29 July 2005

Perang Kampus Sudah Bermula!

Apabila aku melayari beberapa laman kemahasiswaan, sudah ditiup semboyan peperangan dalam kampus. Masing-masing sudah mula menyerang menggunakan tentera sibernya. Dahulu pada zamanku sebagai mahasiswa perang siber ini bukanlah mainan utama dalam politik kampus. Ia tidak dimanafaatkan kerana jumlah pelawatnya tidak sehebat sekarang. Sekarang ini di mana-mana sahaja mahasiswa menggunakan internet sebagai koran rujukan utama penyelidikan mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa perang politik kampus secara siber semakin panas daripada hari ke hari. Aku tidak mahu mengulas banyak mengenai peperangan siber, cuma aku ingin melihat apa tujuan sebenar kita berperang dalam politik kampus. Selama aku menjadi mahasiswa dan memegang jawatan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, aku melihat calon-calon yang berperang dalam pilihanraya kampus berdegar-degar menyatakan hasrat untuk menjadi pemimpin mahasiswa yang akan membela kebajikan pelajar IPT. Pelbagai janji dan komitmen ditabur hinggakan ramai terpesona dengan kata-kata itu. Merata tempat dilawati, setiap fakulti dijengah, semua asrama diziarah. Setiap tempat ini kata-kata yang sama diulang. Masa rapat umum hebat berperang, satu pihak menembak yang satu lagi. Kiranya siapa yang mempunyai lidah paling tajam dan persuasif itulah pemenangnya. Ia persis politik kebangsaan 5 tahun sekali. Namun begitu, apabila menang yang menang jadi arang yang kalah jadi abu. Letih berperang, keluarkan duit buat poster sana-poster sini. Air liur dijual bergelen-gelen. Itulah pilihanraya kampus. Apa yang aku sedih adalah pemimpin-pemimpin yang menang ini akhirnya hanya tinggal janji. Dahulunya mengatakan ingin menjadi hero mahasiswa, mempertahankan kebajikan mahasiswa. Akhirnya kata-kata hanya tinggal kata-kata. Sekretariat MPMUM hanya jadi lawatan segelintir pemimpin sahaja. Yang lain kesemuanya sibuk dengan urusan lain, nak studylah, sibuklah, tesislah. Ke mana perginya janji-janji yang ditaburi. Ini berlaku bukan sahaja di kalangan yang berpengajian sains seperti kejuruteraan, perubatan malahan daripada pengajian Islam dan sastera. Kesemuanya pada masa itu mula mementingkan diri. Baru mula merasakan rugi menjadi pemimpin dan meminggirka diri. Ini semua pada pandangan ku pemimpin mahasiswa yang HAMPEH! Kalau begitu jadinya baik jangan jadi pemimpin mahasiswa dan jangan bertanding langsung. Walaupun ada mengatakan pemimpin zaman mahasiswa ini apa sangat tetapi ia adalah gambaran sebenar kepimpinan kita. Dan ia membawa kepada kepimpinan semasa keluar daripada kampus. Apabila dalam kampus pun HAMPEH kat luar masa jadi pemimpin organisasi pun tentunya HAMPEH juga. Mana-mana yang mat study ataupun yang hanya nak main-main untuk bertanding dalam pilihanraya kampus tu, aku nasihatkan lupakanlah. Berilah kepada orang yang benar-benar nak menjadi pemimpin sebenar. Ingatlah dalam Surah AsSaf yang mengatakan besarlah kemurkaan Allah kepada orang yang tidak melakukan apa yang dia kata. Jadi fikirlah dahulu sebelum menandatangani borang untuk bertanding nanti. Aku bercakap daripada pengalaman bertahun-tahun berada dalam alam kepimpinan mahasiswa. Jadi fikir-fikirlah.