30 January 2007

LAMA TIDAK MENJENGAH KE SINI

Assalamualaikum, Lama betu saya tidak melawat laman blog pertama kami ini. Rasanya sudah 2 tahun, pada asalnya laman ini musnah teruk disebabkan ada masalah kepada layout dalamnya. Alhamdulillah sudah berjaya mengembalikan rupa barunya. Bagi sesiapa yang tertanya-tanya ke mana menghilang, sebenarnya tidak menghilang cuma tidak aktif di blog ini. Bagi yang ingin mengikut perkembangan boleh melawat ke laman web baru kami di
www.raudhatunnaim.com
Kita jumpa di sana

05 September 2005

Lama Tidak Menjengah

Lama betul aku tak menjengah blog aku ni. Pasti kenalan yang melawat ke sini tertanya-tanya ke mana perginya diriku ini? Masih hidup ke? Dah mati ke? Sihat ke? Sakit ke? Alhamdulillah Tuhan masih memberikan kekuatan kepada diri ini dan dipanjangkan umur hingga hari ini. Aku bukannya tidak teringat kepada laman ini, cuma kesibukan semenjak dua menjak ini membekukan langkah tangan ini untuk memetik ke sini. Namun begitu Alhamdulillah hari ini berjaya juga sampai ke sini. Sebenarnya aku sekarang ini amat sibuk membina beberapa laman baru. Laman yang sudah berjalan lancar aku tinggalkan kejap seperti Dr. Cinta dan Formula Cemerlang. Sekarang ini aku membina dua lagi laman baru iaitu Laman Interaktif PTS Millennia Sdn Bhd : laman interaksi dua hala syarikatku dengan semua masyarakat dan juga satu lagi REAKTIF.Com : Xpressi Minda Remaja. Kedua-dua laman ini berjaya juga dinaikkan, cuma tengah nak perelokkan lagi persembahan dan pengisiannya. Sebenarnya hobi membuat laman ini baru sahaja terdetik dalam beberapa tahun ini. Sebelum ini aku banyak memerhatikan sahaja sahabat baik aku Arief Hakim membuat laman-laman web ini. Ada juga terlintas mahu belajar, cuma kesibukan lain pada masa itu mengekang keinginanku. Alhamdulillah selepas mengambil alih jawatan sebagai pengurus di PTS, keinginan itu diterjemahkan dengan membuat beberapa komuniti bagi tujuan menyebar ilmu. Yang mula-mula sekali adalah kerjasama di antara aku dengan Dr. Danial Zainal Abidin membangunkan laman Formula Cemerlang September 2004. Alhamdulillah hingga hari ini sudah setahun laman itu hidup. Sambutannya amat menggalakkan. Kemudian diteruskan dengan Dr. Cinta.Com, seterusnya PTSMillennia.Com dan yang terbaru ReAktif.Com. Ini yang aku kata kalau nak tunggu ada pengalaman baru nak buat, sampai bila pun tak buat. Aku ni banyak cuba dan musnah. Laman Formula Cemerlang tu dah beberapa kali rosak dek tangan ini. Hinggalah jadi elok seperti sekarang ini. Kena cuba try test baru tahu camner nak buat. Kalau sekadar berteori tak payahlah. Alhamdulillah pula sekarang aku dibantu oleh seorang bekas mahasiswa Mesir yang kreatif dan berkredibiliti dalam bidang grafik juga sudah menjadi eksekutif penerbitan di syarikat aku. InsyaAllah akan terus mewujudkan lebih banyak portal untuk menyebarkan sebanyak mungkin ilmu dan dakwah kepada masyarakat. Aku berdoa agar terus diberikan kekuatan dan rezeki bagi meneruskan jihad siber ini. Amiiin! Aku juga perlu berterima kasih kepada keluarga tersayang terutamanya isteri yang memahami dan memberikan sokongan sentiasa. Aku ni balik je ke rumah, selepas selesai segala tanggungjawab lain seperti makan dan solat terus naik ke pejabat mini aku ni bagi membuat kerja. Kalaulah tak mempunyai isteri yang memahami tentu susah aku. Terima kasih sayangku, engkaulah sumber inspirasiku. Semoga rumahtangga dan keluarga di bawah sinar Mawaddah Wa Rahmah Yang Maha Kuasa. Amiin!

22 August 2005

Alhamdulillah Aku Berjaya Adakan Kuliah Kali Pertama

Lama betul aku tak berposting di sini. Aku amat bersyukur bila hari Sabtu yang lalu buat kalu pertama aku berjaya mengadakan Kuliah Ilmu kali pertama di rumahku. Alhamdulillah ramai juga yang hadir, daripada kalangan keluargaku, staff-staffku dan jiran terdekat. Penceramahnya Ustaz Anwar Ridzwan Zakaria. Di sini aku kongsikan kertas kerja dia malam tu. Memang power!

ASAS INDIVIDU MUSLIM : PERBINCANGAN ANTARA IMAN DAN AQAL1

Oleh

Anwar Ridwan Zakaria

Akademi Pengajian Islam, UM

Pendahuluan

Mutakhir ini kita dapati persoalan aqal (rasional) dilihat mendominasi iman didalam memahami ajaran Islam. Kertas ringkas ini bertujuan memberikan pengenalan awal tentang asas pemikiran seorang individu muslim. Ia sangat memberi kesan di dalam kehidupan harian seorang individu muslim. Asas ini jugalah yang melahirkan pandangan yang berbeza di antara individu muslim dengan non-muslim. Ini dapat dilihat terutamanya apabila membabitkan soal-soal yang secara mata kasarnya sukar untuk difahami.

Iman Asas Utama Individu Muslim

Perkataan iman secara ringkas membawa maksud percaya dan yakin. Terdapat beberapa istilah lain yang digunakan oleh orang melayu untuk memberi maksud yang sama iaitu aqidah dan tauhid. Secara umumnya iman memberi erti keyakinan yang penuh terhadap apa yang datang daripada Allah melalui RasulNya atau dalam erti kata lain apa-apa yang datang dari al-Quran dan hadith yang sahih.

Iman juga bermaksud menerima secara bulat-bulat apa yang disampaikan. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat diperingkat awal. Abu Bakar umpanya digelarkan sebagai Al-Siqqiq hasil dari iman yang secara total terhadap isra’(perjalanan dari Baitillah ke Bait al-Muqaddas) dan mikraj (perjalan ke langit) Rasulullah.

Ini berbeza dengan amalan manusia biasa terutamanya non-muslim yang melihat aspek aqal sebagai asas utama di dalam menerima sesuatu termasuklah ajaran Allah swt. Atas asas ini lah kita lihat berlaku kritikan-kritikan yang banyak terhadap ajaran Islam hasil daripada asas aqal dijadikan piawaian utama. Aspek wanita umpamanya menjadi asas kritikan terhadap Islam apabila dilihat berlaku diskriminasi.

Bagi individu muslim, sepatutnya apa yang disampaikan patut diterima dengan penuh keyakinan (iman). Keyakinan ini sebenarnya jika dikaji tidaklah bercanggah dengan aqal manusia. Bahkan ia merupakan fitrah setiap manusia yang diciptakan. Asas kepada keyakinan ini boleh dilihat melalui beberapa analogi :

  1. Allah sebagai pencipta

Fitrah manusia menunjukkan bahawa alam ini mempunyai pencipta. Boleh dikatakan keseluruhan manusia meyakini bahawa alam ini diciptakan oleh Allah (God). Aqal yang sihat akan menyakini segala apa yang disampaikan oleh tuan pencipta tentang apa yang diciptakan.

  1. Rasul sebagai utusan

Keyakinan kepada para rasul memang menjadi aspek sering dipertikaikan yang akhirnya menolak keseluruhan ajaran itu sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa apa yang disampaikan oleh para rasul itu benar. Kebenaran telah dibuktikan dengan ujian yang telah berjaya membuktikan kebenaran para rasul sebagai utusan Allah. Aqal yang sihat akan menyakini sesuatu yang telah dibuktikan secara berulang kali.

Analogi di atas menunjukkan bahawa asas utama kepada individu muslim adalah menyakini setiap apa yang datang daripada Allah dan RasulNya.

Iman dan Aqal

Persoalan yang sering menjadi topik hangat akhir zaman adalah persoalan rasional (aqal). Timbul persoalan, adakah Islam itu agama yang tidak rasional atau agama yang tidak boleh menggunakan aqal?. Persoalan ini sangat penting untuk dijawab supaya umat Islam menimbang soal iman dan aqal dengan baik.

Islam seperti yang diketahui umum sangat menitikberatkan soal berfikir dan rasional. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui Al-Quran dan hadith Rasulullah. Ini juga dapat dilihat ketika para ulamak Islam mengupas isu-isu fiqh melalui perbincangan hikmah dan illah. Kesemuanya ini menggambarkan Islam sangat mementingkan soal rasional dan aqal.

Islam melihat aqal mestilah berpandukan kepada iman. Aqal tidak boleh berdiri sendiri tanpa disandarkan dengan iman. Jika dilihat dari aspek etimologi (pembinaan kata), aqal bermakna sesuatu yang diikat. Seseorang yang berakal adalah orang yang mampu mengikat aqalnya untuk membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. Atas dasar ini, Islam melihat sesuatu yang buruk dan baik itu perlu diikat berasaskan wahyu (Al-Quran dan Al-Hadith).

Secara realitinya, aqal manusia memang terhad. Manusia tidak mengetahui sesuatu yang diluar kemampuan dan kebiasaannya melainkan dengan berita yang disampaikan kepadanya. Dalam erti kata lain, aqal manusia adalah terhad kemampuannya berfikir. Seseorang yang hanya mengikat sesuatu dengan aqalnya sahaja akan terjerumus ke dalam kemusnahan.

Sebagai contoh, seorang yang tidak pernah terdedah dengan soal teknologi akan berfikir bahawa lebih baik menggunakan air daripada petrol untuk menggerakkan engine. Ini kerana air lebih murah daripada petrol. Bagi orang yang ada sedikit pengetahuan akan berfikir bahawa diesel lebih baik digunakan kerana harganya juga bahan api dan lebih murah. Tetapi jika manusia menggunakan aqal melalui penjelasan pencipta engine baru manusia akan terselamat dari kemusnahan.

Kesemua alasan diatas menunjukkan bahawa aqal sangat perlu di dalam Islam tetapi ianya mestilah berasaskan keimanan. Kajian dan rasional yang dicari mestilah berasaskan kepada aqidah. Inilah yang akan menyelamatkan manusia daripada kemusnahan hasil daripada pemikiran manusia yang sempit dan terhad.

Iman dan Kebenaran

Satu lagi asas yang penting adalah iman kepada ajaran Islam adalah sesuatu yang benar. Konsep kebenaran ini agak sedikit berbeza. Manusia yang tidak beriman akan menilai sesuatu kebenaran itu berasaskan pemikiran mereka. Jika ianya dirasakan tidak benar berasaskan aqal mereka, perkara tersebut akan ditinggalkan. Islam melihat kebenaran itu mesti melalui iman. Ini kerana kebenaran akan terhasil apabila ianya dilaksanakan. Maka untuk merealisasikan sesuatu perkara yang secara aqal tidak dapat melihatkan kebenaran maka perlunya iman untuk memastikan kebenaran itu dapat dilihat melalui perlaksanaannya.

Jika dilihat secara rambang, banyak ajaran-ajaran Islam yang dirasakan tidak sesuai dan tidak ada kebenaran padanya. Hasilnya kita lihat umat Islam sendiri tidak menghayati ajaran tersebut. Inilah sebenarnya punca Islam itu tidak dapat dirasai kemanisan dan kehebatannya. Islam memang agama yang cemerlang tetapi dengan hanya ungkapan dan pemikiran Islam tidak akan cemerlang.

Sebagai contoh, seorang pesakit yang pening kepala datang berjumpa doktor. Doktor memberikan ubat dengan aturannya untuk dimakan. Untuk menghilangkan pening kepala, pesakit tidak boleh menilai kebaikan ubat tersebut dengan hanya melihat secara fizikal dan mengulang-ulangkan sebutan aturannya sahaja. Pesakit tidak mampu berfikir tentang bagaimana ubat tersebut menghilangkan pening. Pesakit hanya akan mendapati kebenaran tersebut melalui pengambilannya secara berterusan. Atas dasar itulah, ajaran Islam perlu dilaksanakan untuk mendapatkan kebenarannya dan bukan melalui pemikiran dan perbincangan sahaja.

Kesimpulan

  1. Umat Islam mesti meletakkan keimanan sebagai asas kehidupan.

  2. Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan metodologi barat didalam menilai Islam dengan meletakkan aqal sebagai piawaian di dalam menjustifikasi ajaran Islam.

  3. Rasional dan kebenaran ajaran Islam tidak semua dapat dibuktikan dengan aqal kerana aqal manusia sangat terhad.

  4. Rasional dan kebenaran ajaran Islam kadang-kadang dapat dibuktikan dengan iman dan praktik.

1 Kertas ini adalah ringkasan untuk perbincangan sahaja. Analogi yang dibawa hanya untuk memberikan kefahaman asas. Segala nas-nas dan isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan di dalam perbincangan.

05 August 2005

Melawat Tokoh Penulisan Yang Prolifik dan Klasik

Hari Selasa 3 hb. yang lalu, rombongan Kumpulan PTS selepas ke pelancaran buku di PSPN Selangor terus ke rumah tokoh penulisan yang cukup prolifik iaitu Ustaz Ann Wan Seng. Orang yang mengikuti penulisannya sejak dulu lagi tentu bersetuju kalau aku katakan bahawa dia ini antara tokoh penulisan prolifik di Malaysia. Dahulu orang amat mengenalinya melalui tulisan-tulisannya di Harakah, kemudian dia beralih kepada beberapa makalah lain seperti Eksklusif (Dah tutup, bekas akhbar Karangkraf), Majalah I dan banyak lagi. Hasil tulisannya memang banyak sebanyak buku-buku yang berada di rak buku rumahnya. Apabila kami masuk ke dalam bilik studi dan kerjanya, wah memang kagum dengan betapa banyaknya bahan bacaannya. Memang patutlah dia ini kuat menulis dan banyak menulis dalam pelbagai bidang. Sebut aja bidang apa, anak-anak, politik, remaja, ekonomi, isu semasa. Semua ada. Itulah hebatnya Ann Wan Seng ini. Memang suatu tokoh penulisan yang perlu dikagumi dan menjadi idola penulis-penulis lain. Satu lagi jangan tak tahu, hobinya mengumpul barang-barang antik. Memang sesiapa yang ke rumahnya pasti kagum. Antara yang dikumpulkan adalah kamera, buku-buku lama, lampu, kipas, papan tanda dan banyak lagi. Aku anggarkan berjuta ringgitlah harganya. Memang best dan hebat. Mari kita hayati gambar-gambar yang diambil di rumah Ustaz Ann Wan Seng ini.

04 August 2005

Tahniah PTS Pro! Pelancaran Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah

Alhamdulillah! Semalam 3 hb. Ogos 2005 bertempat di Pusat Sumber Pelajaran Negeri Selangor diadakan pelancaran buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd. (PTS Pro) salah sebuah anak syarikat Kumpulan PTS. Ia disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dato Hj. Yusoff Haron. Majlis ini diadakan bersempena dengan pelancaran sistem ILMU (Integrated Library Management Utilities) yang dibangunkan oleh PSPN dengan kerjasama daripada UiTM dan sebuah syarikat swasta. Sistem ini adalah suatu sistem yang memudahkan pengintegrasian maklumat di antara satu PSPN dengan PSPN yang lain. Ia juga memudahkan pelanggan ataupun pengguna mendapatkan maklumat mengenai buku-buku yang berada di setiap PSPN. Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah adalah tulisan para kakitangan PSPN Selangor yang diketuai oleh editornya En. Azman Larut. Tahniah kepada PTS Pro, teruskan usaha dan kecemerlangan ini.

01 August 2005

Selamat Hari Lahir Sayangku! Nurulhilyati Abdul Halim

Alhamdulillah hari ini bertambahlah lagi setahun umurmu sayangku. Ku doakan moga pertambahan umur ini meningkatkan kematangan kita bersama. Sudah 26 tahun umur isteriku. Terus terang ku katakan bahawa dikaulah anugerah terbaik yang Tuhan berikan kepadaku. Tidak pernah ku terima anugerah sebaikmu. Kehadiranmu memberikan kekuatan kepada diriku. Waktu susah engkaulah semangatku, waktu senang engkaulah komediku. Dikaulah juga yang memberikan satu lagi anugerah terbaik iaitu anak kita Muhammad Iqbal Nu'aim. Ku doakan Tuhan memberikan keredhaan dan rahmat kepadamu sentiasa.
Selamat Hari Lahir Isteriku Yang ke 26. Moga Allah menambahkan rezeki dan keharmonian rumah tangga kita berdua, Amiin!!!

29 July 2005

Perang Kampus Sudah Bermula!

Apabila aku melayari beberapa laman kemahasiswaan, sudah ditiup semboyan peperangan dalam kampus. Masing-masing sudah mula menyerang menggunakan tentera sibernya. Dahulu pada zamanku sebagai mahasiswa perang siber ini bukanlah mainan utama dalam politik kampus. Ia tidak dimanafaatkan kerana jumlah pelawatnya tidak sehebat sekarang. Sekarang ini di mana-mana sahaja mahasiswa menggunakan internet sebagai koran rujukan utama penyelidikan mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa perang politik kampus secara siber semakin panas daripada hari ke hari. Aku tidak mahu mengulas banyak mengenai peperangan siber, cuma aku ingin melihat apa tujuan sebenar kita berperang dalam politik kampus. Selama aku menjadi mahasiswa dan memegang jawatan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, aku melihat calon-calon yang berperang dalam pilihanraya kampus berdegar-degar menyatakan hasrat untuk menjadi pemimpin mahasiswa yang akan membela kebajikan pelajar IPT. Pelbagai janji dan komitmen ditabur hinggakan ramai terpesona dengan kata-kata itu. Merata tempat dilawati, setiap fakulti dijengah, semua asrama diziarah. Setiap tempat ini kata-kata yang sama diulang. Masa rapat umum hebat berperang, satu pihak menembak yang satu lagi. Kiranya siapa yang mempunyai lidah paling tajam dan persuasif itulah pemenangnya. Ia persis politik kebangsaan 5 tahun sekali. Namun begitu, apabila menang yang menang jadi arang yang kalah jadi abu. Letih berperang, keluarkan duit buat poster sana-poster sini. Air liur dijual bergelen-gelen. Itulah pilihanraya kampus. Apa yang aku sedih adalah pemimpin-pemimpin yang menang ini akhirnya hanya tinggal janji. Dahulunya mengatakan ingin menjadi hero mahasiswa, mempertahankan kebajikan mahasiswa. Akhirnya kata-kata hanya tinggal kata-kata. Sekretariat MPMUM hanya jadi lawatan segelintir pemimpin sahaja. Yang lain kesemuanya sibuk dengan urusan lain, nak studylah, sibuklah, tesislah. Ke mana perginya janji-janji yang ditaburi. Ini berlaku bukan sahaja di kalangan yang berpengajian sains seperti kejuruteraan, perubatan malahan daripada pengajian Islam dan sastera. Kesemuanya pada masa itu mula mementingkan diri. Baru mula merasakan rugi menjadi pemimpin dan meminggirka diri. Ini semua pada pandangan ku pemimpin mahasiswa yang HAMPEH! Kalau begitu jadinya baik jangan jadi pemimpin mahasiswa dan jangan bertanding langsung. Walaupun ada mengatakan pemimpin zaman mahasiswa ini apa sangat tetapi ia adalah gambaran sebenar kepimpinan kita. Dan ia membawa kepada kepimpinan semasa keluar daripada kampus. Apabila dalam kampus pun HAMPEH kat luar masa jadi pemimpin organisasi pun tentunya HAMPEH juga. Mana-mana yang mat study ataupun yang hanya nak main-main untuk bertanding dalam pilihanraya kampus tu, aku nasihatkan lupakanlah. Berilah kepada orang yang benar-benar nak menjadi pemimpin sebenar. Ingatlah dalam Surah AsSaf yang mengatakan besarlah kemurkaan Allah kepada orang yang tidak melakukan apa yang dia kata. Jadi fikirlah dahulu sebelum menandatangani borang untuk bertanding nanti. Aku bercakap daripada pengalaman bertahun-tahun berada dalam alam kepimpinan mahasiswa. Jadi fikir-fikirlah.

27 July 2005

Kenapa Kita Membenci?

Lama betul rasanya aku tidak menjengah bagi melontar tinta ke laman ini. Alhamdulillah hari ini ada sedikit ruangan di petang hari buatku berkongsi pandang dengan para pelayar web. Aku ingin membawa bersama-sama kita semua kepada satu persoalan 'benci'. Sebenarnya mengapa kita membenci? Kalau dua orang yang bercinta berpisah, yang satu membenci yang satu lagi. Mengapa mereka membenci? Kerana kecewa? Mengapa perlu kecewa? Kerana tak dapat apa yang dihajati? Apa yang dihajati? Bahagia? Gembira? Adakah kalau kita tak berpasangan dengan si dia kita tak gembira? Bagi dua kumpulan yang bertentang ideologi politik. Mengapa mereka membenci? Kerana pandangan berbeza? Mengapa berbeza? Kerana satu pihak mahukan wang dan satu lagi mahukan Islam? Mengapa perlu wang dan Islam? Kerana mahukan bahagia? Habistu bahagia ke kalau kita berperang antara satu sama lain? Jadi apabila kita membuka buku nota dan menyenaraikan kembali mengapa kita membenci. Sebenarnya kita membenci disebabka perkara yang sememangnya tak berasas. Membenci kerana cinta, mengapa perlu bercinta jika kita membenci. Membenci kerana politik, politik tidak boleh dibina dengan benci. Membenci kerana Islam, Islam bukan agama kebencian. Jadi bila dicongak sebenarnya kita tak patut membenci. Kita hanya perlu menyayangi. Apabila tiada benci, InsyaAllah ada titik pertemuan di antara dua pihak yang bertelagah. Dan benci takkan wujud dengan sayang. Jadi buangkanlah benci, bawakan bunga kasih dan sayang. Dan bawakanlah kewangian syiar Islam dalam kehidupan. Maka amanlah dunia ini.

21 July 2005

Terkenang Masa Dulu

Semalam, Alhamdulillah aku dapat bertemu kembali dengan bekas naqib usrah aku suatu ketika dahulu Abang Anwar Ridzwan Zakaria. Dalam dunia kemahasiswaan dahulu aku pernah mengatakan kepada rakan-rakanku dalam kampus bahawa dalam UM aku hanya akan mendengar fatwa daripada dua orang sahaja. Pertamanya, Zainol Azizi Mat Zain abang angkatku dan kedua Anwar Ridzwan Zakaria naqib usrahku. Abang Anwar masih seperti dahulu seorang yang tenang dan mesra. Kata-katanya penuh hikmat dan aku bersyukur kerana kembali bertemu dengannya yang ku anggap sebagai mentorku. Zaman abang Anwar sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMIUM) adalah zaman yang ku lihat banyak perubahan dilakukan. Perubahan daripada sistem tarbiyyah, sistem pentadbiran dan sebagainya. Pada zamannya jugalah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya kembali ke tangan golongan pro Islam. Memang karismatik dia ini walaupun tubuhnya kecil tetapi kecil-kecil cili padi. Zaman itu sebut sahaja Ustaz Anwar Ridzwan berceramah ataupun berkuliah, pasti ramai yang akan hadir. Lebih kurang seperti MAWI AF3 versi PMIUM lah. Jangan marah ye abang Anwar! Banyak cerita dan perkara yang dibincangkan, pandangan, perspektif semasanya tetap seperti dahulu. Seorang reformis dalam stailnya tersendiri. Aku rasa bangga menjadi anak usrahnya dan menteenya. Diharapkan Tuhan memberikan rahmat dan redhanya kepada abang Anwar. Semoga perjuangan semakin marak, azam semarak agama, bangsa dan negara. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd!

18 July 2005

Kesan Bahasa Melayu Di Dalam Sistem Perundangan

Ramai yang melihat isu bahasa ini sebagai isu pendidikan sahaja. Namun begitu sebenarnya ia lebih daripada itu. Ia melibatkan politik, ekonomi, budaya, perundangan dan banyak lagi. Betul ke? Mesti orang bertanya begitu. Baiklah, aku akan mula membuka lembaran demi lembaran dalam blog ini bagi menyingkap satu persatu kesan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita. Walau apapun aku tidak menafikan keperluan penggunaannya sebagai alat penting dalam bidang-bidang tertentu seperti bisnes, pendidikan dan sebagainya. Cuma kita ingin menjadi agak kritis kepada isu penukaran bahasa dalam sistem pendidikan keseluruhan yang orang pandang ia tidak akan menjejaskan jati diri Melayu. Dalam satu seminar anjuran sebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Prof. Dr. Syeikh Nor Alam Dekan Fakulti Linguistik dan Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia (UPM) menerangkan kesan penggunaan bahasa Inggeris di dalam mahkamah berbanding bahasa Melayu. Prof. Syeikh Nor Alam adalah juga seorang peguam (by training). Dalam satu kes mengenai tuntutan seorang anak perempuan bagi menyaman seorang ayah kerana si ayah tidak membenarkannya berkahwin dengan lelaki pilihan. Kes ini dibicarakan dalam mahkamah yang menggunakan bahasa Inggeris. Keputusan mahkamah tersebut membenarkan si anak menyaman anak dan dalam kata lain si anak menang. Kemudian kes tersebut dirayu oleh si ayah dan dibawa pula ke mahkamah yang menggunakan bahasa Melayu. Di mahkamah tersebut si ayah menang kes dan saman si anak ditolak. Mengapa boleh jadi begini? Dalam bahasa Inggeris tidak ada perkataan patuh kepada ayah. ISh! Betul ke? Mesti orang berkata begitu, habis tu perkataan 'obey' bukan bermaksud patuh ke? Tunggu dulu, 'obey' bermaksud perlu mengikut perintah. Namun begitu dalam kes ayah dan anak bukan bermaksud mengikut perintah tetapi patuh kepada kehendak permintaan ayah. Si ayah adalah wali kepada anak tersebut, jadi mengikut Islam perkataan patuh adalah ketetapan agama. Jadi apa yang boleh kita gambarkan bahawa, bahasa Melayu ini bukannya hanya bahasa tetapi sebenarnya menunjukkan agama Islam itu sendiri. Namun begitu apabila kita menggunakan bahasa lain yang tidak ada unsur dan nilai Islam. Maka urusan kita seharian hanya sekadar urusan biasa. Sudah hilang nilai dan moral yang diajarkan oleh Islam. Ini baru satu faktor. Nanti kita bincangkan faktor yang lain pula.