05 September 2005
Lama Tidak Menjengah
22 August 2005
Alhamdulillah Aku Berjaya Adakan Kuliah Kali Pertama
ASAS INDIVIDU MUSLIM : PERBINCANGAN ANTARA IMAN DAN AQAL1
Oleh
Anwar Ridwan Zakaria
Akademi Pengajian Islam, UM
Pendahuluan
Mutakhir ini kita dapati persoalan aqal (rasional) dilihat mendominasi iman didalam memahami ajaran Islam. Kertas ringkas ini bertujuan memberikan pengenalan awal tentang asas pemikiran seorang individu muslim. Ia sangat memberi kesan di dalam kehidupan harian seorang individu muslim. Asas ini jugalah yang melahirkan pandangan yang berbeza di antara individu muslim dengan non-muslim. Ini dapat dilihat terutamanya apabila membabitkan soal-soal yang secara mata kasarnya sukar untuk difahami.
Iman Asas Utama Individu Muslim
Perkataan iman secara ringkas membawa maksud percaya dan yakin. Terdapat beberapa istilah lain yang digunakan oleh orang melayu untuk memberi maksud yang sama iaitu aqidah dan tauhid. Secara umumnya iman memberi erti keyakinan yang penuh terhadap apa yang datang daripada Allah melalui RasulNya atau dalam erti kata lain apa-apa yang datang dari al-Quran dan hadith yang sahih.
Iman juga bermaksud menerima secara bulat-bulat apa yang disampaikan. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat diperingkat awal. Abu Bakar umpanya digelarkan sebagai Al-Siqqiq hasil dari iman yang secara total terhadap isra’(perjalanan dari Baitillah ke Bait al-Muqaddas) dan mikraj (perjalan ke langit) Rasulullah.
Ini berbeza dengan amalan manusia biasa terutamanya non-muslim yang melihat aspek aqal sebagai asas utama di dalam menerima sesuatu termasuklah ajaran Allah swt. Atas asas ini lah kita lihat berlaku kritikan-kritikan yang banyak terhadap ajaran Islam hasil daripada asas aqal dijadikan piawaian utama. Aspek wanita umpamanya menjadi asas kritikan terhadap Islam apabila dilihat berlaku diskriminasi.
Bagi individu muslim, sepatutnya apa yang disampaikan patut diterima dengan penuh keyakinan (iman). Keyakinan ini sebenarnya jika dikaji tidaklah bercanggah dengan aqal manusia. Bahkan ia merupakan fitrah setiap manusia yang diciptakan. Asas kepada keyakinan ini boleh dilihat melalui beberapa analogi :
Allah sebagai pencipta
Fitrah manusia menunjukkan bahawa alam ini mempunyai pencipta. Boleh dikatakan keseluruhan manusia meyakini bahawa alam ini diciptakan oleh Allah (God). Aqal yang sihat akan menyakini segala apa yang disampaikan oleh tuan pencipta tentang apa yang diciptakan.
Rasul sebagai utusan
Keyakinan kepada para rasul memang menjadi aspek sering dipertikaikan yang akhirnya menolak keseluruhan ajaran itu sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa apa yang disampaikan oleh para rasul itu benar. Kebenaran telah dibuktikan dengan ujian yang telah berjaya membuktikan kebenaran para rasul sebagai utusan Allah. Aqal yang sihat akan menyakini sesuatu yang telah dibuktikan secara berulang kali.
Analogi di atas menunjukkan bahawa asas utama kepada individu muslim adalah menyakini setiap apa yang datang daripada Allah dan RasulNya.
Iman dan Aqal
Persoalan yang sering menjadi topik hangat akhir zaman adalah persoalan rasional (aqal). Timbul persoalan, adakah Islam itu agama yang tidak rasional atau agama yang tidak boleh menggunakan aqal?. Persoalan ini sangat penting untuk dijawab supaya umat Islam menimbang soal iman dan aqal dengan baik.
Islam seperti yang diketahui umum sangat menitikberatkan soal berfikir dan rasional. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui Al-Quran dan hadith Rasulullah. Ini juga dapat dilihat ketika para ulamak Islam mengupas isu-isu fiqh melalui perbincangan hikmah dan illah. Kesemuanya ini menggambarkan Islam sangat mementingkan soal rasional dan aqal.
Islam melihat aqal mestilah berpandukan kepada iman. Aqal tidak boleh berdiri sendiri tanpa disandarkan dengan iman. Jika dilihat dari aspek etimologi (pembinaan kata), aqal bermakna sesuatu yang diikat. Seseorang yang berakal adalah orang yang mampu mengikat aqalnya untuk membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. Atas dasar ini, Islam melihat sesuatu yang buruk dan baik itu perlu diikat berasaskan wahyu (Al-Quran dan Al-Hadith).
Secara realitinya, aqal manusia memang terhad. Manusia tidak mengetahui sesuatu yang diluar kemampuan dan kebiasaannya melainkan dengan berita yang disampaikan kepadanya. Dalam erti kata lain, aqal manusia adalah terhad kemampuannya berfikir. Seseorang yang hanya mengikat sesuatu dengan aqalnya sahaja akan terjerumus ke dalam kemusnahan.
Sebagai contoh, seorang yang tidak pernah terdedah dengan soal teknologi akan berfikir bahawa lebih baik menggunakan air daripada petrol untuk menggerakkan engine. Ini kerana air lebih murah daripada petrol. Bagi orang yang ada sedikit pengetahuan akan berfikir bahawa diesel lebih baik digunakan kerana harganya juga bahan api dan lebih murah. Tetapi jika manusia menggunakan aqal melalui penjelasan pencipta engine baru manusia akan terselamat dari kemusnahan.
Kesemua alasan diatas menunjukkan bahawa aqal sangat perlu di dalam Islam tetapi ianya mestilah berasaskan keimanan. Kajian dan rasional yang dicari mestilah berasaskan kepada aqidah. Inilah yang akan menyelamatkan manusia daripada kemusnahan hasil daripada pemikiran manusia yang sempit dan terhad.
Iman dan Kebenaran
Satu lagi asas yang penting adalah iman kepada ajaran Islam adalah sesuatu yang benar. Konsep kebenaran ini agak sedikit berbeza. Manusia yang tidak beriman akan menilai sesuatu kebenaran itu berasaskan pemikiran mereka. Jika ianya dirasakan tidak benar berasaskan aqal mereka, perkara tersebut akan ditinggalkan. Islam melihat kebenaran itu mesti melalui iman. Ini kerana kebenaran akan terhasil apabila ianya dilaksanakan. Maka untuk merealisasikan sesuatu perkara yang secara aqal tidak dapat melihatkan kebenaran maka perlunya iman untuk memastikan kebenaran itu dapat dilihat melalui perlaksanaannya.
Jika dilihat secara rambang, banyak ajaran-ajaran Islam yang dirasakan tidak sesuai dan tidak ada kebenaran padanya. Hasilnya kita lihat umat Islam sendiri tidak menghayati ajaran tersebut. Inilah sebenarnya punca Islam itu tidak dapat dirasai kemanisan dan kehebatannya. Islam memang agama yang cemerlang tetapi dengan hanya ungkapan dan pemikiran Islam tidak akan cemerlang.
Sebagai contoh, seorang pesakit yang pening kepala datang berjumpa doktor. Doktor memberikan ubat dengan aturannya untuk dimakan. Untuk menghilangkan pening kepala, pesakit tidak boleh menilai kebaikan ubat tersebut dengan hanya melihat secara fizikal dan mengulang-ulangkan sebutan aturannya sahaja. Pesakit tidak mampu berfikir tentang bagaimana ubat tersebut menghilangkan pening. Pesakit hanya akan mendapati kebenaran tersebut melalui pengambilannya secara berterusan. Atas dasar itulah, ajaran Islam perlu dilaksanakan untuk mendapatkan kebenarannya dan bukan melalui pemikiran dan perbincangan sahaja.
Kesimpulan
Umat Islam mesti meletakkan keimanan sebagai asas kehidupan.
Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan metodologi barat didalam menilai Islam dengan meletakkan aqal sebagai piawaian di dalam menjustifikasi ajaran Islam.
Rasional dan kebenaran ajaran Islam tidak semua dapat dibuktikan dengan aqal kerana aqal manusia sangat terhad.
Rasional dan kebenaran ajaran Islam kadang-kadang dapat dibuktikan dengan iman dan praktik.
1 Kertas ini adalah ringkasan untuk perbincangan sahaja. Analogi yang dibawa hanya untuk memberikan kefahaman asas. Segala nas-nas dan isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan di dalam perbincangan.
05 August 2005
Melawat Tokoh Penulisan Yang Prolifik dan Klasik
Hari Selasa 3 hb. yang lalu, rombongan Kumpulan PTS selepas ke pelancaran buku di PSPN Selangor terus ke rumah tokoh penulisan yang cukup prolifik iaitu Ustaz Ann Wan Seng. Orang yang mengikuti penulisannya sejak dulu lagi tentu bersetuju kalau aku katakan bahawa dia ini antara tokoh penulisan prolifik di Malaysia.
Dahulu orang amat mengenalinya melalui tulisan-tulisannya di Harakah, kemudian dia beralih kepada beberapa makalah lain seperti Eksklusif (Dah tutup, bekas akhbar Karangkraf), Majalah I dan banyak lagi. Hasil tulisannya memang banyak sebanyak buku-buku yang berada di rak buku rumahnya. Apabila kami masuk ke dalam bilik studi dan kerjanya, wah memang kagum dengan betapa banyaknya bahan bacaannya. Memang patutlah dia ini kuat menulis dan banyak menulis dalam pelbagai bidang. Sebut aja bidang apa, anak-anak, politik, remaja, ekonomi, isu semasa. Semua ada. Itulah hebatnya Ann Wan Seng ini.

Memang suatu tokoh penulisan yang perlu dikagumi dan menjadi idola penulis-penulis lain. Satu lagi jangan tak tahu, hobinya mengumpul barang-barang antik. Memang sesiapa yang ke rumahnya pasti kagum. Antara yang dikumpulkan adalah kamera, buku-buku lama, lampu, kipas, papan tanda dan banyak lagi. Aku anggarkan berjuta ringgitlah harganya. Memang best dan hebat. Mari kita hayati gambar-gambar yang diambil di rumah Ustaz Ann Wan Seng ini.




04 August 2005
Tahniah PTS Pro! Pelancaran Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah
Alhamdulillah! Semalam 3 hb. Ogos 2005 bertempat di Pusat Sumber Pelajaran Negeri Selangor diadakan pelancaran buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd. (PTS Pro) salah sebuah anak syarikat Kumpulan PTS. Ia disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dato Hj. Yusoff Haron.
Majlis ini diadakan bersempena dengan pelancaran sistem ILMU (Integrated Library Management Utilities) yang dibangunkan oleh PSPN dengan kerjasama daripada UiTM dan sebuah syarikat swasta. Sistem ini adalah suatu sistem yang memudahkan pengintegrasian maklumat di antara satu PSPN dengan PSPN yang lain. Ia juga memudahkan pelanggan ataupun pengguna mendapatkan maklumat mengenai buku-buku yang berada di setiap PSPN.
Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah adalah tulisan para kakitangan PSPN Selangor yang diketuai oleh editornya En. Azman Larut. Tahniah kepada PTS Pro, teruskan usaha dan kecemerlangan ini.
01 August 2005
Selamat Hari Lahir Sayangku! Nurulhilyati Abdul Halim
Alhamdulillah hari ini bertambahlah lagi setahun umurmu sayangku. Ku doakan moga pertambahan umur ini meningkatkan kematangan kita bersama. Sudah 26 tahun umur isteriku. Terus terang ku katakan bahawa dikaulah anugerah terbaik yang Tuhan berikan kepadaku. Tidak pernah ku terima anugerah sebaikmu.
Kehadiranmu memberikan kekuatan kepada diriku. Waktu susah engkaulah semangatku, waktu senang engkaulah komediku. Dikaulah juga yang memberikan satu lagi anugerah terbaik iaitu anak kita Muhammad Iqbal Nu'aim. Ku doakan Tuhan memberikan keredhaan dan rahmat kepadamu sentiasa.
29 July 2005
Perang Kampus Sudah Bermula!
27 July 2005
Kenapa Kita Membenci?
21 July 2005
Terkenang Masa Dulu
18 July 2005
Kesan Bahasa Melayu Di Dalam Sistem Perundangan
12 July 2005
Ke Mana Arah Masa Depan Bahasa Melayu?
al Abidin Wahid dianggotai oleh sejumlah besar ilmuwan Melayu antaranya Prof. Shahrin Abdul Majid, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Awang Sariyan, Dato' Seri Harussani, Puan Ainon Mohd. Tan Sri Ainuddin dan ramai lagi. Maksudnya haritu aku dikelilingi oleh tokoh-tokoh besar Melayu. Terasa kerdil betul pada masa tu (walaupun badan besar). Dan yang lebih menarik ia turut dihadiri oleh tokoh korporat Malaysia Tan Sri Khalid Ibrahim. Menarik memang menarik.
Sesi separuh hari ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama ulasan kertas-kertas kerja tokoh ilmuwan bahasa oleh Prof. Dr. Abdullah Hassan dan sesi perbincangan gerak kerja bertindak.
Sesi pertama membuka minda aku betapa pentingnya penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan kita sebagai masyarakat Melayu. Kepentingan daripada semua segi ekonomi, pemikiran, budaya dan sebagainya. Ramai yang mengatakan bahawa kita perlu menyokong dasar yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir itu bagi membolehkan kita global. Apakah ertinya global di situ? Mahu bersaing di antarabangsa? ataupun mahu menjadi player dunia dalam semua bidang? Kemudian ada pula yang mengatakan bahawa tujuan utama memperkenalkan dasar tersebut adalah bagi memudahkan kita bercakap dalam bahasa Inggeris.
Itu yang Prof. Shahrin kata sebagai sewel tu. Kalau betullah alasan tersebut, maksudnya kalau nak belajar bahasa Tamil dan bahasa Mandarin perlu ajar anak-anak kita sains dan matematik dalam bahasa tersebutlah.
Cuba kita lihat negara-negara maju dunia, apakah bahasa yang digunakan oleh mereka? Adakah mereka menggunakan bahasa lain ataupun bahasa ibunda mereka? Tentu orang akan tersentak, ya mereka menggunakan bahasa ibunda mereka mereka. Bahasa ibunda itu memainkan peranan penting kepada kemajuan dan pembangunan negara mereka. Mereka tidak berbangga-bangga dengan bahasa orang lain. Jepun, Korea, Jerman, Russia dan sebagainya.
OOOh! Diorang ni negara besar, bolehlah! Tunggu dulu. Ada negara yang lebih kecil sepuluh kali ganda daripada kita dengan rakyat hanya 2 juta boleh maju dengan bahasa
ibunda mereka. Negara mana? Negara inilah yang memperkenalkan kepada kita telefon-telefon bimbit canggih NOKIA. Negara tersebut adalah negara Finland. Mereka menggunakan bahasa Fin.
Negara-negara seperti India, Afrika Selatan dan Hawaii yang sekian lama menggunakan bahasa Inggeris sejak beratus tahun tak maju-maju juga. Itu yang saya setuju dengan pandangan Prof. Shahrin tu, tindakan yang sewel. Kalau bukti depan mata yang tidak boleh disangkal lagi tapi kita tetap pertahankan ego kita mahu menjaga politik masing-masing hinggakan anak bangsa sendiri punah, baik jangan jadi pemimpinlah. Pemimpin yang tidak boleh berfikir dengan bukti logik ini adalah pemimpin yang tak layak jadi pemimpin.
Dah berapa ramai pelajar-pelajar kita yang satu masa dahulu cemerlang dalam mata pelajaran sains dan matematik apabila menggunakan bahasa Melayu dan menjadi lingkup disebabkan oleh dasar yang karut ini. Itu tak termasuk para pelajar yang rasa putus asa sebab mereka tak boleh belajar dengan baik dalam bahasa Inggeris ini. Hingga laporan yang PTS dapat daripada kedai, buku-buku rujukan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tak laku. Berlonggok-longgok di kedai tak habis sedangkan kalau dahulu musim pembelian buku rujukan pekedailah orang yang paling gembira. Semuanya laris bak goreng pisang. Ha! Siapa yang bersalah sekarang?
Adakah budak-budak ini yang bersalah ataupun dasar itu yang bersalah? Cuba kita fikirkan, berapa ramaikah ibu bapa dalam Malaysia ini tinggal di bandar-bandar dan boleh berbahasa Inggeris? Mengikut statistik hanya 14 % sahaja yang tinggal di bandar selebihnya tinggal di luar bandar. Penduduk-penduduk di luar bandar ini kebanyakannya bekerja menoreh getah, ladang kelapa sawit dan paling-paling tinggi bekerja kerajaan ataupun guru. Jadi adakah kita nak harapkan anak-anak yang mak ayah mereka tak pandai berbahasa Inggeris ini nak cemerlang dalam sains dan matematik. Dahlah kat rumah mak ayah bercakap banjar, jawa, kelantan, terengganu, sleng Bota Kiri dan sebagainya. Bagaimana nak faham bahasa Inggeris. Ish! Pelik memang pelik. Nak kata pemimpin-pemimpin kita ni jahil, kebanyakannya belajar tinggi hingga ke luar negeri. Bukti depan matapun tak dapat dilihat.
Di Singapura, kebanyakan pelajarnya yang diajar bahasa Inggeris daripada kecil kemudian belajar ke luar negeri, sudah tak mahu pulang ke Singapura. Mereka ingin menetap di luar negara. Sebahagian besar daripada mereka mengatakan menyesal dilahirkan sebagai Cina dan rakyat Singapura. Ini diberitahu sendiri oleh bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong. Ini antara kesannya apabila mengatakan mengenai impak penggunaan bahasa.
Sebenarnya banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa tak perlu menukar bahasa dalam pengajaran sains dan matematik. Cuma terserahlah kepada para pemimpin yang diundi oleh majoriti rakyat Malaysia membuat keputusan. Dan satu ingatan, undi-undi inilah yang menyebabkan mereka ini berkuasa dan secara automatiknya membahayakan anak bangsa kita. Fikir-fikirlah, kita hanya mampu menyatakan apa dalam fikiran namun begitu keputusannya berbalik kepada pemimpin ini.
Semoga perjuangan tokoh-tokoh bangsa ini berterusan dan mencapai kejayaan. Komitmen aku jelas, aku akan terus bersama memperjuangkan bahasa Melayu sebagai ilmu untuk kecemerlangan bangsa, agama dan negara.
10 July 2005
Kampung Buku Tinggal Kenangan
Alhamdulillah! Aku dapat ke Langkawi daripada 29 Jun 2005 hingga 2 Julai 2005. Antara tempat pertama yang ingin aku kunjungi adalah Kampung Buku di sana. Kampung Buku sudah lama aku dengari daripada rakan taulan, akhbar dan pelbagai sumber lain.
Sebagai seorang penerbit buku sudah tentu ia melambai hati bagi mengetahui lanjut bagaimanakah sebenarnya konsep Kampung Buku ini. Alangkah baiknya jika ia dapat dibuat di Kuala Lumpur, di mana aku dapat menelaah lembaran demi lembaran buku-buku kegemaranku.
Jalan ke Kampung Buku ku harapkan lancar selancar aku mencari Berjaya Langkawi Resort tempat penginapan kami sekeluarga di sana. Namun aku melihat tiada tanda-tanda ataupun papan tanda jalan menunjukkan jalan ke sana. Terdetik di hatiku mengapa tempat ilmu yang sebegini baik kurangnya promosi di Langkawi. Sedangkan Galeria Perdana daripada Kuah sudah dapat menghidu bau jalannya.
Kami sekeluarga gagahkan juga pencarian bagi memastikan hajat sekian lama tercapai. Bertanya kepada orang sebelah menyebelah jalan, banyak fatwa diberikan tetapi tak kesampaian juga. Akhirnya kami sampai juga ke Pintu Gerbang Kampung Buku. Kawasan ini sunyi sesunyinya. Tanpa kelibat pelawat yang ku harapkan. Suasana rimba mempersona sahaja melambai pesonaku untuk meneruskan perjalananku. Di tempat parkir aku tersentak apabila melihat suasana sekeliling Kampung Buku ini. TIADA PENJAGAAN?
Daripada gambar-gambar yang ku titipi di sini, hayatilah tempat ilmu yang sepatutnya diimarahkan hanya tinggal rumah-rumah kosong ditemani alam. Pakejnya sudah menarik tetapi pelaksanaannya tah ke mana.
Suasana alam rimba memang idola pembaca buku, cuma aku pelik mengapakah ia tidak dijaga dengan baik? Ke manakah perginya para cerdik pandai buku, ke mana perginya intelek Melayu, ke mana perginya tukang-tukang debat media sehinggakan tempat sebegini tidak diambil hirau semua. Sedih memang sedih. Marilah kita hayati gambar-gambar yang ku ambil buat tontonan semua. Ku harapkan ada pihak-pihak berkuasa tempat mengembalikan kegemilangan Kampung buku ini. Janganlah dibiarkan tempat lawatan menarik ini hanya menjadi Gajah Putih.
Ramai yang mengatakan tempatnya tidak sesuai. Sesuaikah faktornya ditinggalkan? Aku rasa tidak. Sesuai ataupun tidak itu isunya lain. Galeria Perdana tempat khazanah Tun Dr. Mahathir pun ada di sini. Bukan kira tidak sesuai, mahu ataupun tidak. Geleria Perdana terjaga kawasannya, hebat hiasannya, teliti perancangannya. Mengapa tempat ilmu sebegini dibiarkan. Nanti aku kongsikan suasana Galeria Perdana pula. Tungguuuuuu.


09 July 2005
Alhamdulillah! Aku Berjaya Untuk Bercuti Dengan Keluarga
Alhamdulillah! Sesudah sekian lama merancang, ditunda, ditangguh. Akhirnya kami sekeluarga berjaya juga pergi bercuti ke Langkawi minggu lepas. Percutian bagi aku antara yang paling menyeronokkan. Kami ke sana daripada 29 hb. Jun hinggalah ke 2 Julai 2005. Nantilah aku masukkan gambar-gambar menarik kami sepanjang percutian kami di sana. InsyaAllah.
Di sebelah ni adalah gambar aku, anakku dan isteri ketika berada di atas feri dalam perjalanan balik daripada Langkawi ke Kuala Perlis.

















