22 August 2005

Alhamdulillah Aku Berjaya Adakan Kuliah Kali Pertama

Lama betul aku tak berposting di sini. Aku amat bersyukur bila hari Sabtu yang lalu buat kalu pertama aku berjaya mengadakan Kuliah Ilmu kali pertama di rumahku. Alhamdulillah ramai juga yang hadir, daripada kalangan keluargaku, staff-staffku dan jiran terdekat. Penceramahnya Ustaz Anwar Ridzwan Zakaria. Di sini aku kongsikan kertas kerja dia malam tu. Memang power!

ASAS INDIVIDU MUSLIM : PERBINCANGAN ANTARA IMAN DAN AQAL1

Oleh

Anwar Ridwan Zakaria

Akademi Pengajian Islam, UM

Pendahuluan

Mutakhir ini kita dapati persoalan aqal (rasional) dilihat mendominasi iman didalam memahami ajaran Islam. Kertas ringkas ini bertujuan memberikan pengenalan awal tentang asas pemikiran seorang individu muslim. Ia sangat memberi kesan di dalam kehidupan harian seorang individu muslim. Asas ini jugalah yang melahirkan pandangan yang berbeza di antara individu muslim dengan non-muslim. Ini dapat dilihat terutamanya apabila membabitkan soal-soal yang secara mata kasarnya sukar untuk difahami.

Iman Asas Utama Individu Muslim

Perkataan iman secara ringkas membawa maksud percaya dan yakin. Terdapat beberapa istilah lain yang digunakan oleh orang melayu untuk memberi maksud yang sama iaitu aqidah dan tauhid. Secara umumnya iman memberi erti keyakinan yang penuh terhadap apa yang datang daripada Allah melalui RasulNya atau dalam erti kata lain apa-apa yang datang dari al-Quran dan hadith yang sahih.

Iman juga bermaksud menerima secara bulat-bulat apa yang disampaikan. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat diperingkat awal. Abu Bakar umpanya digelarkan sebagai Al-Siqqiq hasil dari iman yang secara total terhadap isra’(perjalanan dari Baitillah ke Bait al-Muqaddas) dan mikraj (perjalan ke langit) Rasulullah.

Ini berbeza dengan amalan manusia biasa terutamanya non-muslim yang melihat aspek aqal sebagai asas utama di dalam menerima sesuatu termasuklah ajaran Allah swt. Atas asas ini lah kita lihat berlaku kritikan-kritikan yang banyak terhadap ajaran Islam hasil daripada asas aqal dijadikan piawaian utama. Aspek wanita umpamanya menjadi asas kritikan terhadap Islam apabila dilihat berlaku diskriminasi.

Bagi individu muslim, sepatutnya apa yang disampaikan patut diterima dengan penuh keyakinan (iman). Keyakinan ini sebenarnya jika dikaji tidaklah bercanggah dengan aqal manusia. Bahkan ia merupakan fitrah setiap manusia yang diciptakan. Asas kepada keyakinan ini boleh dilihat melalui beberapa analogi :

  1. Allah sebagai pencipta

Fitrah manusia menunjukkan bahawa alam ini mempunyai pencipta. Boleh dikatakan keseluruhan manusia meyakini bahawa alam ini diciptakan oleh Allah (God). Aqal yang sihat akan menyakini segala apa yang disampaikan oleh tuan pencipta tentang apa yang diciptakan.

  1. Rasul sebagai utusan

Keyakinan kepada para rasul memang menjadi aspek sering dipertikaikan yang akhirnya menolak keseluruhan ajaran itu sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa apa yang disampaikan oleh para rasul itu benar. Kebenaran telah dibuktikan dengan ujian yang telah berjaya membuktikan kebenaran para rasul sebagai utusan Allah. Aqal yang sihat akan menyakini sesuatu yang telah dibuktikan secara berulang kali.

Analogi di atas menunjukkan bahawa asas utama kepada individu muslim adalah menyakini setiap apa yang datang daripada Allah dan RasulNya.

Iman dan Aqal

Persoalan yang sering menjadi topik hangat akhir zaman adalah persoalan rasional (aqal). Timbul persoalan, adakah Islam itu agama yang tidak rasional atau agama yang tidak boleh menggunakan aqal?. Persoalan ini sangat penting untuk dijawab supaya umat Islam menimbang soal iman dan aqal dengan baik.

Islam seperti yang diketahui umum sangat menitikberatkan soal berfikir dan rasional. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui Al-Quran dan hadith Rasulullah. Ini juga dapat dilihat ketika para ulamak Islam mengupas isu-isu fiqh melalui perbincangan hikmah dan illah. Kesemuanya ini menggambarkan Islam sangat mementingkan soal rasional dan aqal.

Islam melihat aqal mestilah berpandukan kepada iman. Aqal tidak boleh berdiri sendiri tanpa disandarkan dengan iman. Jika dilihat dari aspek etimologi (pembinaan kata), aqal bermakna sesuatu yang diikat. Seseorang yang berakal adalah orang yang mampu mengikat aqalnya untuk membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. Atas dasar ini, Islam melihat sesuatu yang buruk dan baik itu perlu diikat berasaskan wahyu (Al-Quran dan Al-Hadith).

Secara realitinya, aqal manusia memang terhad. Manusia tidak mengetahui sesuatu yang diluar kemampuan dan kebiasaannya melainkan dengan berita yang disampaikan kepadanya. Dalam erti kata lain, aqal manusia adalah terhad kemampuannya berfikir. Seseorang yang hanya mengikat sesuatu dengan aqalnya sahaja akan terjerumus ke dalam kemusnahan.

Sebagai contoh, seorang yang tidak pernah terdedah dengan soal teknologi akan berfikir bahawa lebih baik menggunakan air daripada petrol untuk menggerakkan engine. Ini kerana air lebih murah daripada petrol. Bagi orang yang ada sedikit pengetahuan akan berfikir bahawa diesel lebih baik digunakan kerana harganya juga bahan api dan lebih murah. Tetapi jika manusia menggunakan aqal melalui penjelasan pencipta engine baru manusia akan terselamat dari kemusnahan.

Kesemua alasan diatas menunjukkan bahawa aqal sangat perlu di dalam Islam tetapi ianya mestilah berasaskan keimanan. Kajian dan rasional yang dicari mestilah berasaskan kepada aqidah. Inilah yang akan menyelamatkan manusia daripada kemusnahan hasil daripada pemikiran manusia yang sempit dan terhad.

Iman dan Kebenaran

Satu lagi asas yang penting adalah iman kepada ajaran Islam adalah sesuatu yang benar. Konsep kebenaran ini agak sedikit berbeza. Manusia yang tidak beriman akan menilai sesuatu kebenaran itu berasaskan pemikiran mereka. Jika ianya dirasakan tidak benar berasaskan aqal mereka, perkara tersebut akan ditinggalkan. Islam melihat kebenaran itu mesti melalui iman. Ini kerana kebenaran akan terhasil apabila ianya dilaksanakan. Maka untuk merealisasikan sesuatu perkara yang secara aqal tidak dapat melihatkan kebenaran maka perlunya iman untuk memastikan kebenaran itu dapat dilihat melalui perlaksanaannya.

Jika dilihat secara rambang, banyak ajaran-ajaran Islam yang dirasakan tidak sesuai dan tidak ada kebenaran padanya. Hasilnya kita lihat umat Islam sendiri tidak menghayati ajaran tersebut. Inilah sebenarnya punca Islam itu tidak dapat dirasai kemanisan dan kehebatannya. Islam memang agama yang cemerlang tetapi dengan hanya ungkapan dan pemikiran Islam tidak akan cemerlang.

Sebagai contoh, seorang pesakit yang pening kepala datang berjumpa doktor. Doktor memberikan ubat dengan aturannya untuk dimakan. Untuk menghilangkan pening kepala, pesakit tidak boleh menilai kebaikan ubat tersebut dengan hanya melihat secara fizikal dan mengulang-ulangkan sebutan aturannya sahaja. Pesakit tidak mampu berfikir tentang bagaimana ubat tersebut menghilangkan pening. Pesakit hanya akan mendapati kebenaran tersebut melalui pengambilannya secara berterusan. Atas dasar itulah, ajaran Islam perlu dilaksanakan untuk mendapatkan kebenarannya dan bukan melalui pemikiran dan perbincangan sahaja.

Kesimpulan

  1. Umat Islam mesti meletakkan keimanan sebagai asas kehidupan.

  2. Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan metodologi barat didalam menilai Islam dengan meletakkan aqal sebagai piawaian di dalam menjustifikasi ajaran Islam.

  3. Rasional dan kebenaran ajaran Islam tidak semua dapat dibuktikan dengan aqal kerana aqal manusia sangat terhad.

  4. Rasional dan kebenaran ajaran Islam kadang-kadang dapat dibuktikan dengan iman dan praktik.

1 Kertas ini adalah ringkasan untuk perbincangan sahaja. Analogi yang dibawa hanya untuk memberikan kefahaman asas. Segala nas-nas dan isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan di dalam perbincangan.

05 August 2005

Melawat Tokoh Penulisan Yang Prolifik dan Klasik

Hari Selasa 3 hb. yang lalu, rombongan Kumpulan PTS selepas ke pelancaran buku di PSPN Selangor terus ke rumah tokoh penulisan yang cukup prolifik iaitu Ustaz Ann Wan Seng. Orang yang mengikuti penulisannya sejak dulu lagi tentu bersetuju kalau aku katakan bahawa dia ini antara tokoh penulisan prolifik di Malaysia. Dahulu orang amat mengenalinya melalui tulisan-tulisannya di Harakah, kemudian dia beralih kepada beberapa makalah lain seperti Eksklusif (Dah tutup, bekas akhbar Karangkraf), Majalah I dan banyak lagi. Hasil tulisannya memang banyak sebanyak buku-buku yang berada di rak buku rumahnya. Apabila kami masuk ke dalam bilik studi dan kerjanya, wah memang kagum dengan betapa banyaknya bahan bacaannya. Memang patutlah dia ini kuat menulis dan banyak menulis dalam pelbagai bidang. Sebut aja bidang apa, anak-anak, politik, remaja, ekonomi, isu semasa. Semua ada. Itulah hebatnya Ann Wan Seng ini. Memang suatu tokoh penulisan yang perlu dikagumi dan menjadi idola penulis-penulis lain. Satu lagi jangan tak tahu, hobinya mengumpul barang-barang antik. Memang sesiapa yang ke rumahnya pasti kagum. Antara yang dikumpulkan adalah kamera, buku-buku lama, lampu, kipas, papan tanda dan banyak lagi. Aku anggarkan berjuta ringgitlah harganya. Memang best dan hebat. Mari kita hayati gambar-gambar yang diambil di rumah Ustaz Ann Wan Seng ini.

04 August 2005

Tahniah PTS Pro! Pelancaran Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah

Alhamdulillah! Semalam 3 hb. Ogos 2005 bertempat di Pusat Sumber Pelajaran Negeri Selangor diadakan pelancaran buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd. (PTS Pro) salah sebuah anak syarikat Kumpulan PTS. Ia disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dato Hj. Yusoff Haron. Majlis ini diadakan bersempena dengan pelancaran sistem ILMU (Integrated Library Management Utilities) yang dibangunkan oleh PSPN dengan kerjasama daripada UiTM dan sebuah syarikat swasta. Sistem ini adalah suatu sistem yang memudahkan pengintegrasian maklumat di antara satu PSPN dengan PSPN yang lain. Ia juga memudahkan pelanggan ataupun pengguna mendapatkan maklumat mengenai buku-buku yang berada di setiap PSPN. Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah adalah tulisan para kakitangan PSPN Selangor yang diketuai oleh editornya En. Azman Larut. Tahniah kepada PTS Pro, teruskan usaha dan kecemerlangan ini.

01 August 2005

Selamat Hari Lahir Sayangku! Nurulhilyati Abdul Halim

Alhamdulillah hari ini bertambahlah lagi setahun umurmu sayangku. Ku doakan moga pertambahan umur ini meningkatkan kematangan kita bersama. Sudah 26 tahun umur isteriku. Terus terang ku katakan bahawa dikaulah anugerah terbaik yang Tuhan berikan kepadaku. Tidak pernah ku terima anugerah sebaikmu. Kehadiranmu memberikan kekuatan kepada diriku. Waktu susah engkaulah semangatku, waktu senang engkaulah komediku. Dikaulah juga yang memberikan satu lagi anugerah terbaik iaitu anak kita Muhammad Iqbal Nu'aim. Ku doakan Tuhan memberikan keredhaan dan rahmat kepadamu sentiasa.
Selamat Hari Lahir Isteriku Yang ke 26. Moga Allah menambahkan rezeki dan keharmonian rumah tangga kita berdua, Amiin!!!