31 May 2005

Laman Permata Hati Taman Mawaddah Wa Rahmah Dibuka Hari Ini

Assalamualaikum, Alhamdulillah hari ini kami berdua melancarkan satu laman khas buat anak dan bakal anak kami. Laman itu dicoretkan segala memori kami bersama anak-anak kami. Segala kenangan, perubahan emosi, keadaan kami sebagai ibu dan bapa serta banyak lagi. Inilah dedikasi kami kepada PERMATA HATI KAMI. Marilah ke Laman Penyeri Taman Mawaddah Wa Rahmah.

30 May 2005

Senarai 50 Teratas Daripada Segi Jualan Kumpulan PTS Sepanjang Januari hingga Mei 2005

Ini adalah senarai 50 teratas daripada sudut jualan buku di Kumpulan PTS. Ia disusun daripada yang paling atas kepada yang paling bawah. Yang berwarna biru adalah buku-buku yang diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd :
Ranking Tajuk Buku
1 55 Petua Orang Berjaya
2 Psikologi Cinta
3 7 Formula Individu Cemerlang
4 Kuasa Berfikir Kreatif
5 Kenapa Saya Tidak Berfikir Beg
6 Resipi Kejayaan Utk Pengawas
7 Anda Berfikir? Bagaimana?
8 Tip Menjadi Individu Menarik
9 Resipi Kejayaan Utk Ketua Kela
10 CC Sejarah Melayu 1 (EKK)
11 Berfikir Seperti Inventor
12 Kisah Saya Saudara Baru
13 7 Formula Hidup Sukses
14 Pandai Berfikir
15 Resipi Kejayaan Utk S/U Persat
16 Kolam Rahsia (EKK)
17 Resipi Kejayaan Utk Pustakawan
18 Askar Berjalan Kaki
19 Tafsir Quran Siri 1
20 CC Sejarah Melayu 3 (EKK)
21 CC Sejarah Melayu 2 (EKK)
22 Kamus Peribahasa Sek Menengah
23 Merancang Kejayaan
24 55 Petua Seronok Bekerja
25 Resipi Kejayaan Utk Pelajar
26 Resipi Kejayaan Utk Presiden
27 Sumpahan Merbuk B'tuah (EKK)
28 Pertemuan di Kaki Senja (EKK)
29 Menjalin Hubungan Bahagia
30 Resipi Kejayaan Utk Remaja
31 Tafsir Quran Siri 5
32 Awang Slmt Mnbr Bakti (EKK)
33 Tafsir Quran Siri 6
34 Tafsir Quran Siri 7
35 Kamus Peribahasa Sek Rendah
36 55 Petua Kerja Berpasukan
37 Cara Mudah Mencari Pekerjaan
38 Kejayaan Dari Dalam
39 Mengurus Disiplin Pelajar
40 Anda Berkarisma Apabila.....?
41 Tafsir Quran Siri 2
42 Berfikir Secara Logik & Kritis
43 Sesuci Kasih Ibu
44 Komunikasi Kaunseling
45 Anda Berkuasa Apabila.....?
46 Rusdin Budak Pintar
47 5 Penyiasat Muda
48 Guru Sebagai Fasilitator
49 Koleksi Pantun Utk Majlis
50 Sesat Dalam Cahaya

Anak Adalah Juga Nikmat & Ujian

Pada masa aku mula-mula berkahwin dengan isteriku, soalan pertama yang ditanya. "Bila dapat anak?" Soalan cepu emas ni memang menjadi soalan lazim bagi pasangan berkahwin. Anak ini adalah rezeki Allah, apabila Allah ingin memberi dengan berkata "Kun Faya Kun!" maka jadilah ia. Kita hanya perlu berusaha dan berdoa. Ibuku selalu berpesan kepada pasangan baru berkahwin agar jangan sekali-kali merancang sebelum dapat anak pertama. Takut tak dapat langsung. Itupun salah satu daripada usaha. Alhamdulillah aku berjaya mendapat seorang cahaya mata yang diberi nama Muhammad Iqbal Nu'aim. Kemudian, apabila aku mendapat berita gembira kelmarin, berita akan hadirnya seorang lagi ahli keluarga. Menjadi bakal bapa kepada anak yang kedua. aku terus melihat kembali kepada diriku. Adakah aku sudah menjalan tugas-tugasku sebagai seorang hamba yang Allah yang baik? Adakah aku sudah melakukan apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang? Nikmat yang diberikan kepada diriku amatlah banyak dan adakah aku tergolong dalam kelompok bersyukur? Nikmat anak ini adalah satu kebanggaan dan impian semua suami dan isteri. Astaghfirullah! Ya Allah! Ampunilah dosaku, dosa isteriku, dosa kaum keluargaku, saudara maraku, sahabat taulanku, jiran-jiranku dan muslimin muslimat keseluruhannya. Kami ini kadangkala terlalai, berilah hidayah dan inayah Mu Ya Allah! Apabila persoalan anak dibangkitkan. Aku berasa amat insaf, anak adalah talian yang mengikat antara dua hati pasangan suami isteri. Anak adalah syurga apabila disuburkan dengan benih iman, anak adalah neraka apabila disuntik api amarah. Bagi pasangan berkahwin, anak adalah titian penting yang menjadi pautan abadi kasih sayang berdua. Ramai di kalangan sahabat-sahabatku yang sudah lama berkahwin, hingga ke hari ini masih belum mempunyai anak. Aku bersyukur di atas kurniaan Nya Yang Maha Kuasa aku tidak menghadapi keadaan tersebut. Harap-harap berterusanlah hingga ke akhir hayat. Ada kawanku yang sudah berkahwin tiga tahun masih belum mendapat anak. Ada yang berkahwin sebulan dua, mendapat positif mengandung, keguguran. Ada yang sudah mengandung tujuh bulan tetapi anak tidak panjang hayatnya. Juga mengalami nasib yang sama. Mereka inilah orang yang diuji Allah dengan cara tersebut. Aku yakin mereka diuji kerana Allah sayang kepada mereka. Mungkin jika aku berada di tempat mereka aku tak dapat menahan ujian yang mencabar itu. Semoga mereka ini sentiasa diberikan ketabahan oleh Allah. Amin! Tidak pelik dan hairan apabila soal anak ini dibangkitkan dalam hubungan suami isteri. Soal anak ini jugalah menyebabkan wanita yang tidak mendapatnya menjadi stress dan terlebih cemburu. Soal anak jugalah kadangkala berlaku konflik dan pergolakan rumah tangga. Kadangkala soal anak jugalah yang menjadi alasan seorang lelaki mahu mencari isteri satu lagi. Soal anak jugalah yang menjadi perbualan di kedai kopi, pejabat, sekolah, padang permainan dan sebagainya. Semua disebabkan anak. Aku dan isteri, Alhamdulillah! Sudah diberikan seorang cahaya mata dan yang kedua dalam perjalanan, InsyaAllah tiada aral melintang Januari ataupun Februari tahun hadapan hadirlah dia. Inipun satu ujian. Bagaimana untuk mencorakkan kain yang putih agar menjadi warna yang harmoni dengan corak takwa. Cabaran di zaman Islam dihina, hukumnya dilempar, maksiat berleluasa. Satu cabaran kepada ibu bapa Islam moden. Ujian ini perlu diatur dengan penuh strategi, memilih resipi terbaik, perencah terbaik, kuali terbaik, tukang masak terbaik dan dapur terbaik. Agar hasilnya nanti adalah suatu masakan yang berencahkan iman, beraroma takwa, berserikan hidayah, berlapikkan redha Allah yang Maha Kuasa. Ya Allah! Jadikanlah kami ibu dan bapa yang dipandu dengan stereng Islam, agar kereta yang dibawa tidak terbabas ke lembah hina. Ya Allah! Jadikanlah kami ibu bapa yang sabar dan tabah dengan ujian dunia agar dapat membesarkan anak dengan rencah ditetapkanMu. Ya Allah! Berkatilah keluarga kami, redhailah komuniti kami agar mereka menjadi pemangkin suasana harmoni dan kondusif buat tumbesaran anak kami. Ya Allah! Berikanlah rezeki mendapat anak kepada rakan-rakan kami yang masih mengharap kurniaanmu itu. Berikanlah mereka kekuatan, kebahagiaan dan ketabahan dalam kehidupan sebagai suami isteri sepanjang hayat. Ya Allah! Banyak lagi yang ingin kami pinta, rasanya engkau lebih memahami hati kami daripada kami sendiri. Perkenankanlah doa kami ini! Amin!

29 Mei 2005 : Majlis Perkahwinan Ida Ezyani & Azrul

Majlis Perkahwinan Ida Ezyani Othman dan Azrul. Ida adalah staff freelance PTS dan Azrul Pensyarah di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Semoga Dicucuri Rahmat ke Anak Cucu

Akhirnya! Tuan Puteri dan Putera bertaut tangannya, hati berpaut, menuju pelamin angan, harapan abadi selamanya

Dari Perlis ke Bentong, With Love

Rombongan kedua-dua mempelai menuju ke meja santapan. Pengantin lelaki dari Perlis mencari Puteri di Bentong, Pahang. Itulah orang kata "Ikan di laut, asam di darat, akhirnya dalam kuali bertemu jua"

Puteri Mencari Puteranya

Tuan Puteri keluar daripada istana menyambut putera idamannya dengan diiringi oleh pengapit-pengapitnya. Ait! Macam kenal je perempuan berkebaya biru bertudung hitam. Itulah Faizah staff freelance PTS Millennia. Job bila nak hantar?

Mempelai Di Tunggu, Dayang Menyambut

Semua dayang menunggu bagi menyambut pengantin baru. Hebat sungguh majlis ni, kira majlis perkahwinan pertama di Bentong yang aku dan keluarga hadiri.

28 May 2005

BERITA TERGEMPAR : Aku Gembira!!!!!!!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Tentu ramai yang terkejut dengan tajuk artikel ni. Sebenarnya aku hari ini mendapat satu berita gembira yang tak terhingga hebatnya. AKU DAN ISTERI BAKAL MENDAPAT ANAK KEDUA! dan NUAIM BAKAL MENDAPAT ADIK!. Alhamdulillah pagi tadi selepas isteri aku membuat ujian mengandung sendiri, ia menunjukkan tanda positif mengandung. Sudah beberapa hari haidnya tidak datang. Namun begitu kami masih tidak berpuas hati dan terus berjumpa dengan doktor. Alhamdulillah Dr. Amran di Klinik Sulaiman Bentong mengesahkan isteri aku mengandung lagi. Tak dapat menggambarkan betapa gembiranya hati aku mendapat berita ini. Alhamdulillah doa kami selama ini terkabul. Nuaim pun sudah berumur 2 tahun 3 bulan. Jadi sudah bersedia untuk mendapat adik. Mengikut ramalan Dr. Amran, tarikh untuk bersalin adalah sekitar 26 Januari 2006 tambah tolak seminggu. Masa tu Nuaim pun sudah berusia 3 tahun. Bersyukur betul aku. Anak lelaki ataupun perempuan aku tak kisah (tapi kalau dapat perempuan Alhamdulillah!). Ya Allah! Terima kasih di atas kurniaanmu ini. Aku berdoa isteriku dan anak dalam kandungannya selamat. Semoga tiada perkara yang tidak diingini berlaku selama mana isteriku mengandungkan anak kedua ini. Kepada para sahabat, tolong doakan juga ye! Tak tahu bagaimana nak menceritakan perasaanku!!!!! Begitu juga isteriku dan keluarga kami. Bertambahlah seorang lagi ahli keluarga yang dapat meneruskan perjuanganku di dunia ini. InsyaAllah. Aku berdoa agar anakku Nuaim dan anak yang bakal lahir ini menjadi anak yang soleh/solehah. Dapat menjadi mujaddid memperjuangkan Islam agar bendera Islam berkibar hingga ke seluruh alam. Amin! Ya Rabbal 'Alamin!

26 May 2005

Kanak-kanak Dibiar Bebas Meneroka Cepat Membaca

Anak aku Alhamdulillah, sejak berusia setahun lebih sudah mula mengenali huruf. Setiap huruf dikaitkan dengan apa yang difikirkan dalam otaknya. Sebagai contoh H dia sebut Aum! (Harimau), D dia sebut Emon (Doraemon) dan sebagainya. Ramai yang bertanya apa rahsianya. Susah gak nak jawab. Apa yang aku boleh kata dia ni anak editor dan pengurus penerbitan. Setiap hari tengok manuskrip orang dan buku yang diterbitkan. Tambah pula isteriku setiap hari mengadap komputer menyunting buku penulis lain sejak dari dulu. Pada waktu anak aku tu dikandungnya pun melakukan perkara yang sama. Itu teori aja. OK, aku nak berkongsi artikel ni untuk bacaan semua.

Oleh Rosnah Ahmad

PERSOALAN yang sering diajukan ibu bapa apabila menghantar anak ke taman asuhan kanak-kanak ialah: “Bila anak saya nak mula belajar menulis?” Semua ibu bapa sedar bahawa setiap anak mesti mempunyai kemahiran menulis kerana ia adalah faktor penentu kejayaan anak di sekolah, universiti dan kerjaya mereka. Mengajar anak menulis adalah amanah sebagaimana sabda Rasulullah:

“Hak anak atas ibu bapanya adalah diajarnya menulis, berenang dan memanah serta diberikan makanan yang halal.” – (Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Cara yang digunakan kebanyakan ibu bapa untuk mengajar anak mereka menulis ialah dengan memegang tangan anak dan menunjukkan cara menulis A,B,C atau 1,2,3. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan kemahiran yang banyak untuk menulis dan kemahiran itu sudah ada sejak awal lagi kerana bayi dilahirkan dengan tindak balas genggaman sangat kuat hingga boleh menampung berat badan sendiri.

Jika bayi diganggu dengan bunyi yang kuat atau pergerakan kasar secara tiba-tiba, tindak balas terkejut akan menyebabkan bayi membuka jarinya seperti bintang dan kejutan itu perlu hilang sebelum bayi memperoleh kemahiran manipulatif. Perkembangan memanupulasi tangan seperti memegang sesuatu berlaku dengan pesat pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya peka terhadap tahap perkembangan ini supaya mereka dapat menyediakan persekitaran dan rangsangan yang sesuai untuk menyokong setiap perkembangan anak.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh menolong mempercepatkan tindak balas genggaman dengan membuka jari anak satu persatu dengan lagu atau nasyid kerana suasana gembira memudahkan bayi membuka genggaman secara perlahan-lahan. Seterusnya rasakan tapak tangan anak dengan benda-benda yang mempunyai tekstur berlainan seperti kain, kertas dan plastik pelbagai jenis bagi menolong menguatkan otot jari tangan selain membiasakan mereka dengan pelbagai objek.

Ada ibu bapa yang sering memarahi anak kerana suka mengutip dan memasukkan apa saja mereka jumpa ke dalam mulut sedangkan peri laku itu adalah penunjuk anak sudah boleh menggunakan ibu jari serta jari telunjuk untuk mengambil sesuatu. Pencapaian kemahiran manipulatif yang hebat ini boleh dilatih dengan memberi anak makan sendiri makanan seperti kismis dan sayuran yang dipotong kecil.

Ada kalanya anak dilihat seperti sengaja melepaskan barang yang dipegang, sedangkan hakikatnya anak itu belajar menggenggam serta melepaskan barang sebagai merangsang tahap perkembangan kebolehan yang baru dipelajari. Anak-anak yang bebas meneroka dan diajar berdikari lebih awal akan cepat memperoleh kemahiran manipulatif kerana mereka berpeluang menggunakan tangan dan jari untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti makan, memakai pakaian dan bermain. Ini akan mempercepatkan lagi kesediaan mereka untuk aktiviti menulis yang terbahagi kepada tiga peringkat utama iaitu pra tulis, awal menulis dan pandai menulis.

Peringkat pratulis bermula apabila kanak-kanak sudah boleh membuat garisan dengan pensil dan menconteng. Berilah latihan yang banyak menggunakan pergerakan halus jari mereka dengan aktiviti mengoyak, meramas, menggentel, melipat, memusing, memutar, memulas, mencantum dan melarik di atas pasir atau udara. Kanak-kanak di sekitar umur satu atau dua tahun yang didedahkan kepada aktiviti begini lebih cepat menguatkan koordinasi tangan dan mata mereka untuk persediaan menulis.

Peringkat awal menulis biasanya bermula di sekitar umur tiga tahun apabila kanak-kanak sudah boleh melukis imej yang boleh dikenali, menulis dengan sokongan dan menulis mengikut garis putus. Sekitar umur empat tahun pula, kanak-kanak biasanya sudah boleh menulis tanpa sokongan dan pada peringkat itu, ibu bapa mestilah lebih kreatif untuk menjadikan aktiviti menulis menarik. Antara cara menggalakkan anak menulis, sebelum keluar membeli-belah, suruh anak menyediakan senarai serta kuantiti barang yang hendak dibeli seperti dua buku roti, sebatang pensil dan empat biji limau.

Anak-anak akan sibuk bertanya ejaan barang yang hendak ditulis dan secara tidak langsung mereka turut belajar mengeja pada masa yang sama. Kebiasaan itu boleh dipraktikkan sebelum pergi berkelah, bercuti atau balik kampung di mana anak digalakkan menyiapkan barang keperluan sendiri seawal usia empat tahun. Aktiviti begini banyak memberi kebaikan dan memudahkan dalam usaha memupuk sifat bertanggungjawab, berdisiplin serta berdikari dalam diri anak di peringkat lebih awal.

Untuk memupuk penulisan kreatif, anak-anak digalakkan berkarya seperti membuat buku catatan peribadi, menulis pantun, puisi, teka-teki dan cerita pendek. Mempunyai diari sendiri juga membantu menggalakkan anak-anak menulis dan berkarya. Sebagai tanda menghargai hasil usaha serta memberi galakan, tampal karya mereka di peti sejuk atau dinding bilik dan jika ada peluang, hantar karya mereka ke majalah kanak-kanak untuk disiarkan. Semua aktiviti menulis nampak seperti terlalu awal untuk dipupuk dan di luar kemampuan anak tetapi jika diberi sedikit tunjuk ajar, kesabaran dan istiqamah, anak boleh melakukannya dengan baik.

Kanak-kanak sememangnya berpotensi untuk melahirkan penulisan kreatif, kritis dan inovatif. Sediakan pelbagai jenis kertas, peralatan menulis dan mewarna bagi memupuk minat anak untuk menulis. Pada peringkat awal, janganlah terlampau memberi perhatian kepada cara anak menulis atau mengeja dengan salah sebaliknya beri kata-kata galakan dan pujian sebelum menegur kesilapan mereka. Kanak-kanak banyak belajar melalui kesilapan dan jadikanlah aktiviti menulis sesuatu yang menggembirakan buat seisi keluarga.

OOOOh Rupanya Kuda. Ini gambar ketika kami di Lumut dua malam yang lepas. Hebat betul pembangunan di Lumut ni.Posted by Hello

Ait! Macam Ada Benda Yang Best Kat Sana!

Ish! Nampak macam ada benda menarik kat sana Posted by Hello

Ini Kena Try Seround Lagi

Aku nak try sekali lagi Posted by Hello

Bestnya Playground Ni!

Ait! Terlanggar orang? Posted by Hello

Ish! Ni Kena Pi Tengok Ni

UmmuNuaim ke hadapan Posted by Hello

Hati-hati Wahai Anakku

Teruskan perjalanan Posted by Hello

Nuaim Memang Diajar Agar Jangan Takut

Memberi posing yang baik dahulu Posted by Hello

Kadang-kadang Seriau Juga Nak Lepas Sorang-sorang

Melangkah dengan penuh berhati-hati Posted by Hello

Kalau Jantan Tu Jantan Juga

Panjat, jangan tak panjat Posted by Hello

Nuaim Memang Pantang Tengok Playground Mesti Nak Minta Berhenti Kereta

Nuaim ni pantang tengok playground, mesti nak berhenti Posted by Hello

LUMUT: Dulu Lain Sekarang Lain

Kagum aku melihat pembangunan kat Lumut, dulu masa mula-mula aku menjejak kaki kat sana, takdak apa. Sekarang ni dah jadi lain. Dengan kawasan permainan, persembahan dan banyak lagi. Jeti pun dah cantik. Playground pun dah cantik.
Ini masa kat Playground Lumut. Malam-malam pun ramai kat sini Posted by Hello

25 May 2005

Memang Susah Nak Gunting Rambut Dia

Susah betul nak suruh duduk senyap. Biasalah! Anak yang aktif dan cerdas. Kalau nak gunting kena pegang ramai-ramai.

Nuaim Waktu Bergunting Rambut di Taiping.

Ini Nuaim semasa menggunting rambut di Bandar Taiping Posted by Hello

24 May 2005

Ziarah Ibadat Pererat Hubungan Sesama Manusia

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir SETIAP kali menjelang Aidilfitri, amalan ziarah -menziarahi diteruskan. Ramai penduduk kota kembali ke kampung halaman. Di samping bercuti, mereka mengukuhkan silaturahim. Ada yang mempamerkan kejayaan dan kemewahan yang diraih di kota, tetapi berapa ramaikah daripada kita yang melakukan ziarah sebagai satu ibadat? ‘Ziarah yang dikira ibadat ialah ziarah yang ‘diniatkan’ kerana Allah dan tidak melampaui batasan yang digariskan Allah dan Rasul. Ia dikaitkan dengan silaturahim dan sangat dianjurkan agama. Ini dapat dilihat daripada pengertian silaturahim. Kerap kali hubungan antara mereka yang berada di kota dengan di kampung menjadi renggang bahkan ada yang terputus disebabkan pelbagai faktor. Ziarah-menziarahi yang bermotifkan silaturahim akan mengeratkan hubungan, iaitu menyambung kembali hubungan yang selama ini terputus dan menghimpunkan yang terlerai. Itulah hakikat silaturahim iaitu menyambungkan yang putus. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak silaturahim (namanya) orang yang membalas kunjungan atau pemberian, tetapi (dinamakan silaturahim adalah) yang menyambung apa-apa yang putus”. (Hadis Riwayat Bukhari). Abul Laits As Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ayyub berkata: "Seorang badwi menghadang Rasulullah dan memegang kendali untanya lalu berkata: "Ya Rasulullah, beritahukan kepadaku apakah yang dapat mendekatkan aku ke syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka? Jawab Baginda: "Menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan suatu apa pun dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan menghubungi kerabat”. Abul Laits juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Abi Aufa berkata: "Pada suatu waktu petang hari Arafah, kami bersama Rasulullah. Tiba-tiba Baginda bersabda: "Jangan duduk bersama kami siapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan, bangunlah dari tengah-tengah kami. Maka seorang yang berada di belakang Baginda bangun dan pergi tetapi tidak lama kemudian, ia kembali di tempat duduknya, maka ditanya Rasulullah: “Mengapakah engkau? tidak ada orang yang bangun kecuali engkau? Jawabnya: "Ya Rasulullah, ketika saya mendengar sabdamu itu, saya terus pergi ke rumah mak saudara saya yang memutuskan hubungan dengan saya. Dia bertanya: “Mengapa kau datang, ganjil sekali kedatanganmu ini? Maka saya beritahukan kepadanya apa yang saya dengar daripadamu, maka dia membaca istighfar untukku dan aku juga membaca istighfar untuknya. Rasulullah bersabda: "Bagus engkau, duduklah sekarang sebab rahmat tidak akan turun pada suatu kaum jika ada di antara mereka seorang yang memutuskan hubungan kekeluargaan". Abul Laits menjelaskan bahawa hadis ini sebagai dalil bahawa memutuskan hubungan kekeluargaan adalah dosa besar dan menjadi sebab tertolaknya rahmat baginya serta bagi sahabat yang duduk bersamanya. Ini kerana kewajipan kita sebagai Muslim seharusnya bertaubat daripada memutuskan hubungan kekeluargaan dan hendaklah segera beristighfar serta segera menghubungi keluarga untuk mencari rahmat Allah dan menjauhkan diri dari api neraka. Itulah kemuncak silaturahim yang dapat diwujudkan oleh mereka yang menziarahi kaum kerabat, tidak kira di kota atau desa. Masing-masing berusaha ingat-mengingati, siapakah yang pernah terluka angkara perbuatannya atau selama ini jarang dikunjungi sebab terlalu sibuk. Justeru, ziarah dan kunjungan seperti ini dinamakan menyambung kembali yang putus dan menghangatkan bahkan mencairkan yang beku. Adalah baik jika ketika berkunjung, kita membawa sesuatu sebagai hadiah tanda ingatan kerana ia bukti paling kukuh kasih sayang dan pemberian. Tidak ada salahnya seorang yang berziarah menampakkan kejayaan yang diraih selama ini asalkan tidak mengandungi unsur riak, sengaja menunjuk-nunjuk, berbangga dan boros. Apalagi jika perbuatan itu menimbulkan cemburu masyarakat sekeliling. Menampakkan kejayaan adalah salah satu cara mensyukuri nikmat Allah, seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Allah suka melihat nikmatnya (ditampakkan) oleh hamba-Nya”. Allah berfirman bermaksud: ”Ada pun nikmat Tuhanmu maka ucapkan (sampaikanlah)”. (Surah Ad-Dhuha, ayat 11). Sebahagian ahli tafsir menjelaskan ayat itu sebagai perintah menyampaikan kepada orang lain dalam bentuk ucapan atau sikap betapa besar nikmat Allah. Menziarahi adalah hari gembira yang berganda kerana berhari raya dan bertemu kaum kerabat serta sahabat handai. Kesimpulannya, silaturahim mengandungi 10 kebaikan iaitu mendapat keredaan Allah. Al-Hasan berkata: "Rasulullah pernah bersabda: "Dua langkah manusia yang disukai Allah ialah langkah menuju sembahyang fardu dan langkah menuju silaturahim kepada kerabat yang mahram”. Kedua ialah menambah atau memanjangkan umur dan ketiga ialah menggembirakan mereka kerana ada hadis yang menyatakan bahawa amal yang paling utama ialah menyenangkan hati orang mukmin. Kebaikan lain ialah kegembiraan malaikat kerana malaikat sukakan silaturahim dan mendapat pujian (ucapan terima kasih bercampur doa) daripada kaum muslimin dan menjadikan berkat kepada rezekinya. Ibn Umar berkata: "Siapa yang bertakwa kepada Tuhan dan menghubungi keluarganya maka akan ditambah umurnya dan diperbanyak harta kekayaannya serta disayang oleh keluarganya". Kebaikan lain ialah mensejahterakan orang yang sudah mati kerana anak cucu mereka menyambung silaturahim di samping memupuk rasa cinta di kalangan keluarga sehingga suka membantu apabila diperlukan. Abul Laits berkata: "Jika seorang itu dekat dengan kerabatnya, maka hubungan kerabat itu berupa hidayah dan ziarah, jika tidak dapat membantu dengan harta, maka cukup dengan tenaga, jika jauh maka hubungi mereka dengan surat serta jika dapat mendatangi, maka itu lebih utama”. Kebaikan lain ialah bertambah pahala jika ia mati kerana selalu diingati orang dan sentiasa disebut kebaikannya dan mendoakannya. Anas berkata: "Tiga macam orang yang akan berada di bawah naungan Allah pada hari kiamat iaitu: Orang yang menyambung hubungan kekeluargaan diberkati umurnya dan dilapangkan kuburnya serta rezekinya. Wanita yang ditinggal mati oleh suaminya dan ditinggalkan anak yatim lalu dipeliharanya sehingga kaya mereka atau mati. Orang yang membuat makanan lalu mengundang anak-anak yatim dan orang-orang miskin”. Akhir sekali, berziarah menjengkelkan iblis. Semoga kita dapat mengambil hikmah dan pahala (selepas membetulkan niat) daripada silaturahim yang dilakukan sepanjang cuti hari raya yang lalu dan hari akan datang. – wanitajim0@yahoo.com Dipetik daripada Laman Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Ini ketika kami berkunjung ke rumah Mak Saudaraku (Maklang) di Taiping, Perak. Pak Saudara aku adalah Pengetua di Sekolah Menengah Sains Raja Tengku Azlan Shah(SERATAS). Kelihatan dalam gambar dari kiri : Ayahku, Isteriku, Mamaku, Maklang dan Nuaim. Aku? Tengah ambik gambarlah Posted by Hello

23 May 2005

Manusia Layakkah Menjadi Khalifah Di Bumi?

Perjalanan dari Selama ke Taiping tempoh hari membuatkan aku teringat kepada ayat Allah dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud :

"Telah zahir kerosakan di darat dan di laut dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia, yang akhirnya Allah rasakan kepada mereka akibat yang mereka kerjakan, semoga mereka kembali kejalan yang benar."

Pelbagai kerosakan muka bumi terjadi disebabkan oleh tangan manusia. Terfikir juga benarkah manusia ni layak menjadi khalifah di muka bumi? Wajarkah manusia yang sememangnya selalu membuat kebinasaan ini dijadikan khalifah? Sebenarnya persoalan ini pernah dibangkitkan oleh malaikat kepada Allah semasa Allah ingin menjadikan kita sebagai khalifah. Surah Al-Baqarah ayat 30:

"Ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat "Sesungguhna aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata "Mengapa engkau hendak menjadikan khalifah di bumi dari kalangan yang akan menyebabkan kerosakan padanya dan menumpahkan darar, padahal kami sentaisa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu." Tuhan berfirman "Sesungguhnya aku tahu apa yang tidak kamu ketahui"

Kita harus bersyukur dengan nikmat Allah menjadikan kita khalifah sedangkan jika diambil logik akal, malaikat lebih layak. Mereka ini tidak lekang ingatannya daripada Allah. Namun begitu Allah lebih mengetahui. Allah menaikkan taraf kita melebihi taraf malaikat.

Surah Al-An'am, ayat 165:

"Dan Dialah (Allah) yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan dia mengangkat darjat-darjat sebahagian dari kamu ke atas sebahagian yang lain, untuk menguji kamu tentang apa yang telah dia berikan kepada kamu, sesungguhnya Tuhanmu itu amat cepat siksaannya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Seharusnya kita menjadi seorang khalifah yang berperancangan. Mengambil kira semua faktor dalam pembangunan di muka bumi. Kita bukannya hidup seorang, kita hidup beramai-ramai bersama dengan makhluk Allah yang lain. Seharusnya kita perlu menghormati hak semua dan mencari jalan agar apa yang dilakukan melapangkan kehidupan semua.

Memang pengorbanan perlu dilakukan, namun begitu kita perlu meminimakan pengorbanan itu. Jadilah khalifah yang baik kepada muka bumi. Semoga kita sentiasa diberikan petunjuk oleh Allah Tuhan Rabbul Jalil

Haaa! Siap bagi posing maut lagi. Jangan ada yang tergoda sudahlah. Posted by Hello

Kasihan Mereka Yang Terkorban Disebabkan Pembangunan

Tak nampak? Ish dah besarlah ni. Inilah yang antara yang terseksa disebabkan oleh pembangunan. Beruk-beruk di hutan Posted by Hello

Siapa Yang Jadi Mangsa Pembangunan?

Inilah gambar mangsa-mangsa pembangunan. Tak nampak? Tunggu jap ye. Posted by Hello

Nak Besar Jalan Hutan Jadi Korban

Ini jalan daripada Selama ke Taiping melalui Pondok Tanjung. Pembesaran jalan dilakukan bersebelahan Hutan Simpan Kekal Perak. Ia bukan sahaja dibuat bersebelahan, tetapi di melalui tengah-tengah hutan tersebut.Posted by Hello

Pembangunan Oh! Pembangunan

Inilah korban pembangunan, manusia mahukan pembangunan tanpa menghiraukan kerosakan. Pembangunan Oh! Pembangunan Posted by Hello

22 May 2005

Nikmat Adik Beradik Ramai. Aku Tak Merasa!

Aku ni tak mempunyai adik beradik yang ramai. Yang ada hanya aku sebagai yang sulong dan adik aku seorang yang bongsu. Kalau ikutnya memang ramai, ada 6 beradik, namun begitu 4 meninggal dunia ketika masih kecil. Adik aku kedua meninggal dunia di US ketika ayahku menyambung pelajaran di sana. Masa tu umur aku 4 bulan, aku, ayah dan mama ke sana. Adikku yang ketiga meninggal di Kuantan, Pahang. Adik ketiga meninggal dunia di Teluk Intan, Perak. Keempat adikku sekarang. Kelima meninggal dunia di Alor Setar, Perak. Ramai yang mengatakan seronok mempunyai sedikit adik beradik, namun begitu bagiku aku suka adik beradik ramai. Itulah manusia, tidak pernah rasa syukur dengan apa yang dia ada. Pada pandangannya, apa yang ada pada dirinya itu kekurangan, namun begitu pada pandangan orang ia satu kelebihan. Jadilah orang yang bersyukur, sesungguhnya kesusahan, kesenangan, kelebihan dan kekurangan adalah satu ujian. Jadi bagaimana kita hadapi ujian itu adalah penentu tempat kita di akhirat kelak.
Adik aku ni sedang praktikal sebagai seorang juruteknik komputer di Ipoh, Perak. Dia ni cekaplah bab-bab memasang streamyx dan komputer. Sapa-sapa yang nak meminta khidmatnya bolehlah menghubunginya melalui aku. Posted by Hello

Fauzul Ada Adik Tak?

Tentu ramai yang tertanya-tanya, aku ni takdak adik beradik ke? Haa! yang mendukung Nuaim tulah adikku yang satu-satunya. Namanya Faridul Fikri Ishak Posted by Hello

21 May 2005

Bercuti Daripada Hari Ini Hingga Ke 24 Mei 2005

Assalamualaikum, Hari ini daku mengambil kesempatan bercuti panjang bagi bersama keluarga, InsyaAllah jam 8 pagi ini kami bertolak ke utara. Sudah lama aku ingin bercuti namun tidak berkesempatan. Daku ni bekerja 7 hari seminggu, memang itulah cabaran menjadi seorang businessman yang baru nak bertapak di dalam dunia perniagaan. Namun begitu itu bukanlah alasan yang terbaik agar kita tidak bersama keluarga. Bagi seorang suami ataupun anak, kita harus menghargai anugerah keluarga yang diberikan oleh Allah kepada kita. Anugerah itu tidak ternilai dan hanya dapat dikecapi ketika mereka masih ada. Selepas mereka tiada, ketika itu mereka dipanggil kenangan hidup. Sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka selama mereka ada. Janganlah guris hati mereka, sayangilah mereka dan tunjukkan kasih sayang itu. Mereka memerlukannya. Aku membuat keputusan agar ibu bapaku tinggal denganku pun atas dasar itu. Biarlah mereka berada di hadapan mata aku. Sakit dan demam mereka biarlah di dalam penjagaan aku. Selama 28 tahun aku hidup di dunia, mereka sudah berkorban banyak buat aku. Mengapa aku tidak berkorban untuk mereka. Aku tidak mahu menyesal di kemudian hari, bersedih di atas perkara yang sudah pergi. Biarlah sekarang aku menikmati saat-saat bahagia bersama mereka. Isteriku, dikau anugerah Allah yang tiada tolok bandingnya. Tanpamu siapalah aku. Daku tahu kadangkala kesibukan ini menyebabkan aku agak terlalai, namun begitu engkau sentiasa mengingatkanku. Itulah yang aku selalu ceritakan, seorang suami ataupun lelaki memerlukan wanita menyokongnya. Wanita itu perlu mempunyai sifat-sifat supportif dan sentiasa inginkan lelaki kesayangannya mengembangkan bakat pada dirinya. Mereka melengkapkan kelemahan diri suaminya, membantu jatuh bangun suaminya, menaikkan semangat perjuangan suaminya. Dan aku mempunyai isteri seperti itu. Dikau sentiasa menyelimutiku dan berusaha memahamiku. Alhamdulillah terima kasih Tuhanku. Blog ini ke akan dorman buat sementara waktu, InsyaAllah aku akan membawa bingkisan hasil daripada percutian yang agak panjang ini. Mengasah minda , mengusik hati, pencerah jiwa. Agar percutian ini memberikan kedamaian kepada kami sekeluarga dan sentiasa di bawah lembayung redhaNya.

20 May 2005

4 Mitos Mengenai Dunia Perbukuan Malaysia

Semasa aku berceramah, aku sering mendapat maklum balas daripada para peserta bengkel penulisan yang dianjurkan di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia. Kebanyakannya memberikan pandangan yang hampir sama mengenai dunia perbukuan. Namun begitu pada pandangan aku, kesemua pandangan itu adalah mitos semata-mata. Mengapa? Inilah jawapan yang aku sampaikan kepada para peserta bengkel-bengkel tersebut. Terdapat 4 mitos yang sering diberikan mengenai dunia perbukuan di Malaysia :
  1. Orang Malaysia tak baca buku
  2. Buku-buku kalau diterbitkan pun tak boleh jual
  3. Tulis buku tak boleh jadi kaya
  4. Semua penerbit penipu
Mitos 1 : Orang Malaysia tak baca buku Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 1997, menunjukkan bahawa orang Malaysia hanya membaca satu helai muka surat buku sahaja setahun. Kemudian statistik ini bertambah kepada dua helai muka surat pada tahun 2002 dan yang terbaru mengatakan orang Malaysia sudah membaca satu buku setahun. Namun begitu apabila diambil statistik ini, masih kurang memberansangkan dan memang boleh mengatakan orang Malaysia tak membaca buku. Tunggu dulu! Dari mana statistik ini dibuat? Adakah penerbit dan pekedai buku disoal mengenai gelagat pembaca buku ini? Adakah ada kajian ataupun survey dibuat kepada para pembaca buku di setiap daerah di Malaysia? Statistik ini hanya dibuat dalam perpustakaan yang di bawah kendalian Perpustakaan Negara Malaysia. Penerbit dan pekedai buku tak pernah dilibatkan langsung. Selama aku menjadi penerbit sepanjang 5 tahun ini, aku hanya pernah mendapat satu surat sahaja iaitu meminta dihantarkan buku bagi anugerah buku Perpustakaan Negara Malaysia. Surat lain tiada. Survey tu aku tak tahu, tapi rasanya tiada. Jadi sebenarnya kajian yang dibuat tidak menyeluruh. Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian, apabila kita menyuruh orang membaca. Ada ataupun tidak bacaan tu? Setiap pembaca membaca bahan-bahan yang dia ingin baca. Pelajar membaca bahan bacaannya, begitu juga pengurus, doktor, ibu bapa, guru dan sebagainya. Tahun ini sebelum Bordeers dibuka di Berjaya Times Square. Mereka mengumukan ingin mengisi 9000 judul buku berbahasa Melayu dalam 10 ribu kaki persegi kedainya. Namun begitu apabila digabungkan keseluruhan penerbit di Malaysia, kita tidak mampu mengisi kekosongan tersebut. Pergilah ke Borders, berapa besar seksyen Melayunya? Memang sedih sebab peluang yang diberikan tidak boleh diambil sebab bukunya tak cukup. Mitos 2 Buku-buku kalau diterbitkan tak boleh jual Betulkah begitu? Berdasarkan maklumat yang aku dapat daripada pihak MPH, seksyen buku Melayu di dalam MPH meliputi 20 peratus daripada keseluruhan seksyennya. Sumbangan jualannya meliputi 40 peratus daripada keseluruhan jualan buku MPH setiap tahun. Jualan buku-buku PTS meningkat pada kadar 80 ke seratus peratus setiap tahun. Bagaimana orang boleh mengatakan kalau diterbitkan buku tak boleh jual. Buku yang paling teruk jualannya di bawah penerbitan Kumpulan PTS boleh habis 2 ribu naskhah dalam masa 6 bulan, dan yang paling bagus seminggu. Bagaimana orang kata buku tak boleh jual? Tak reti jual kot. Itu baru PTS, penjualan novel Melayu boleh mencecah 60 ribu naskhah bagi satu judul dalam masa setahun. Mitos 3 Tulis buku Tak Boleh Jadi Kaya Pengarah Urusan Creative Publications, En Jaafar Taib melaporkan dalam satu seminar penerbitan buku di Hotel Pan Pacific KL, pada masa itu aku pun hadir sebagai peserta. Ia diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2003, royalti yang dibayar kepada seorang penulisnya mencecah RM100K setahun. Seorang penulis! Dan dia menjangkakan dalam masa 3 tahun daripada itu, ada seorang penulisnya akan menjadi jutawan hanya dengan menulis buku. Di PTS, penjualan buku yang paling bagus adalah '55 Petua Orang Berjaya'. Jualannya mencecah 10 ribu naskhah tahun lepas. Royalti anggaran yang perlu dibayar tahun ini bagi buku itu sahaja sebanyak RM 20 ribu lebih. Bagaimana orang kata tulis buku tak boleh jadi kaya. Mitos 4 Semua Penerbit Buku Penipu dan Susah Nak Bekerja Mitos ini aku simpan bagi artikel yang lain sebab panjang lebar juga nak menceritakannya. Secara kesimpulannya, orang Malaysia perlukan lebih banyak bahan bacaan bagi memastikan orang kita membaca buku. Kesemua penerbit harus mengambil ini sebagai cabaran untuk menaiktaraf penerbitan buku mereka. Kumpulan PTS mensasarkan penerbitan 250 judul buku baru tahun 2005. InsyaAllah ia akan meningkat hingga sampai satu tahap Kumpulan PTS mampun menerbitkan seribu judul setahun. Namun begitu penerbit tidak boleh bekerja secara berseorangan. Kesemuanya perlu berjemaah. Ayoh! Semua penerbit kita menyahut seruan ini bagi memastikan industri buku di Malaysia dihormati dan dikagumi setaraf dengan negara-negara lain. Amin!
Penerbit Buku perlu hasil lebih banyak buku, baru industri buku Melayu naik! Posted by Hello

Sedihnya Seksyen Melayu kat Borders, Salah Siapa?

Pihak Borders pada asalnya ingin meletakkan 9000 judul buku Melayu di kawasan seluas 10 ribu kaki persegi, tapi kita tak boleh mengisinya. Sebab apa? Penerbit tak banyak terbit buku!
Seksyen Melayu Borders yang sepatutnya diisi dengan lebih banyak buku Bahasa Melayu, tapi seribu kali sayang. Bukunya tak cukup Posted by Hello