12 July 2005

Ke Mana Arah Masa Depan Bahasa Melayu?

Ahad 10 Julai 2005 aku menghadiri Kongres Menyelamat & Mandaulatkan Semula Bahasa & Pendidikan Melayu anjuran Kumpulan PRIHATIN. Kongres ini diadakan bagi menyatakan pandangan dan pendapat mengenai masa depan Melayu dan Bahasa Melayu. Kumpulan PRIHATIN yang dipengerusikan oleh Tokoh Ilmuwan Melayu Dato' Zainal Abidin Wahid dianggotai oleh sejumlah besar ilmuwan Melayu antaranya Prof. Shahrin Abdul Majid, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Awang Sariyan, Dato' Seri Harussani, Puan Ainon Mohd. Tan Sri Ainuddin dan ramai lagi. Maksudnya haritu aku dikelilingi oleh tokoh-tokoh besar Melayu. Terasa kerdil betul pada masa tu (walaupun badan besar). Dan yang lebih menarik ia turut dihadiri oleh tokoh korporat Malaysia Tan Sri Khalid Ibrahim. Menarik memang menarik. Sesi separuh hari ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama ulasan kertas-kertas kerja tokoh ilmuwan bahasa oleh Prof. Dr. Abdullah Hassan dan sesi perbincangan gerak kerja bertindak. Sesi pertama membuka minda aku betapa pentingnya penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan kita sebagai masyarakat Melayu. Kepentingan daripada semua segi ekonomi, pemikiran, budaya dan sebagainya. Ramai yang mengatakan bahawa kita perlu menyokong dasar yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir itu bagi membolehkan kita global. Apakah ertinya global di situ? Mahu bersaing di antarabangsa? ataupun mahu menjadi player dunia dalam semua bidang? Kemudian ada pula yang mengatakan bahawa tujuan utama memperkenalkan dasar tersebut adalah bagi memudahkan kita bercakap dalam bahasa Inggeris. Itu yang Prof. Shahrin kata sebagai sewel tu. Kalau betullah alasan tersebut, maksudnya kalau nak belajar bahasa Tamil dan bahasa Mandarin perlu ajar anak-anak kita sains dan matematik dalam bahasa tersebutlah. Cuba kita lihat negara-negara maju dunia, apakah bahasa yang digunakan oleh mereka? Adakah mereka menggunakan bahasa lain ataupun bahasa ibunda mereka? Tentu orang akan tersentak, ya mereka menggunakan bahasa ibunda mereka mereka. Bahasa ibunda itu memainkan peranan penting kepada kemajuan dan pembangunan negara mereka. Mereka tidak berbangga-bangga dengan bahasa orang lain. Jepun, Korea, Jerman, Russia dan sebagainya. OOOh! Diorang ni negara besar, bolehlah! Tunggu dulu. Ada negara yang lebih kecil sepuluh kali ganda daripada kita dengan rakyat hanya 2 juta boleh maju dengan bahasa ibunda mereka. Negara mana? Negara inilah yang memperkenalkan kepada kita telefon-telefon bimbit canggih NOKIA. Negara tersebut adalah negara Finland. Mereka menggunakan bahasa Fin. Negara-negara seperti India, Afrika Selatan dan Hawaii yang sekian lama menggunakan bahasa Inggeris sejak beratus tahun tak maju-maju juga. Itu yang saya setuju dengan pandangan Prof. Shahrin tu, tindakan yang sewel. Kalau bukti depan mata yang tidak boleh disangkal lagi tapi kita tetap pertahankan ego kita mahu menjaga politik masing-masing hinggakan anak bangsa sendiri punah, baik jangan jadi pemimpinlah. Pemimpin yang tidak boleh berfikir dengan bukti logik ini adalah pemimpin yang tak layak jadi pemimpin. Dah berapa ramai pelajar-pelajar kita yang satu masa dahulu cemerlang dalam mata pelajaran sains dan matematik apabila menggunakan bahasa Melayu dan menjadi lingkup disebabkan oleh dasar yang karut ini. Itu tak termasuk para pelajar yang rasa putus asa sebab mereka tak boleh belajar dengan baik dalam bahasa Inggeris ini. Hingga laporan yang PTS dapat daripada kedai, buku-buku rujukan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tak laku. Berlonggok-longgok di kedai tak habis sedangkan kalau dahulu musim pembelian buku rujukan pekedailah orang yang paling gembira. Semuanya laris bak goreng pisang. Ha! Siapa yang bersalah sekarang? Adakah budak-budak ini yang bersalah ataupun dasar itu yang bersalah? Cuba kita fikirkan, berapa ramaikah ibu bapa dalam Malaysia ini tinggal di bandar-bandar dan boleh berbahasa Inggeris? Mengikut statistik hanya 14 % sahaja yang tinggal di bandar selebihnya tinggal di luar bandar. Penduduk-penduduk di luar bandar ini kebanyakannya bekerja menoreh getah, ladang kelapa sawit dan paling-paling tinggi bekerja kerajaan ataupun guru. Jadi adakah kita nak harapkan anak-anak yang mak ayah mereka tak pandai berbahasa Inggeris ini nak cemerlang dalam sains dan matematik. Dahlah kat rumah mak ayah bercakap banjar, jawa, kelantan, terengganu, sleng Bota Kiri dan sebagainya. Bagaimana nak faham bahasa Inggeris. Ish! Pelik memang pelik. Nak kata pemimpin-pemimpin kita ni jahil, kebanyakannya belajar tinggi hingga ke luar negeri. Bukti depan matapun tak dapat dilihat. Di Singapura, kebanyakan pelajarnya yang diajar bahasa Inggeris daripada kecil kemudian belajar ke luar negeri, sudah tak mahu pulang ke Singapura. Mereka ingin menetap di luar negara. Sebahagian besar daripada mereka mengatakan menyesal dilahirkan sebagai Cina dan rakyat Singapura. Ini diberitahu sendiri oleh bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong. Ini antara kesannya apabila mengatakan mengenai impak penggunaan bahasa. Sebenarnya banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa tak perlu menukar bahasa dalam pengajaran sains dan matematik. Cuma terserahlah kepada para pemimpin yang diundi oleh majoriti rakyat Malaysia membuat keputusan. Dan satu ingatan, undi-undi inilah yang menyebabkan mereka ini berkuasa dan secara automatiknya membahayakan anak bangsa kita. Fikir-fikirlah, kita hanya mampu menyatakan apa dalam fikiran namun begitu keputusannya berbalik kepada pemimpin ini. Semoga perjuangan tokoh-tokoh bangsa ini berterusan dan mencapai kejayaan. Komitmen aku jelas, aku akan terus bersama memperjuangkan bahasa Melayu sebagai ilmu untuk kecemerlangan bangsa, agama dan negara.

2 comments:

Anonymous said...

Ohh hoo...bertenang para pejuang bahasa Melayu. Ini pelajar islam dari Malaysia mahu melontar idea. Sy tak sangkal bahasa Malaysia bahasa ibunda saya, ada kepentingannya. Bahasa Inggeris, pun ada kepentingannya. Malahan kalau nak diikutkan pada situasi sekarang pun bahasa Cina pun penting juga. Haa... dah tu mana satu nih? Emm...jgnlaah kita berselisih sehingga jatuh ukhuwwah sesama islam. ni benda kecil saja tak sampai ke mana pun, maksud saya kalau iman dan amal naik baguslah. tapi kalau sebaliknya, tinggalkanlah. ehh...mengarut lak saya ni. ok berbalik kepada isu kita. pada pendapat saya sistem pendidikan itu sendiri harus dirombak. nk rombak macam mana? panjang citer. namun kiranya kita ingin menaikkan martabat bahasa kita, marilah kita berusaha sedaya upaya untuk menguasai suatu bidang. contoh finland, jepun dan sebagainya mmg saya tidak nafikan, mereka boleh berjuang dalam negara mereka dengan bahasa sendiri. Namun di mana Malaysia? Bukan saya nk memperkecilkan tanahair saya ataupun kredibiliti bahasa ibunda saya. Hatta saya di luar negara ni pun menggunakan bhs saya sebagai medium perantaraan. Selain daripada itu, jika kita ingin memantapkan kebangkitan bhs ibunda institusi penterjemahan juga perlu mantap. Mengikut kajian (terlupa sumbernya), di negara Jepun, kiranya terdapat satu buku keluaran bahasa inggeris diterbitkan, mereka mampu menterjemahkannya dalam masa 2 hari. Bagi saya, bhs melayu dan inggeris harus seiring dalam membentuk masyarakat di Malaysia. terus terang saya katakan dua-duanya sama penting. nak tambah lagi, sebagai org islam, bhs arab. maaflah kiranya saya byk melalut dan salah faham. yelah tulis waktu malam. namun saya mengerti dan faham apa yang diperjuangkan oleh mereka. yang perlu diubah bukanlah bahasa, bahasa tidak bersalah, namun sikap manusia dan sistem tarbiyah yg merosakkannya. kiranya sebuah sekolah hendak mengajar 5 bhs sekaligus pun tidak menjadi masalah, namun perhatikanlah kesannya. keutamaanya di mana? kami para pelajar bukanlah robot tapi kami manusia yg berperasaan.

Anonymous said...

Saya menyokong perjuangan abg Fauzul yang ingin memartabatkan bahasa Melayu. Teruskanlah. Perbaikilah kerosakan bhs Melayu yg telah terjadi. seperti saya jelaskan, bukanlah bhs yang menjadi masalah namun sistemnya. marilah kita bersama-sama berfikir akan kebenaran ini.