadi kepada kawan-kawan kita satu masa nanti. Ada yang akan jadi menteri, jadi businessman, jadi penyangak, jadi peguam. Kesemua ini adalah Social Insurance saudara. Mereka inilah yang akan membantu saudara di masa saudara susah nanti."
Kata-kata itu tersemat erat di hati sanubari aku hingga sekarang. Kata-kata itu juga yang membuatkan aku mahu berkawan dengan semua orang. Tak kira jantina dan bangsa. Dan akhirnya membuahkan hasilnya sekarang. Kata-kata itu juga yang menjadikan aku aku sekarang. Sekarang ini pun aku menjadi Pengurus dan Pengarah Eksekutif PTS disebabkan kata-kata itu.
Jadi dalam berkawan, jangan memilih siapa kawan kita. Tidak kira lelaki ke perempuan. Namun begitu batasan agama perlu diikut. Jangan sampai kita terleka mengenai perkara itu. Aku dulupun mempunyai ramai kakak angkat dan adik-adik angkat perempuan. Tak mempunyai masalah. Itulah Social Insurance kita. Jangan runsing berkawan. Sambil berkawan sambil berdakwah. Inilah ruangan kita berdakwah dengan baik. Teruskan perjuangan. InsyaAllah Tuhan akan memberikan kita petunjuk dan hidayah.
Berposing Dalam Keletihan! Syabas PTS
Packing Jangan Tak Packing
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 Sudah Berakhir.... Tunggu Tahun Depan Pula
02 May 2005
Program PTS Millennia bersama Dato' Mohd Fadzillah Kamsah Berjaya!
Dato' yang Mempunyai Stamina Luar Biasa
Gerai PTS Diserbu
Aku bersama Penulis-penulis Prolifik Kumpulan PTS
Gambar penulis-penulis prolifik Kumpulan PTS. Di kiri aku tu, En. Samsudin Wahab. Penulis buku-buku pengurusan pejabat dan protokol majlis. Dia ni orang Kedah. Memang istiqamah dalam penulisan. Di sebelah kanan, En. Jeniri Amir. Penulis lebih daripada 50 buah buku. Orang Sarawak, dan memang terkenal di sana. Dia ni boleh menulis 16 jam tanpa henti kalau naik syeikh. Itu katanya

Program Mewarna PTS One di PBAKL 1005
Aktiviti mewarna dan melukis kanak-kanak di booth Kumpulan PTS. Ini adalah program anjuran PTS One Sdn Bhd. Alhamdulillah! Sambutannya di luar jangkaan. Ramai betul yang menyertainya. Suka tengok budak-budak berbakat besar ini menunjukkan kebolehan. Aku dulu bab melukis, maaflah. Memang tangan keras.

Subscribe to:
Posts (Atom)