10 July 2005

Kampung Buku Tinggal Kenangan

Alhamdulillah! Aku dapat ke Langkawi daripada 29 Jun 2005 hingga 2 Julai 2005. Antara tempat pertama yang ingin aku kunjungi adalah Kampung Buku di sana. Kampung Buku sudah lama aku dengari daripada rakan taulan, akhbar dan pelbagai sumber lain. Sebagai seorang penerbit buku sudah tentu ia melambai hati bagi mengetahui lanjut bagaimanakah sebenarnya konsep Kampung Buku ini. Alangkah baiknya jika ia dapat dibuat di Kuala Lumpur, di mana aku dapat menelaah lembaran demi lembaran buku-buku kegemaranku. Jalan ke Kampung Buku ku harapkan lancar selancar aku mencari Berjaya Langkawi Resort tempat penginapan kami sekeluarga di sana. Namun aku melihat tiada tanda-tanda ataupun papan tanda jalan menunjukkan jalan ke sana. Terdetik di hatiku mengapa tempat ilmu yang sebegini baik kurangnya promosi di Langkawi. Sedangkan Galeria Perdana daripada Kuah sudah dapat menghidu bau jalannya. Kami sekeluarga gagahkan juga pencarian bagi memastikan hajat sekian lama tercapai. Bertanya kepada orang sebelah menyebelah jalan, banyak fatwa diberikan tetapi tak kesampaian juga. Akhirnya kami sampai juga ke Pintu Gerbang Kampung Buku. Kawasan ini sunyi sesunyinya. Tanpa kelibat pelawat yang ku harapkan. Suasana rimba mempersona sahaja melambai pesonaku untuk meneruskan perjalananku. Di tempat parkir aku tersentak apabila melihat suasana sekeliling Kampung Buku ini. TIADA PENJAGAAN? Daripada gambar-gambar yang ku titipi di sini, hayatilah tempat ilmu yang sepatutnya diimarahkan hanya tinggal rumah-rumah kosong ditemani alam. Pakejnya sudah menarik tetapi pelaksanaannya tah ke mana. Suasana alam rimba memang idola pembaca buku, cuma aku pelik mengapakah ia tidak dijaga dengan baik? Ke manakah perginya para cerdik pandai buku, ke mana perginya intelek Melayu, ke mana perginya tukang-tukang debat media sehinggakan tempat sebegini tidak diambil hirau semua. Sedih memang sedih. Marilah kita hayati gambar-gambar yang ku ambil buat tontonan semua. Ku harapkan ada pihak-pihak berkuasa tempat mengembalikan kegemilangan Kampung buku ini. Janganlah dibiarkan tempat lawatan menarik ini hanya menjadi Gajah Putih. Ramai yang mengatakan tempatnya tidak sesuai. Sesuaikah faktornya ditinggalkan? Aku rasa tidak. Sesuai ataupun tidak itu isunya lain. Galeria Perdana tempat khazanah Tun Dr. Mahathir pun ada di sini. Bukan kira tidak sesuai, mahu ataupun tidak. Geleria Perdana terjaga kawasannya, hebat hiasannya, teliti perancangannya. Mengapa tempat ilmu sebegini dibiarkan. Nanti aku kongsikan suasana Galeria Perdana pula. Tungguuuuuu.